Sabtu, 7 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Cucu saksi datuk dirempuh lori

Posted:

Cucu saksi datuk dirempuh lori

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

ORANG ramai melihat lori yang dipandu oleh Mohd. Hamzah (gambar kecil) merempuh pokok rhu manakala di sebelahnya ialah lori yang melanggarnya dari belakang dalam kemalangan di Marang, Terengganu semalam.


MARANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang seronok menunggu kepulangan datuknya terpaksa menjadi saksi warga tua itu terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawanya di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Pulau Kerengga di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.45, pagi itu, Farah Syazira Mohd. Norham Shamsuddin sedang dipangku oleh neneknya, Normah Abdul Razak, 49, ketika menunggu kepulangan Mohd. Hamzah Ismail (gambar kecil), 51, daripada mengambil bekalan buah tembikai untuk dijual di gerainya di situ.

Namun sebaik sahaja Farah Syazira ternampak lori yang dipandu datuknya itu yang lebih mesra dipanggil 'ayah', kenderaan itu terus dirempuh sebuah lori lain dari belakang.

Akibatnya, lori itu terbabas dan melanggar sebatang pokok rhu di hadapan isteri dan cucunya.

"Cucu saya (Farah Syazira) beritahu, datuknya dah nak sampai bila nampak lori suami saya memberi isyarat untuk masuk ke tepi jalan.

"Tiba-tiba kami yang duduk di sebuah pangkin tidak jauh dari situ nampak sebuah lori lain dalam keadaan laju telah melanggar belakang lori suami saya," kata Normah ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Katanya, muka Farah Syazira menjadi kebiru-biruan manakala anak perempuannya yang berusia 24 tahun pula hampir pengsan melihat Mohd. Hamzah yang berlumuran darah tersepit di tempat duduk pemandu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Empat korban nahas ketika berbual di tepi jalan

Posted:

Empat korban nahas ketika berbual di tepi jalan

TAMPIN - Empat orang termasuk tiga beranak menemui ajal selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 4, Jalan Tampin-Gemas di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, H. Duraiswami, 34, isteri, A. Mere Minna, 37 dan anak lelaki mereka, Kugan, 2, maut di akibat cedera parah di kepala dan badan.

Turut terkorban dalam kejadian itu ialah rakan Duraiswami yang dikenali sebagai Samugam, 60.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian tersebut dikatakan berlaku ketika tiga beranak itu yang menaiki sebuah motosikal berhenti di bahu jalan untuk berjumpa dengan Samugam.

Katanya, secara tiba-tiba sebuah lori dari arah belakang dipercayai terbabas dan merempuh kesemua mangsa tersebut.

"Ekoran kejadian itu, Mere Minna dan anaknya maut di tempat kejadian manakala suami mangsa dan seorang lagi pejalan kaki disahkan mati ketika mendapat rawatan di Hospital Tampin," katanya di sini semalam.

Katanya, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 31 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa baham buaya ditemui

Posted:

Mangsa baham buaya ditemui

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my

ANGGOTA polis mengangkat mayat Derahman selepas ditemui di Sungai Angkaras, Betong, Sarawak semalam.


BETONG - Mayat seorang pemotong rumbia yang disambar buaya ketika mangsa membasuh tangan di Sungai Meruang di sini pada Khamis lalu ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan beberapa anggota badannya hilang.

Mayat Derahman Chali, 55, ditemui kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian di Sungai Angkaras dekat Kampung Medang dengan kepala, tangan kanan dan kedua belah kakinya hampir putus manakala tangan kiri, leher dan separuh daripada badannya hilang.

Kedua-dua sungai itu adalah anak Batang Saribas.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustada berkata, mayat mangsa dilihat tersangkut pada sebatang kayu dengan keadaan perutnya terburai ketika ditemui penduduk pada pukul 7 pagi semalam.

"Ahli keluarga mangsa telah melakukan pengecaman dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan