Sabtu, 18 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ibu OKU, anak ketumbuhan otak

Posted: 17 Aug 2012 04:17 PM PDT

PELABUHAN KLANG: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Itulah perumpamaan menggambarkan pengorbanan sepasang suami isteri di Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua, di sini, dalam usaha merawat anak sulung perempuan mereka berusia lima tahun yang menghidap ketumbuhan dalam otak sejak setahun lalu.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Nor Azizah Saidin, 36, dan suami, Idaruzi Samsudin, 38, tetap berusaha mencari dana untuk merawat Alleya Rumaiesyah yang kini memerlukan rawatan susulan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua bulan lalu.


Lebih menyedihkan, Nor Azizah yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa berulang-alik menaiki komuter dari sini ke Kuala Lumpur setiap minggu walaupun masih dalam keadaan berpantang selepas melahirkan anak bongsunya, Amirul Quzairi lebih sebulan lalu.

"Masa berpantang saya dihabiskan untuk menjaga Alleya yang memerlukan penjaga sepanjang dia berada di HKL. Dalam masa yang sama saya perlu berulang-alik ke rumah untuk menjaga tiga lagi anak berusia sebulan hingga empat tahun kerana tiada penjaga.


"Suami pula hampir setiap hari akan berulang ke HKL dengan menaiki motosikal atau komuter kerana Alleya tidak boleh berenggang dengan dia dan saya pula tidak mampu untuk mendukung Alleya ketika proses rawatan radioterapi dilakukan kerana masalah OKU," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Katanya, sejak dimasukkan ke HKL, Aleeya dibenarkan pulang ke rumah setiap hujung minggu. Nor Azizah berkata, dia bersama suami buntu untuk mencari wang bagi menanggung perbelanjaan perubatan anak mereka dan kos perjalanan ke HKL hingga terpaksa meminjam daripada Ah Long.

Katanya, pada Mac lalu, Alleya menjalani pembedahan untuk memasukkan tiub menghubungkan otak hingga perut bertujuan menghalang daripada sebarang jenis cecair bertakung di saraf tunjang otak.


"Kos pembedahan itu sebanyak RM8,000. Puas kami kumpulkan wang dengan meminjam daripada saudara-mara, bank termasuklah daripada along dan membuat kutipan derma.

"Pendapatan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,500 sebulan memang tak cukup," katanya. Nor Azizah mengakui perasaan malunya sudah hilang apabila sering meminta derma serta ihsan sama ada daripada keluarga terdekat, individu perseorangan serta institusi zakat kerana dia perlu memperuntukkan kira-kira RM100 sehari membabitkan kos pengangkutan awam dan keperluan anaknya.


Alleya mula dikesan menghidap ketumbuhan dalam otak sejak Oktober tahun lalu dan pembedahan dijalankan pada Mac lalu untuk memasukkan tiub menghubungkan otak dan perutnya di Hospital Sungai Buloh.


Sepanjang rawatan berkenaan Alleya pernah berada dalam keadaan koma selama 15 hari dan keadaan kritikal sebanyak tiga kali. Malah ketumbuhan dalam otak sehingga ke saraf tunjang yang dihidapi Alleya boleh dilihat dengan jelas di bahagian belakang kanak-kanak malang itu.


Kepada individu atau pihak berkaitan yang mahu membantu keluarga ini boleh menghubungi Nor Azizah di talian 018-2671198 atau 012-3500425.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012


Saksi abang maut depan mata

Posted: 17 Aug 2012 04:06 PM PDT

KUALA LIPIS: Seorang gadis hanya mampu menahan linangan air mata selepas melihat abang kandungnya maut di depan mata selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan, di Kilometer 22, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa, Amir Shariff Suhaimi, 17, yang tinggal di Merapoh, dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.


Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan berkata, adik mangsa, Azwani Wan Shazarina, 13, mengalami kecederaan ringan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk menerima rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa bersama adiknya menaiki motosikal dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Merapoh sambil dipercayai mengekori rapat sebuah motosikal lain dari arah sama.


Bagaimanapun, katanya penunggang motosikal itu dikatakan membrek secara mengejut menyebabkan mangsa bersama adiknya bergesel dengan penunggang berkenaan sebelum mangsa tercampak ke laluan bertentangan.


"Pada masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dikatakan datang dari arah bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa sambil diperhatikan Azwani yang terjatuh di tepi jalan.

"Susulan kejadian terbabit, pemandu pacuan empat roda berkenaan bertindak melarikan diri dari tempat kejadian sebelum mayat mangsa dibawa ke HKL untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, adik mangsa bersama seorang lagi penunggang turut dibawa ke HKL bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, sehingga kini pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit dan polis meminta saksi bebas tampil di Balai Polis Trafik bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 18/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan