Khamis, 5 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bantah pelan laluan MRT

Posted: 04 Jul 2012 03:15 PM PDT

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik Rumah Pinggir Zaaba di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, semalam, membantah pelan pembinaan laluan MyRapid Transit (MRT) di kawasan mereka berikutan didakwa meminggirkan pendapat penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Membantah (Protem) Persatuan Pemilik Rumah Pinggir Zaaba, Teoh Chye Tee berkata, mereka sudah menghantar pelbagai cadangan kepada MRT Corporation untuk menyelaraskan semula laluan MRT supaya tidak mendatangkan sebarang gangguan serta kerugian kepada penduduk di Pinggir Zaaba (PZ).


"Kami tidak menentang pembangunan, tetapi cadangan pembinaan ini tidak relevan dan akan mendatangkan pelbagai risiko serta kesan buruk kepada penduduk di sini.

"Jika pembinaan laluan MRT ini diteruskan, penduduk bukan saja berdepan masalah untuk keluar dan masuk rumah, malah mengalami pelbagai gangguan bunyi, debu, habuk dan getaran," katanya.


Sidang media itu disertai Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Segambut, Jayanthi Devi Balaguru dan jurucakap persatuan, Mokhtar Abdul Karim serta penduduk PZ.


Difahamkan, cadangan projek itu membabitkan 69 rumah dengan 25 daripadanya diklasifikasikan sebagai tidak boleh diduduki serta perlu berpindah.

Menurut Teoh, pihaknya sentiasa terbuka dan menyambut baik cadangan meningkatkan taraf hidup penduduk di TTDI, namun syarikat pemaju stesen MRT perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap pemilik rumah di kawasan terbabit.


"Berdasarkan pelan yang ditunjukkan pihak MRT Corporation kepada kami, jarak laluan yang bakal dibina dengan rumah adalah dekat dan boleh mendatangkan gangguan teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Tolak penumpang keluar teksi

Posted: 04 Jul 2012 03:12 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi mengumpan penumpang warga asing menggunakan perkhidmatannya sebelum bertindak kejam menolak mangsa keluar dari kereta dan melarikan barangan berharga milik penumpang terbabit.

Dalam kejadian terbaru Isnin lalu, seorang wanita warga Amerika Syarikat berusia 46 tahun yang menetap di Malaysia menahan teksi dipandu suspek berusia 36 tahun berhampiran pusat beli-belah di Bangsar sebelum meminta dihantar ke Jalan Maarof.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, suspek menolak mangsa sebelum dia memecut teksinya menyebabkan wanita terbabit kerugian RM20,000 membabitkan kehilangan telefon pintar iPhone, cincin, kad kredit dan pelbagai barangan berharga lain.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis selain memberi butiran suspek dan nombor pendaftaran teksi terbabit.


"Hasil maklumat diterima polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya jam 5 petang kelmarin di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Puchong.


"Hasil pemeriksaan, kami merampas semula sebahagian wang sebanyak RM4,049 yang masih dimiliki suspek sementara selebihnya sudah dibelanjakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam.

Wan Abdul Bari berkata, siasatan mendapati suspek menyasarkan warga asing yang bersendirian dan menolak mangsa keluar dari teksi sebelum melarikan barangan berharga.


"Suspek kini direman sehingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan. Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada sesiapa yang menjadi mangsa samun memberi maklumat lengkap kenderaan yang digunakan suspek dan diskripsi lain bagi menyegerakan siasatan serta tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan