Isnin, 11 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


‘Penggubal dasar perlu berani’

Posted: 11 Jun 2012 02:47 PM PDT

Nasional

RAJA NAZRIN bertemu dengan sebahagian peserta selepas Siri Syarahan Razak dianjurkan Razak School of Government, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi

RAJA NAZRIN bertemu dengan sebahagian peserta selepas Siri Syarahan Razak dianjurkan Razak School of Government, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Penggubal dasar masa kini perlu lebih berani dan memberi komitmen sepenuhnya dalam membuat keputusan bagi memastikan kepentingan negara terus terjaga sejajar perubahan masa, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

"Kita tidak boleh leka dan terus bergantung kepada formula pentadbiran lama, sebaliknya bersedia menghadapi cabaran urus tadbir negara masa kini dengan lebih tepat, realistik serta bersemangat.

"Hari ini, kita berada di tengah-tengah usaha pengubahsuaian dasar dan diharapkan momentum itu berterusan supaya pembaharuan berkenaan terus kekal serta berkesan," titahnya pada Siri Syarahan Razak dianjurkan Razak School of Government (RSOG) di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titahnya, pada masa ini, masyarakat memberikan lebih perhatian dan pengawasan terhadap tadbir urus negara.

"Institusi penting seperti perkhidmatan awam, polis, tentera, badan kehakiman termasuk suruhanjaya antirasuah kini berada di bawah tekanan yang besar untuk melaksanakan tugas dengan baik.

"Perkara ini amat baik dan dialu-alukan bagi memastikan kepentingan tadbir urus yang berkesan serta mewujudkan kerajaan jujur dan bersih," katanya.
Berikutan itu, Raja Nazrin bertitah, amat penting bagi pegawai awam untuk terus memperbaiki penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat ke arah lebih berkesan, cekap, saksama serta beretika.

"Tiada mana-mana kerajaan dalam dunia ini yang mempunyai monopoli ke atas kebijaksanaan dan mempunyai pandangan serta keputusan sempurna, pasti ada melakukan kesilapan ketika pemerintahan mereka.

"Tetapi hakikatnya, negara kita berjaya untuk terus berkembang selama lebih 55 tahun, mempelajari kesilapan lalu bukan saja menangani perubahan malah mengenai nilai masyarakat ini sendiri," katanya.

Titahnya, bagaimanapun masih ada sesetengah pihak mengkritik tanpa asas mencukupi, memalsukan maklumat dan sengaja menjejaskan kredibiliti institusi pemerintahan.

"Perbuatan ini bukan saja menjejaskan reputasi serta moral mereka berkhidmat dalam perkhidmatan awam tetapi juga boleh memusnahkan institusi negara untuk berfungsi kepada masyarakat, keadilan serta selenggara undang-undang," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

aar

semua perancangan dan dasar digubal sangat bagus (tip-top). Yang menjadi masalah di peringkat-peringkat kemudiannya, contoh peringkat di perlaksanaan dengan unsur-unsur tidak sihat berlaku seperti salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan di peringkat penggunaan oleh pengguna-pengguna kelas ketiga. Tidak semua orang berilmu itu bersedia sepenuhnya mengamal ilmu mereka, golongan inilah golongan parasit.


Keluarga ikuti latihan PLKN

Posted: 11 Jun 2012 02:44 PM PDT

Nasional

KUALA KRAI: Keluarga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibenar untuk mengikuti kelas serta kegiatan bersama pelatih dan program julung kali diadakan di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata program Pemasyarakatan Kem PLKN itu sekali gus menolak tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap PLKN.

Katanya, seramai 40 keluarga terbabit yang meminta supaya dibenarkan mengikuti program berkenaan bersama pelatih bagi membolehkan mereka mengetahui keadaan sebenar yang dialami pelatih di kem PLKN. "Buat masa ini hanya Kem PLKN Batu Jong melaksanakan program khusus seperti ini bagi membolehkan keluarga pelatih melihat sendiri suasana dialami anak mereka.
"Keluarga terbabit hanya mengikuti kelas serta kegiatan luar bersama anak mereka dari pagi hingga tengah hari saja.

"Sebelum ini, keluarga pelatih hanya dibenarkan berjumpa anak mereka pada hujung minggu saja, tapi tidak dibenarkan mengikuti program yang dilaksanakan.

"JLKN berharap melalui pelaksanaan program ini, ia mampu menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak mengenai PLKN yang menganggap program ini membazir," katanya selepas merasmikan Program Pemasyarakatan Kem PLKN, di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.
Dalam program pemasyarakatan itu, keluarga pelatih PLKN dibenarkan bersama anak mereka dari pagi hingga tengah hari, mengikuti program dikendalikan guru kelas selain mengikuti kegiatan luar.

Sementara itu, Mohamed Abdullah, 72, menyifatkan program pemasyarakatan itu penting dalam memberi pendedahan kepada keluarga pelatih PLKN mengenai kegiatan yang dilakukan dalam kem.

"Selama ini banyak laporan mengenai PLKN dilaporkan pihak tertentu yang boleh mempengaruhi ibu bapa dalam membenarkan anak mereka mengikuti PLKN.

"Namun, melalui program pemasyarakatan ini, hakikat sebenar dapat dilihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana JLKN menjaga semua pelatih dengan baik," katanya yang datang melihat keadaan cucunya, Nur Shahiera Sallahuddin, 18, seorang pelatih di kem berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan