Selasa, 3 Julai 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Azizah Fadzil sah tidak sertai Olimpik London

Posted:

Azizah Fadzil sah tidak sertai Olimpik London

03/07/2012 8:37pm

KUALA LUMPUR — Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengesahkan atlet angkat berat wanita, Azizah Fadzil, tidak akan mewakili negara pada temasya Sukan Olimpik di London bulan ini setelah slotnya diberikan kepada atlet Vietnam.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata keputusan itu dimaklumkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kepada MOM hari ini.

"Menerusi surat itu, kita telah dimaklumkan bahawa salah seorang atlet dari negara ketiga yang bertanding pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan, April lepas telah gagal ujian antidoping.

"Disebabkan peserta yang gagal dalam ujian antidoping, maka IWF telah membuat pengiraan semula kedudukan ranking negara yang bertanding di Korea Selatan dan memutuskan untuk memberikan slot tunggal negara kepada Vietnam disebabkan mereka mengutip 94 mata berbanding Malaysia yang hanya memperoleh 91 mata," katanya kepada pemberita hari ini.

Atlet angkat berat berusia 21 tahun itu sebelum ini layak secara merit setelah berada di kedudukan keenam teratas dalam kategori 53kg pada kejohanan tersebut.

Namun perubahan ranking yang dilakukan IWF baru-baru ini, menyaksikan Vietnam yang menduduki tangga ketujuh keseluruhan sebelum ini, naik ke tangga ketiga manakala Malaysia berada di tangga ketujuh. — BERNAMA

MMA minta doktor sepenuh masa di pulau-pulau

Posted:

MMA minta doktor sepenuh masa di pulau-pulau

03/07/2012 8:35pm

PULAU PERHENTIAN — Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Kelantan meminta Kementerian Kesihatan menempatkan sekurang-kurangnya seorang doktor perubatan tetap di pulau-pulau yang dihuni penduduk.

Pengerusinya, Dr. Seri Buana Zainudin berkata, keperluan bagi penempatan doktor sepenuh masa di pulau-pulau berkenaan adalah sangat mustahak bagi mengendalikan kes kesihatan terutama soal kecemasan.

Antara pulau yang wajar mempunya doktor sepenuh masa ialah Pulau Perhentian yang kini mempunyai 2,000 penduduk, katanya.

"Di sini kerajaan telah menempatkan seorang penolong pegawai perubatan (MA) di Klinik Desa tetapi pada masa yang sama seorang doktor sangat diperlukan selain yang datang memberikan rawatan secara berkala," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Kem Kesihatan Pulau Perhentian 2012 di sini hari ini.

Doktor perubatan yang terdekat ialah di Hospital Besut manakala sekiranya terdapat kecemasan pula akan dihantar ke Hospital Kota Baharu atau Hospital Universiti Sains Malaysia, katanya. — BERNAMA

UiTM mampu tubuh pusat kecemerlangan optometri

Posted:

UiTM mampu tubuh pusat kecemerlangan optometri

03/07/2012 8:33pm

KUALA SELANGOR — Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilihat mampu menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dalam bidang optometri dan sains visual melalui kemudahan infrastruktur dan kepakaran tenaga pengajarnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keyakinan itu berasaskan kepada kemampuan universiti itu menjalin hubungan industri dalam bidang berkaitan optometri walaupun program pengajian itu baru enam tahun diwujudkan di UiTM.

"Saya yakin UiTM mampu mempunyai HICoE dalam bidang optometri dan sains visual, sekaligus berpotensi menerajui niche area dalam perkembangan penyelidikan bidang berkenaan di negara ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan klinik bergerak optometri UiTM di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan UiTM mendidik dan menerap budaya pengajaran serta pembelajaran inovatif dan bertaraf antarabangsa kepada penuntutnya menerusi penubuhan Makmal Pengajaran Hoya yang pertama di dunia di Fakulti Sains Kesihatan, juga merupakan kriteria penting dalam usaha penubuhan HICoE. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan