Selasa, 3 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kuota haji Malaysia diketahui Ramadan

Posted: 03 Jul 2012 03:14 AM PDT

SHAH ALAM: Jumlah kuota jemaah Malaysia yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diketahui Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan sudah berusaha secara positif bagi memastikan sekurang-kurangnya kuota sebelum ini seramai 28,000 jemaah, dikekalkan. "Kerajaan benar-benar berharap tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi BERSIH 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lalu tidak menjejaskan jumlah kuota jemaah haji Malaysia tahun ini," katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan amanat kepada 'Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Musim Haji 1433H/2012' yang menjalani kursus pengukuhan selama empat hari mulai Ahad lalu di sini.

Jamil Khir berkata, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah pun menghubungi kerajaan Arab Saudi mengenai isu itu.

"Malah semasa lawatan perdana menteri ke Arab Saudi untuk memberi penghormatan terakhir ke atas Putera Mahkota Nayef bin Abdul Aziz Al Saud yang mangkat bulan lalu, Najib turut memohon kerajaan Arab Saudi memberi pertimbangan kepada kuota haji Malaysia," katanya.

Jamil Khir berkata, setakat hari ini jumlah yang mendaftar dengan Tabung Haji ialah seramai 984,204 orang dan 12,000 ialah mereka yang berusia 75 tahun ke atas.
"Justeru, Tabung Haji juga perlu mengambil kira kehadiran golongan ini dengan menyediakan pegawai perubatan yang secukupnya," katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji juga masih memberi subsidi kos haji, kerana kos sebenar mengerjakan haji tahun ini ialah RM15,155 seorang, tetapi jemaah haji Malaysia hanya membayar RM9,980 seorang.

Katanya, Tabung Haji akan mewujudkan Talian Ibadah dan memperkenal e-Book Tabung Haji sebagai penambahbaikan perkhidmatannya. - BERNAMA

SYABAS serbu pemaju perumahan curi air

Posted: 03 Jul 2012 03:09 AM PDT

PETALING JAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) kerugian RM382,546 akibat tindakan sebuah syarikat pemaju perumahan di Puchong mencuri air sejak setahun lalu.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab pemaju di Puchong Lestari itu dikesan hasil aduan orang ramai. "Serbuan SYABAS dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ke tapak projek rumah pangsa kos rendah lima tingkat dan rumah kedai ini mendapati pemaju melakukan sambungan haram dari paip utama bagi membekalkan air ke tapak pembinaan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.
Beliau berkata, SYABAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut.

Sementara itu, Abdul Halem berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,793 aduan berhubung kes curi air diterima dan 1,779 kes sudah disiasat yang mana 396 kes didapati sahih dan diambil tindakan.

Katanya, bagi kes yang tidak boleh dikompaun, mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan mencuri air agar menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian 1-800-88-5252 untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan