Khamis, 5 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tingkatan 6 distruktur semula

Posted: 05 Jul 2012 04:14 PM PDT

Pelajar dipisah dari sekolah, ditempat di pusat pengajian khas

SISTEM pendidikan tingkatan enam dicadang distruktur semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan pendidikan pra-universiti seperti kolej matrikulasi dan pusat asasi sains. Antara langkah yang akan diambil ialah memisahkan pelajar tingkatan enam daripada sekolah biasa dan menempatkan mereka di pusat pengajian khas.
Mereka juga akan menggunakan pakaian berbeza, jadual waktu yang tidak sama dan guru berlainan berbanding sekolah sekolah biasa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemisahan pelajar tingkatan enam dengan sekolah biasa ialah untuk meningkatkan imej sistem dan kualiti pendidikan tingkatan enam.

Faktor lain ialah jumlahnya yang ketika ini bertaburan di seluruh negara, selain ada sekolah tertentu hanya mempunyai satu atau dua kelas.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata ia masih di peringkat kajian dan perbincangan sebelum dilaksanakan.
"Kerajaan juga bersedia mengkaji kemungkinan tempoh pembelajaran dipendekkan enam bulan lebih awal seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran," katanya di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran Asia Timur dan Sidang Kemuncak Menteri Pelajaran Asia Timur Pertama.

Muhyiddin berkata, untuk menjayakan penstrukturan tingkatan enam, sistem sokongan yang lebih kukuh diperlukan, termasuk faktor logistik yang diperluaskan.

"Ketika ini tingkatan enam dilihat kesinambungan daripada tingkatan lima, sedangkan sebenarnya mereka sudah dewasa dan matang. Walaupun pelajar tingkatan enam bersekolah di premis sama dengan pelajar sekolah menengah, namun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setaraf kolej matrikulasi," katanya.

Beliau berkata, persepsi masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi lebih baik berbanding tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk bersaing ke universiti awam adalah sama.

Justeru, masyarakat tidak harus melihat pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan kerana ada masanya pencapaian pelajar tingkatan enam lebih cemerlang daripada pelajar matrikulasi.

"Jadi, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) harus melihat bahawa pendidikan tingkatan enam juga antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra-universiti," katanya.

35 tahun masih DG41

Posted: 05 Jul 2012 04:10 PM PDT

15,000 guru ada sijil, diploma patut naik gred: NUTP

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kira-kira 15,000 guru lepasan sijil dan diploma perguruan yang berkhidmat lebih 35 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan ke gred DG41. Ia dianggap wajar berdasarkan pengalaman dan jumlah tahun mereka berkhidmat sebagai menghargai jasa guru berkenaan.
Presiden NUTP, Hashim Adnan, berpendapat adalah wajar pengalaman perkhidmatan guru terbabit dijadikan sebagai asas untuk kenaikan gred dan bukannya mengutamakan kelayakan akademik.

"Walaupun sudah berkhidmat lebih 35 tahun, NUTP mendapati ada sebilangan guru yang masih kekal di gred DG34 dan DG38 kerana kenaikan (gred) adalah berdasarkan kelayakan akademik.

"Jika mahu dilihat dari segi kelayakan akademik, kita berasakan tidak wajar kerana segelintir mereka sudah berusia lebih 50 tahun dan ada juga yang hampir bersara," katanya kepada BH, semalam.

Mac tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan Kementerian Pelajaran meningkatkan had usia pemohon Program Pensiswazahan Guru (PPG) daripada 45 tahun kepada 47 tahun untuk mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah menjelang 2015.
Syarat mohon ke PPG

Sebelum itu, syarat bagi permohonan ke PPG tidak melebihi 45 tahun, selain memiliki Diploma Pendidikan/Perguruan atau Sijil Perguruan dan tidak berdaftar dengan mana-mana universiti sebagai pelajar sepenuh masa atau sambilan tajaan kementerian.

Hashim berharap Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan cadangan itu yang sudah dipanjangkan kepada JPA, baru-baru ini.

"Tempoh perkhidmatan lebih 35 tahun adalah satu pengalaman cukup luas selain warga pendidik itu juga sudah menghadiri pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kita melihat pengalaman itu cukup wajar untuk mereka menikmati kenaikan gred," katanya.

Beliau berkata, NUTP juga akan mengemukakan syor itu kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji secara komprehensif perkhidmatan awam negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan