Rabu, 4 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Harga petrol RON97 turun 20 sen mulai esok

Posted: 04 Jul 2012 06:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.60 seliter, berkuat kuasa esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata keputusan menurunkan harga tersebut berikutan purata harga minyak di pasaran bagi Jun 2012 telah menurun.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 bagi Julai 2012 bermula esok.

Harga jualan runcit petrol RON97 pada dasarnya ditetapkan secara apungan terkawal di mana harga bulanannya akan diubah mengikut harga pasaran, katanya.


Kerajaan sebelum ini menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.80 pada 6 Jun lalu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/04


Kelewatan dalam perkhidmatan boleh sebabkan rasuah: Tun Mahathir

Posted: 04 Jul 2012 03:39 AM PDT

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kelewatan dalam melaksanakan sesuatu perkhidmatan oleh kerajaan boleh menyebabkan berlaku rasuah.

Justeru kata beliau, semua jabatan kerajaan harus menetapkan jangka waktu bagi pegawainya menyiapkan sesuatu tugas, kerana tempoh masa yang diambil akan menentukan sama ada tugas itu dilaksana dengan baik atau tidak.

"Jangan ada kelewatan. Saya takut kelewatan akan menyebabkan rasuah. Jika suatu perkara boleh dilaksana dalam satu hari, pastikan perkara itu siap dalam sehari. Jika tidak, panggil pegawai itu dan tanya mengapa dia tidak boleh lakukan dalam sehari," katanya pada jamuan tengah hari bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Persidangan Digital Kebangsaan 2012, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) Datuk Badlisham Ghazali mengenai perkhidmatan yang diidamkan beliau selaku orang awam di negara ini.


Dr Mahathir juga menasihati semua penjawat awam agar mencintai negara ini lebih daripada diri sendiri.


"Apabila anda mencintai negara anda, anda akan memberi perkhidmatan yang baik. Tetapi jika anda (lebih) cintai diri sendiri, anda cuma fikir apa yang aku dapat daripada ini, (dan) anda akan menyeleweng. Justeru sayangilah negara anda lebih daripada diri sendiri," katanya.

Kepada satu lagi soalan daripada wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai masalah suruhanjaya itu dalam mendapatkan maklumat daripada agensi lain untuk tujuan siasatan, beliau berkata maklumat dalam kerajaan bukan sentiasa boleh dikongsi dengan mudah.

"Mesti ada klasifikasi maklumat yang mana boleh dikongsi dan yang mana tidak. Kebanyakan negara ada klasifikasi maklumat yang tidak boleh dikongsi dengan sesiapa.

"Akan tetapi dalam kes di antara agensi kerajaan, kalau ada keperluan untuk perkongsian maklumat maka perlu jelas maklumat mana yang boleh dikongsi kerana tidak semua boleh dikongsi memandangkan perbuatan sedemikian boleh menimbulkan masalah kepada ramai orang," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/04


Tiada ulasan:

Catat Ulasan