Sabtu, 11 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Seludup ikut laut

Posted: 10 Aug 2012 12:55 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi warga Iran yang diberkas dalam tiga serbuan sekitar Lembah Klang, kelmarin dikesan menjadikan pelabuhan sebagai pintu utama mereka menyeludup masuk bahan mentah memproses dadah jenis syabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, seramai 15 warga Iran, tiga warga Uzbekistan, dua Filipina dan seorang lelaki tempatan ditahan di beberapa kediaman mewah dalam operasi lebih 24 jam itu.


Menurutnya, selain penahanan semua 21 suspek itu, polis turut merampas serbuk syabu seberat kira-kira 20 kilogram, 65.07 liter cecair syabu, 630 gram heroin dan 1,600 pil mengandungi pseudoephederine antara bahan asas membuat syabu serta pelbagai kenderaan dan barang kemas dianggarkan bernilai RM8 juta.

"Hasil maklumat dan risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan berlaku penyeludupan dadah membabitkan warga Iran di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara sebelum serbuan dilakukan dan menahan empat lelaki warga negara itu.


"Serbuan turut menemui serbuk syabu disembunyikan dalam 218 tin besi yang setiap satu boleh memuatkan 900 gram serbuk syabu dan dikimpal rapi serta dipercayai diseludup dari luar negara menggunakan laluan laut," katanya di sini, semalam.


Noor Rashid berkata, selepas serbuan pertama itu, pihaknya membuat beberapa lagi serbuan susulan di Bandar Manjalara dan Cyberjaya sebelum berjaya menahan semua suspek.

"Semua suspek ditahan berusia antara 22 hingga 54 tahun terdiri 14 lelaki Iran, seorang wanita Iran, seorang lelaki Uzbekistan, dua wanita Uzbekistan, dua wanita Filipina dan seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi koordinator sindiket dadah terbabit di negara ini," katanya.


"Wanita Uzbekistan yang ditahan itu mungkin juga keldai dadah, namun kamimasih menyiasat dari semua aspek terutama peranan setiap suspek ditahan serta modus operandi mereka menyeludup bahan asas membuat syabu itu," katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman hingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/11


Dua lelaki Nigeria ditahan bersama 2 bungkus syabu

Posted: 10 Aug 2012 12:54 PM PDT

SUBANG JAYA: Polis menahan dua lelaki warga Nigeria dan merampas dua beg plastik berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM260,000 yang disembunyikan dalam beg komputer riba di Jalan PU 8/1, Taman Puchong, di sini, Isnin lalu.

Dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu cuba melarikan diri ketika ditahan jam 8.15 malam hingga berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum seorang daripada suspek cuba mengambil objek menyerupai pistol diselitkan pada stoking kaki kirinya. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dua suspek terbabit bagaimanapun ditahan selepas berlaku pergelutan. "Polis memeriksa kereta Proton Saga dinaiki suspek sebelum menemui satu beg komputer riba diletakkan antara tempat duduk pemandu dan penumpang depan. "Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua bungkus ketulan kristal dipercayai syabu seberat 1.970 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM260, 000," katanya. Menurutnya, pemeriksaan terhadap seorang daripada suspek menemui satu peket lagi ketulan kristal seberat 1.5kg serta satu pemetik api menyerupai pistol diselitkan pada stoking dipakainya. Katanya, ujian air kencing seorang daripada suspek mendapati positif dadah. "Selepas memeriksa dengan Jabatan Imigresen, kedua-dua suspek yang mengaku pelajar kolej swasta di Ampang dan Nilai itu didapati memasuki negara ini sejak dua tahun lalu. "Hasil siasatan dengan kedua-dua kolej berkenaan menunjukkan tiada sebarang rekod suspek sebagai pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan