Sabtu, 7 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Leher dirodok penyamun

Posted: 06 Jul 2012 01:10 PM PDT

AMPANG: Seorang wanita kini bertarung nyawa namun stabil selepas menjalani pembedahan pada paru-para kanan lebih tujuh jam ekoran tragedi hitam yang menimpanya apabila hampir disamun dan diculik seorang lelaki di sebuah pasar raya besar di Ampang, di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang Selasa lalu itu, mangsa berusia 30-an bersendirian membeli beberapa barangan di pasar raya berkenaan sebelum dihampiri seorang lelaki ketika mahu masuk dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan pasar raya itu.


Lelaki itu meletakkan pisau di leher mangsa. Ketika mangsa meronta mahu melepaskan diri, lelaki terbabit merodok lehernya hingga mencederakan paru-paru kanannya.

Kejadian itu tersebar melalui laman sosial facebook mangsa yang dikenali sebagai Nooralida M Noor.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berjaya menyelamatkan diri sebelum dibawa menerima rawatan lanjut di Hospital Gleneagles, di sini.


Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

Sementara itu, jurucakap hospital berkenaan memberitahu mangsa dilaporkan mengalami kecederaan kritikal pada leher dan paru-paru kanan akibat dirodok dengan pisau dan menjalani pembedahan jam 8 malam kelmarin sebelum dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini dilaporkan stabil namun masih di bawah pemantauan pihak hospital.


Dalam laman facebook, Nooralida berkata, dia diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika mahu masuk dalam keretanya.

Katanya, lelaki itu meletakkan pisau pada lehernya dan memegang tangannya dipercayai bagi mengelakkannya melawan.


Menurutnya, dia melawan tindakan lelaki itu menyebabkan lelaki terbabit merodok lehernya hingga berlaku pendarahan serius.


"Saya membunyikan hon menyebabkan seorang wanita bersama anak lelakinya berusia 20-an hairan dan mengesyaki sesuatu berlaku.


"Lelaki itu yang menyedari kehadiran mereka melarikan diri sebelum saya menahan kesakitan dan memandu kereta ke balai polis berhampiran membuat laporan," katanya.


Katanya, polis menghantar mangsa ke hospital dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati paru-paru kanannya mengalami kecederaan serius akibat terkena tikaman.


Bagaimanapun, mangsa sudah menjalani pembedahan dan kini dimasukkan ke ICU selain dilaporkan stabil.


Usaha Harian Metro semalam untuk menemui keluarganya gagal apabila enggan ditemu bual kerana masih terkejut dan bersedih dengan kejadian menimpa mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07


Tiga bersaudara tumpas

Posted: 06 Jul 2012 01:09 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki bersaudara dan seorang lagi rakan jenayah mereka yang dipercayai kumpulan sindiket pengedaran dadah serta samun diberkas dalam serbuan khas di sebuah rumah di Ulu Gombak, petang Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 2 petang itu, polis turut merampas empat pistol jenis Glock, Smith & Wesson dan Browning serta satu pengedap bunyi selain 140 pil Eramin 5.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kumpulan penjenayah profesional terbabit yang memiliki senjata api dan dadah sebelum satu pasukan polis menyerbu rumah di kawasan kampung itu.

"Berdasarkan maklumat, satu serbuan berisiko tinggi dilakukan kerana kumpulan terbabit mempunyai senjata api dan hasil tindakan pantas berjaya memberkas keempat-empat suspek berusia 34 hingga 60 tahun itu tanpa kejadian berbalas tembakan.


"Selain empat pistol, polis turut menemui 697 peluru pelbagai jenis dan hasil siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes samun serta dadah," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada semua suspek yang juga warga tempatan itu bergiat dalam sindiket pengedaran dadah saja atau turut melakukan kegiatan jenayah lain dan semua suspek kini direman serta kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan