Jumaat, 14 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Letupan bom, tembak menembak di pusat beli-belah Filipina

Posted: 14 Sep 2012 03:07 AM PDT

MANILA: Seorang terbunuh dan tujuh lagi mengalami kecederaan apabila sebutir bom tangan meletup dan tembak menembak tercetus di pusat membeli-belah di pinggir ibu negara Filipina, kata polis hari ini.

Letupan dan tembak menembak dipercayai sebahagian percubaan merompak kereta perisai yang membawa wang tunai di pusat membeli-belah Alabang Town Center.

Pegawai polis Alabang, Ernesto Arroyo berkata, lelaki bersenjata pada mulanya membaling bom tangan yang mengakibatkan letupan di pintu depan bank menyebabkan lima pelanggan cedera. Mereka kemudiannya melepaskan tembakan ke arah pengawal keselamatan.
Ketika berbalas tembakan, seorang suspek ditembak mati dan dua pengawal keselamatan mengalami kecederaan sebelum suspek lain melarikan diri. - AFP

5 pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu sesat

Posted: 14 Sep 2012 02:38 AM PDT

BALING: Lima pengunjung ke kawasan peranginan Lata Bayu dekat sini, hilang dipercayai sesat dalam kawasan hutan itu, sejak petang semalam.

Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan sejak 10 malam tadi membabitkan lebih 50 penduduk Kampung Banggol dan Asam Jawa serta kawasan sekitar, sebaik mendapat maklumat lima pengunjung ke Lata Bayu tersesat di kawasan itu.

Usaha awal penduduk kampung malam tadi terpaksa dihentikan kerana keadaan hutan tebal serta tiada sebarang maklum balas daripada mangsa.
Pagi ini, gerakan mencari dan menyelamat diteruskan membabitkan lebih 100 orang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan.

Hingga petang ini, usaha mencari masih diteruskan dan tertumpu pada kawasan awal yang dimaklumkan di mana mangsa tersesat.

Pengerusi Biro Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Baling (KARIB), Zahir Saad, 32, yang ditemui Bernama berkata mangsa menghantar isyarat kepada anggota radio amatur itu kira-kira 3 petang semalam memaklumkan lima orang tersesat di kawasan Lata Bayu dan meminta bantuan.

Zahir berkata, pengirim maklumat melalui radio amatur itu mendakwa salah seorang rakan mereka dipatuk ular dan seorang rakan wanita meninggal dunia.
Beliau berkata, selepas menerima maklumat itu, pihaknya mengarahkan semua anggota kelab itu menjalankan usaha mencari dan menyelamat sebelum anggota pasukan penyelamat tiba.

"Hingga petang ini kami kehilangan petunjuk dan maklumat untuk mengesan mangsa kerana mangsa dipercayai gagal menghantar maklumat akibat kehabisan bateri pada radio mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Mohd Daud Mohd Hasan, berkata sehingga kini identiti kelima-lima mangsa yang didakwa sesat di kawasan itu masih belum diketahui dan usaha mencari serta menyelamat masih diteruskan.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan