Ahad, 19 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Nicol berjaya pertahan kejuaraan Terbuka Australia

Posted: 19 Aug 2012 02:08 AM PDT

CANBERRA: Juara bertahan Datuk Nicol David memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Australia buat kali kedua berturut-turut selepas menumpaskan Laura Massaro pada perlawanan akhir di Royal Theatre di sini, hari ini.

Dalam saingan akhir tersebut, ratu skuasy negara berjaya mengenepikan cabaran pemain England itu 17-15, 11-2, 11-6 untuk merangkul kejuaraan ke-62 buat dirinya.

Beraksi di hadapan legenda skuasy Heather McKay dan bekas pemain terbaik dunia, Vicki Cardwell dan Michelle Martin, Nicol menunjukkan mengapa dia dianggap pemain terhebat dunia sepanjang satu dekad ini apabila berjaya menyerap cabaran untuk menumpaskan Massaro.
Bercakap kepada pemberita di sini, Nicol berkata beliau gembira kerana dapat memenangi perlawanan tersebut dalam tiga set.

"Set pertama menguji mental dan fizikal saya. Pada set kedua saya berjaya mendapat rentak permainan dan seterusnya memenangi perlawanan tersebut dalam saingan tiga set," kata Nicol.

Massaro pula berkata, beliau tidak melakukan kesilapan pada set pertama.

"Cuma, saya tidak bernasib baik pada set pertama. Kekalahan pada set pertama menjejaskan tumpuan saya pada set kedua dan ketiga," katanya.
-- BERNAMA

Kiosk bank dipecah masuk, mesin ATM dilarikan di pagi Syawal

Posted: 19 Aug 2012 02:03 AM PDT


KUALA LUMPUR: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilarikan sekumpulan perompak dalam kejadian di sebuah kiosk bank di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata kejadian dipercayai dilakukan dalam tempoh sejam itu hanya disedari oleh orang awam selepas mendapati berlakunya kebakaran dari kiosk berkenaan sebelum memaklumkan kepada pihak bomba. Beliau berkata, bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam 4 pagi berjaya memadam kebakaran, yang dipercayai disengajakan hasil penggunaan alat memotong mesin menggunakan 'portable oxcytelene'.

"Di dalam kiosk itu terdapat sebuah mesin deposit tunai yang tidak diusik dan dua mesin ATM yang sebuah daripadanya berjaya dipecah dan dilarikan manakala sebuah mesin lagi juga dipercayai cuba dilarikan berdasarkan kesan diumpil, namun gagal," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Ku berkata, siasatan awal mendapati lima kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang termasuk pada mesin di dalam kiosk itu disembur dengan cat berwarna hitam bagi mengelakkan identiti mereka dikenal pasti.
"Jumlah kerugian masih disiasat dan gerakan menjejaki kumpulan berkenaan giat dilakukan," katanya.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati bahagian depan mesin ATM yang dilarikan terbakar sepenuhnya, manakala mesin kedua diumpil di bahagian penyimpanan wang dan CCTV pada mesin deposit tunai disembur dengan cat hitam.

Terdahulu rumah terbuka ketua polis negara, yang menjadi acara tradisi turut dihadiri penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa serta pegawai kanan dan anggota Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan