Selasa, 11 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


PM umum penubuhan syarikat penerbangan tambang murah baru

Posted: 11 Sep 2012 02:58 AM PDT

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan tambang murah yang baru dikenali sebagai Malindo Air.

Najib berkata syarikat penerbangan itu, hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group, akan mula beroperasi pada 1 Mei tahun depan dan akan berpangkalan di KLIA 2.

Usaha sama itu, katanya bukan sahaja mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.
"Pada pendapat saya, akronim MALINDO - gabungan indah nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan, tetapi juga memaparkan pertalian sejarah yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

"Dari segi untuk menjadi syarikat penerbangan terkenal, saya percaya nama ini akan menjadi jambatan bagi kedua-dua negara, menerusi rangkaian penerbangan yang luas yang akan menghubungkan banyak bandar raya dan bandar di rantau ini, membuka destinasi baharu untuk pelawat di Nusantara ini dan sekitarnya," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara kedua-dua syarikat di sini. - BERNAMA

Polis kesan individu hina gambar pemimpin pakatan pembangkang

Posted: 11 Sep 2012 02:57 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan menghina gambar pemimpin pakatan pembangkang yang disiarkan di sebuah portal berita Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah/Perundangan Terengganu, Superintendan Luqman Abdul Rahman, berkata siasatan dilakukan setelah polis menerima laporan berkenaan perkara itu di Balai Polis Kerteh, Kemaman, Sabtu lalu.

"Gambar dalam portal berkenaan menunjukkan beberapa lelaki melakukan perbuatan menghina pemimpin pembangkang antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Salah seorang daripada mereka seolah-olah membuang air kecil pada gambar pemimpin itu. Perbuatan yang dilakukan ini kita kira sangat serius kerana ia menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Luqman berkata setakat ini polis masih mengesan sama ada kejadian sebenar berlaku di Terengganu atau di tempat lain serta latar belakang kesemua suspek.

Beliau menggesa individu yang bertanggungjawab tampil menyerah diri secepat mungkin dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan