Selasa, 3 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Penjara tanpa 'mata'

Posted: 03 Jul 2012 02:25 PM PDT

» Tiada mesin pengimbas badan dan CCTV

KAJANG: Semua 33 penjara dan dan 13 pusat pemulihan di seluruh negara tidak mempunyai mesin pengimbas badan untuk mengesan penyeludupan barang larangan. Selain itu, hanya 17 penjara dilengkapi sistem keselamatan elektronik bersepadu (SKEB), termasuk kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar, mengaku ketiadaan kelengkapan itu menyukarkan Jabatan Penjara membuat pemantauan dan pengawasan lebih berkesan bagi membanteras penyeludupan barang larangan, termasuk dadah.

"Ia satu keperluan yang mendesak untuk jabatan menambah baik langkah menangani masalah penyeludupan barang larangan," katanya kepada BH semalam.

Beliau ditemui selepas mesyuarat khas Jabatan Penjara berikutan pendedahan akhbar ini Ahad lalu mengenai penyeludupan dadah serta barang larangan lain yang membabitkan banduan, warden dan polis. Selain kegunaan sendiri, dadah yang diseludup dijual di kalangan banduan.

Warden dan polis terbabit dikatakan menerima komisen 30 hingga 50 peratus bagi setiap barangan yang dijual, manakala banduan yang mengetuai rangkaian itu boleh meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya sudah mengemukakan belanjawan pembelian kelengkapan teknologi, terutama mesin pengimbas yang setiap satu bernilai lebih RM1 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) awal tahun ini.

"SKEB dan mesin pengimbas membantu langkah pencegahan, pemantauan dan kawalan lebih menyeluruh di penjara. Setiap penjara memerlukan satu hingga dua mesin pengimbas bagi meningkatkan kecekapan.

"Kita juga mencadangkan lebih banyak CCTV dipasang di lokasi berisiko, terutama bilik kuarantin, sel berisiko dan pintu masuk penjara," katanya.

Mengenai mesyuarat semalam, Zulkifli berkata, ia bagi membincangkan langkah penambahbaikan memperkukuh pencegahan dan pemantauan di semua penjara.

Perluas tasawur: PM

Posted: 03 Jul 2012 02:23 PM PDT

Penulis perlu kongsi ilmu bersama rakyat, elak kealpaan

Putrajaya: Kestabilan dan keamanan dinikmati Malaysia tatkala banyak negara, khususnya Islam bergolak politiknya, memberi kebebasan kepada penulis berfikir serta mengembangkan kegiatan intelektual dan ilmiah. Namun, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kealpaan yang menyebabkan lenyapnya kegemilangan empayar Islam di Baghdad, Cordoba, Qairuwan, Bashrah dan Kufah yang penduduknya pernah mendalami serta mentelaah pelbagai seni pengajaran harus dijadikan iktibar.
Catat kehebatan sastera

"Jika biarkan fitnah atasi kebenaran, yang batil menggerhanakan yang hak, sangkaan atasi ilmu pengetahuan serta kepalsuan mengorbankan kebenaran, maka jangan hairan jika kita juga kelak hanya mampu menangisi apa yang kita hilang hari ini.

"Penulis tempatan perlu memperluaskan tasawur dengan menerokai dunia untuk menimba ilmu yang boleh dikongsi bersama rakyat selain mencatat kehebatan kesusasteraan dan perbukuan di luar sana.

"Kerajaan akan sentiasa memberikan ruang kepada penulis untuk berkarya dan membantu generasi muda, bagi memperkembangkan bakat mereka," kata Perdana Menteri berucap pada majlis pelancaran 30 Judul Buku Karya Asli Terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan amat menghargai peranan dimainkan penulis dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Katanya, kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan perkapita, kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah eksport semata-mata, sebaliknya ia juga harus diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan melalui hasil penulisan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi ITBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Izham Yusoff.

Najib berkata, ITBM berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menerbitkan 30 judul buku karya asli dalam pelbagai bidang, antaranya sastera, umum dan pendidikan sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkannya iaitu 10 judul sebulan bermula bulan lalu.

Antara judul buku yang diterbitkan ialah antalogi rencana karya Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman bertajuk Pengakuan Penyair, novel Perempuan Nan Bercinta karya Faisal Tehrani, Biar Puisi Menjadi Peluru iaitu kumpulan puisi karya Saifullizan Yahaya dan Memoir Seorang Juruhebah karya Zainal Abas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan