Ahad, 10 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


‘Perjelas fakta sebenar ubah persepsi rakyat’

Posted: 10 Jun 2012 02:39 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera penerangan parti komponen Barisan Nasional (BN) turun padang menjelaskan kepada rakyat fakta sebenar sesuatu isu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini penting kerana sejak Pilihan Raya Umum 2008, pakatan pembangkang terus berkempen pelbagai cara melemparkan fitnah dan dakwaan tidak berasas terhadap BN.

Muhyiddin berkata, BN sentiasa bersikap adil kepada semua kaum di negara ini, malah usaha kerajaan selama ini jelas membawa pelbagai kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat, yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. "Pada hari ini, kita tahu bahawa parti pembangkang menggunakan banyak taktik dan cara untuk mengaburi pemikiran serta mata rakyat, pendekatan yang mereka guna orang kata agak luar biasa sebab itu soal ini berbangkit dan timbul masalah kepada kita.

"Sebenarnya masalah yang dihadapi BN dan kerajaan kita pada hari ini ialah berkaitan isu persepsi kerana ada satu jurang antara realiti dan keadaan persepsi yang dibangkitkan oleh parti pembangkang.

"Kadangkala rakyat terpinga-pinga sama ada betul atau sebaliknya isu yang dibangkitkan pembangkang ini kerana pembangkang pandai putar-belit selain membuat berita tidak betul dan sering fitnah.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk jentera penerangan parti komponen turun padang dan menjelaskan kepada rakyat fakta sebenar supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata fitnah pembangkang," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin BN yang lain turun padang berjumpa rakyat, mereka juga secara terperinci menjelaskan kepada rakyat fakta sebenar supaya tidak wujud sebarang tanggapan negatif.

"Penting bagi kita untuk meningkatkan perasaan keyakinan kepada BN dan penting sekali soal ini ialah bermula daripada kita sendiri, kita mesti yakin bahawa BN adalah parti yang perjuangkan nasib semua kaum dan inilah yang akan kita teruskan pada masa akan datang.

"Banyak pihak bertanya kepada saya bilakah Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan dan dalam sesetengah program yang saya hadir orang ramai bersalam dengan saya dan salam mereka luar biasa... apabila saya tanya... mereka kata sudah tidak sabar sokong BN," katanya.


RELA kawal sekolah ditambah

Posted: 10 Jun 2012 02:38 PM PDT

Nasional

SERDANG: Anggota pasukan keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang ditempatkan di sekolah akan ditambah bilangannya terutama pada waktu puncak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu sudah dibawa ke Kabinet berikutan kes seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang diculik ketika berjalan kaki ke sekolah, pada April lalu.

"Kita akan cuba membabitkan lebih banyak badan sukarela termasuk RELA kerana saya percaya dengan kehadiran lebih ramai mereka dapat mengurangkan kejadian jenayah. "Inisiatif itu diharapkan memberi kepercayaan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka ketika di sekolah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Himpunan Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Lebih 15,000 sukarelawan muda berkumpul di perhimpunan itu sebagai permulaan kepada gelombang kesukarelaan negara, yang memberi ruang menyumbang bakti terhadap pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan yayasan yang memberi peluang generasi muda menyuarakan pandangan dan hak bersuara, bulan depan.

Mengenai kes penculikan di pusat membeli-belah, Hishammuddin berkata, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk kementerian lain mengenai langkah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kompleks membeli-belah.
"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada kementerian jika terdapat kawasan tertentu yang perlu dimasuk ke dalam senarai lokasi panas supaya tindakan selanjutnya boleh diambil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata video perhimpunan BERSIH 3.0 akan disiar selepas dibentangkan kepada Panel Penasihat Bebas mengenai perhimpunan itu kerana tidak mahu dianggap mendahului panel terbabit.

Mengulas pengganti anggota panel itu yang menarik diri, katanya, panel yang dipengerusikan Tun Mohammed Haniff Omar diberi kebebasan untuk memilih penggantinya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan