Khamis, 5 Julai 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Muka hancur ditetak

Posted: 04 Jul 2012 03:37 PM PDT

BATU GAJAH: Muka seorang pekerja hotel hancur akibat ditetak bertalu-talu oleh sekumpulan tiga samseng bersenjata parang sebelum mengheret mangsa berusia 20 tahun itu ke dalam kereta dan sejam kemudian, dia ditemui dicampak di tepi jalan berhampiran Kawasan Perindustrian Batu Gajah Perdana, di sini, kelmarin.

Mangsa, R Ganesan, 20, yang ditetak lebih 10 kali di muka dan kepala menggunakan parang oleh kumpulan penjenayah dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap berbahaya di daerah ini, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah (HBG), tengah malam kelmarin.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sasikumar, 20-an, berkata kira-kira jam 11 malam kelmarin, dia dan Ganesan serta dua lagi rakan berbual di depan rumahnya di Menglembu, di sini, apabila tiga lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba muncul dan menyerang mereka.

"Serangan itu menyebabkan dua rakan kami cedera akibat dilibas parang. Saya sempat melihat tiga lelaki itu menetak Ganesan dengan teruk terutama di kepala dan muka menyebabkan rakan saya itu rebah bermandi darah.


"Ganesan tidak mampu berbuat apa-apa atau lari menyelamatkan diri kerana kaki kanannya cedera akibat kemalangan dua minggu lalu," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik HBG di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Rugi RM145.2j setahun

Posted: 04 Jul 2012 03:37 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pendapatan mencecah RM30,000 sebulan, permintaan tinggi terhadap petrol dan diesel serta penguatkuasaan sempadan yang longgar menjadikan pekerjaan menyeludup bahan bersubsidi itu dari negara ini ke negara jiran terutama Thailand dan Filipina, sebagai pilihan utama untuk hidup mewah.

Tanpa memerlukan ijazah dan bekerja di pejabat besar serta berhawa dingin, pekerjaan menyeludup minyak menjanjikan pendapatan tinggi malah lebih tinggi daripada gaji pengurus besar syarikat multinasional.


Apa yang perlu ada hanyalah keberanian menghadapi risiko ditahan jika tidak bernasib baik setiap kali menyeludup minyak di sempadan negara.

Jika ada pihak berkuasa pun, bukan sukar, mereka hanya perlu melarikan diri dan meninggalkan barangan yang hendak diseludup dan semuanya akan kembali seperti sedia kala keesokan harinya. Penyeludup ini tidak pernah serik kerana hasil daripada kegiatan itu cukup lumayan dan permintaan terhadap petrol dan diesel tetap tinggi. Malah, penyeludup terpaksa bersaing sesama sendiri bagi mendapat bekalan di sempadan negara ini.


Tinjauan dibuat di tiga wilayah di Selatan Thailand, baru-baru ini, mendapati harga petrol yang ditetapkan Kerajaan Thailand ialah RM3.91 seliter manakala harga diesel pula RM2.93 seliter. Di Filipina, harga petrol RM3.95 seliter, diesel berharga RM3.19 seliter manakala di Indonesia, harga petrol ialah RM3 seliter dan diesel RM2.17 seliter.


Harga bahan api itu paling tinggi di Singapura iaitu RM5.41 sen seliter dan diesel RM3.81 seliter, tetapi tidak berlaku penyeludupan bahan bakar ke negara berkenaan kerana kawalan agensi penguatkuasaan yang ketat dan berkesan.

Berdasarkan harga itu, penyeludup mampu mendapat keuntungan lumayan. Bayangkan jika penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand menyeludup 500 liter petrol sehari, mereka mampu membawa pulang lebih RM1,000 sehari. Jika 30 hari dalam sebulan melakukan aktiviti haram itu, pendapatan mereka mencecah RM30,000. Jadi tidak hairanlah, kegiatan itu walaupun berisiko ditahan pihak berkuasa tetap menjadi pilihan terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sempadan.


Bagi penyeludup, selain petrol dan diesel, mereka turut menyeludup tepung gandum, gula pasir dan minyak masak.

Dua cara digunakan untuk penyeludupan iaitu jalan darat dan jalan laut. Untuk jalan darat, pelbagai kenderaan digunakan daripada motosikal hinggalah lori tangki manakala jalan laut menggunakan sampan atau bot nelayan. Aktiviti penyeludupan ini bukan masalah baru, malah sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu iaitu sejak wujudnya sempadan negara. Agensi penguatkuasaan membabitkan polis, tentera, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam Diraja Malaysia dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) kerap juga melakukan operasi dan sekatan jalan raya di negeri yang bersempadan iaitu Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis.


Bagaimanapun, masih banyak ketirisan kerana bahan bersubsidi negara itu masih dinikmati rakyat negara jiran seolah-olah negara kita memberi hak sama kepada rakyat asing.


Berikutan aktiviti itu, kerajaan membelanjakan RM11.5 bilion untuk subsidi petrol manakala diesel RM8.6 bilion pada tahun lalu dan semuanya itu dibuat untuk memastikan harga komoditi itu mampu dibeli rakyat.


Tahun sebelumnya, kerajaan membelanjakan RM10 bilion untuk tujuan sama.


Malah, penyeludupan itu menyebabkan negara kerugian kira-kira RM12.1 juta setiap bulan. Jika dicongak dalam tempoh setahun, kerajaan kerugian RM145.2 juta, iaitu satu jumlah yang cukup untuk membina sekolah untuk kemudahan rakyat.


Bagi membendung penyeludupan ini, kerajaan menguatkuasakan peraturan dengan mengehadkan penjualan petrol dan diesel hanya 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak dalam radius 50 kilometer dari sempadan sejak 16 Disember 2009. Terdapat 334 stesen minyak dalam lingkungan berkenaan di seluruh negara.


Berdasarkan peraturan itu, terdapat penurunan 25 peratus daripada jumlah kenderaan asing yang masuk ke negara ini bertujuan mengisi minyak di sempadan negara.


Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mula menugaskan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk memantau stesen minyak di sempadan sejak 2011 bagi memastikan pemilik stesen mematuhi peraturan yang ditetapkan KPDNKK.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05


Tiada ulasan:

Catat Ulasan