Selasa, 12 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pekerja kilang mati ditikam di Tumpat

Posted: 12 Jun 2012 02:10 AM PDT

Mutakhir

TUMPAT: Seorang pekerja kilang yang pulang bercuti di kampungnya sejak dua minggu lalu, mati ditikam di Kampung Belian, Palekbang, di sini, malam tadi.

Mohd Al-Serenadi Mat Rahim, 26, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Tumpat.

Terdapat satu kesan tikaman senjata tajam pada dada kiri mangsa, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 9.15 malam itu, mangsa dikatakan ke tempat kejadian bersama lima rakan, termasuk seorang adiknya dengan menaiki tiga motosikal untuk mendapatkan penjelasan mengenai satu pergaduhan.

"Mangsa dikatakan cuba menemui suspek yang berada di rumahnya (rumah suspek) untuk mendapat penjelasan mengapa suspek menampar adiknya yang didakwa menunggang motosikal dalam keadaan laju," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mat Rahim Junoh, 58, ketika ditemui di rumahnya berkata, Mohd Al-Serenadi yang juga anak ketiga dari lapan beradik itu pulang ke kampung itu bercuti sejak dua minggu lalu.

"Dia akan pulang ke tempat kerjanya semula di Kuala Lumpur dua hari lagi," katanya.
- BERNAMA


Malaysia belum buat keputusan sertai Statut Rom: Nazri

Posted: 12 Jun 2012 02:01 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Malaysia belum membuat keputusan sama ada hendak menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (Statut Rom).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata ini kerana kerajaan mahu memastikan obligasi yang terkandung dalam Statut Rom itu dapat dilaksanakan terlebih dulu.

"Terdapat beberapa peruntukan dalam Statut Rom itu dan kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (MJA) yang menimbulkan keraguan atau kesulitan dari segi undang-undang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Antaranya ialah artikel 27 mengenai kekebalan imuniti atau peraturan khas yang digunapakai kepada seseorang menyandang jawatan rasmi di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa yang tidak menghalang MJA menjalankan bidang kuasanya atas orang itu.

"Hal ini perlu dikaji semula kerana menyentuh isu imuniti dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya menjawab soalan M Kulasegaran (Ipoh Barat).

Oleh itu, katanya, antara kaedah terbaik memenuhi obligasi itu ialah memastikan rangka perundangan Malaysia dikemaskini bagi membolehkan pendakwaan dibuat mengikut prinsip undang-undang antarabangsa.

Statut Rom di bawah Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu adalah perjanjian yang mewujudkan MJA dan turut menetapkan fungsi, bidang kuasa dan struktur mahkamah negara yang menyertainya.
Sehingga Februari lalu, sebanyak 120 negara menyertai Statut Rom yang dimeterai pada Julai 1998.

Nazri berkata, walaupun bukan negara peserta, Malaysia masih boleh membenarkan MJA melaksanakan bidang kuasanya atas satu kesalahan sekiranya berlaku di Malaysia dengan adanya perjanjian khas tentang perkara itu.

"Perkembangan kes yang dibawa ke MJA juga akan dipantau teliti bagi memastikan keberkesanan dan ketelusan MJA dalam melaksanakan fungsi dan kewajipannya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (Batu Gajah), Nazri berkata sukar menentukan bila Malaysia akan menyertai Statut Rom itu.

"Kita buat keputusan secara prinsipnya untuk menyertainya tetapi kita sukar tentukan bila kerana ini membabitkan banyak pihak dan memerlukan penelitian terhadap statut itu serta tindakan domestik yang perlu," katanya secara tidak langsung merujuk kepada kenyataannya pada Mac lalu mengenai persetujuan Malaysia menyertai Statut Rom. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan