Selasa, 14 Ogos 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis Marin Pelabuhan Klang rampas syabu bernilai hampir RM1 juta

Posted: 14 Aug 2012 03:54 AM PDT

PULAU INDAH: Polis Marin Pelabuhan Klang berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah ke Indonesia apabila merampas 7.5 kilogram syabu bernilai hampir RM1 juta di Kuala Sungai Klang, dekat sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Polis Marin DSP Norzaid Muhammad Said berkata hasil risikan, bot peronda polis Marin menahan sebuah bot tukaran barang yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Balai, Indonesia kira-kira 6.30 pagi.

"Kita mendapat maklumat ada bot dari Indonesia yang datang ke sini dan tidak membawa apa-apa barangan...bila bot itu berlabuh ke jeti ada kereta yang menghantar barangan ke bot terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Susulan daripada itu, sepasukan polis marin yang diketuai Insp Mohd Ruzuan Ahmad kemudian bertindak menahan bot terbabit di Kuala Sungai Klang," katanya pada sidang media di sini.


Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas bot itu, polis menemui empat bungkusan plastik berwarna merah jambu mengandungi bahan disyaki syabu, yang disorokkan dalam bilik enjin dipercayai cuba diseludup keluar dari Malaysia.


Polis turut menahan tiga lelaki Indonesia iaitu tekong dan dua awak-awak, berusia lingkungan 40 dan 60-an untuk siasatan lanjut.

"Kita tidak menolak kemungkinan ada sindiket dadah antarabangsa yang mempunyai kaitan di negara ini serta di Indonesia yang cuba menjadikan tekong dan awak-awak bot sebagai orang tengah untuk mengedar dadah bagi pasaran Indonesia.

"Kes dadah ini merupakan tangkapan pertama bagi pasukan kami untuk tahun ini," katanya.

Norzaidi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


Dua maut, dua cedera dalam kemalangan

Posted: 14 Aug 2012 02:39 AM PDT

IPOH: Dua lelaki maut manakala dua yang lain cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh tiang lampu di Km 114.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Behrang hari ini.

Ong Ming Siew, 32, yang memandu kereta itu dan penumpang hadapan Goh Chee Eng, 22, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayat mereka dihantar ke Hospital Slim River.

Dua lagi penumpang kereta itu, Lim Boon Hooi, 25, yang cedera parah dan Poo Thoo Ten Moon, 24, yang cedera ringan kini dirawat di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Othman Nanyan berkata dalam kejadian itu kereta yang dipandu Ong dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim dan hilang kawalan menyebabkannya terbabas dan merempuh tiang lampu.


Rempuhan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta Toyota Vios itu remuk dan kesemua penumpang tersepit dan terpaksa dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat, katanya ketika dihubungi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan