Ahad, 19 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Nak isteri saya balik’

Posted: 18 Aug 2012 09:50 AM PDT

KOTA BHARU: "Saya nak isteri saya balik," kata Uda Sarimin, 31, suami Maisarah Mohd Ali, 34, yang maut bersama dua anaknya berusia empat dan tujuh tahun dalam nahas ngeri di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Melor, di sini, semalam.

Kesedihan Uda tidak boleh dibendung lagi kerana beberapa jam sebelum kejadian, ketiga-tiga insan tersayang menghantarnya ke lapangan terbang, malah nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.


Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Maisarah yang memandu Perodua Viva dikatakan gagal memotong kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan sebuah lori ais yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa bersama anaknya, Zakiah Hanim Uda, 4, mati di tempat kejadian manakala anak bongsunya, Rasyidah, 2, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian akibat cedera parah di kepala.


Anak saudaranya, Aisyah Shakilah Mohd Zukri, 7, cedera parah di kepala serta patah kedua-dua kaki dan menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM. Pemandu lori, Adnan Jusoh, 38, tidak cedera.


Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Selinsing, Pasir Puteh selepas menghantar suaminya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

"Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di depannya tanpa menyedari sebuah lori datang dari arah bertentangan.


"Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh lori," katanya.

Katanya, mangsa dan anaknya berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di kerusi depan, manakala anaknya berusia dua tahun meninggal dunia di hospital dan anak saudaranya cedera parah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, suami mangsa pulang dari Putrajaya ke Kelantan bersama isteri dan dua anaknya untuk menghantar keluarganya berhari raya dengan kereta sebelum terpaksa pergi ke Johor atas urusan kerja pada hari sama dengan kapal terbang.


"Mereka tiba di kampung jam 2.30 pagi dan tidak tidur sementara menunggu sahur.


"Mangsa bersama dua anak dan seorang anak saudaranya menghantar suami ke lapangan terbang sebelum kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang," katanya.


Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat HUSM apabila ahli keluarga terdekat, termasuk Uda, datang menuntut mayat isteri dan dua anaknya pada jam 1 tengah hari.


Uda yang kelihatan lemah dan menangis teresak-esak terpaksa diusung dengan kerusi roda sebelum dipapah dan ditenangkan oleh ahli keluarga.


Usaha media mendapatkan komen Uda gagal selepas dia kelihatan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarganya.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.02 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan sebuah jentera dan lima anggota dengan bantuan Bomba Ketereh dan Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : 19/08/2012


Anak hilang 3 jari tersepit eskalator

Posted: 18 Aug 2012 09:44 AM PDT

GEORGETOWN: Kegembiraan tujuh sekeluarga menyambut kedatangan 1 Syawal dengan membeli-belah bertukar tragedi apabila anak bongsu mereka berusia 18 bulan putus tiga jari selepas terjatuh dan tersepit di celah tangga eskalator yang masih bergerak di sebuah pasar raya di Jalan Dr Lim Chwee Leong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, Al-Aqif Zulkifli putus jari tunjuk, hantu dan manis tangan kiri selepas terjatuh ketika bermain bersama abangnya berhampiran tangga eskalator yang bergerak.


Bapanya, Zulkifli Osman, 52, berkata ketika kejadian, dia bersama isteri, Norwila Mohd Idris, 46, berada di sebuah premis menjual alat elektronik dan ketika itu lima anaknya berusia antara 18 bulan hingga 15 tahun berada berhampiran kedai itu.

Katanya, ketika membeli-belah, dia terdengar bunyi bising dan jeritan orang ramai menyatakan ada kanak-kanak lelaki tersepit di tangga eskalator.


"Saya bergegas ke eskalator dan terkejut mendapati kanak-kanak yang tersepit itu adalah anak saya. Ketika itu pengawal keselamatan serta orang ramai membantu mengeluarkan jarinya yang tersepit.


"Dia menjerit kesakitan dan selepas beberapa minit, jari anak saya berjaya dikeluarkan selepas tangga eskalator dihentikan. Mereka turut mencari jari anak saya sebelum saya membawanya ke sebuah hospital swasta," katanya ketika ditemui di hospital itu kelmarin.

Zulkifli berkata, selepas mendapatkan rawatan dan atas nasihat doktor tiga jari anaknya terpaksa dipotong.


"Jari tunjuk dan manis hancur manakala jari hantu yang terputus itu berjaya ditemui tetapi doktor menasihatkan tiga jari anak saya itu perlu dipotong. Saya reda, namun pada masa sama bersyukur kerana Al-Aqif terselamat.

"Kegembiraan untuk menyambut hari raya kali ini bertukar sedih dengan kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 19/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan