Sabtu, 3 Mac 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Perkasa pendidikan Islam

Posted:

Perkasa pendidikan Islam

Perkasa pendidikan Islam


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) menyerahkan resolusi pembangunan Islam kepada Razali Shahabudin di Kangar, baru-baru ini.


KANGAR 2 Mac. - Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan di Dewan 2020 yang berakhir di sini kelmarin, sepakat mencadangkan satu gagasan resolusi pembangunan Islam untuk manfaat jangka panjang.

Pemuafakatan mustahak itu dicapai oleh wakil Majlis Agama Islam negeri (MAIN) seluruh Malaysia, Jabatan Agama Islam negeri serta agensi yang berkaitan agama Islam dan pendidikan Islam seluruh negara.

Sebahagian daripada gagasan resolusi yang dicapai itu adalah seperti berikut;

* Memperkasa pelaksanaan sistem pendidikan Islam di bawah MAIN dalam membentuk masyarakat yang memahami dan beramal dengan ajaran Islam.

* Meningkatkan program latihan perguruan dan proses pemantauan serta penaziran di semua sekolah di bawah MAIN.

* Mewujudkan kelangsungan sistem pendidikan Islam di bawah MAIN dengan program pengajian di bawah institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

* Memperkukuhkan lagi program Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) melalui peningkatan jumlah penyertaan murid Islam di negeri-negeri kepada 90 peratus.

* Meletakkan masjid di bawah kawalan ulul amri ataupun MAIN dan memastikan guru-guru, kitab-kitab dan ajaran berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

* Memperkemas prasarana institusi pendidikan Islam di bawah MAIN melalui penggunaan dana zakat dan wakaf.

* Mempertingkatkan pemantauan dan pengawalan sekolah-sekolah persendirian yang terdapat di negeri-negeri melalui penguatkuasaan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam.

Resolusi itu diserahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Islam) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) menyerahkan resolusi itu kepada Jakim untuk dipertimbang dan dilaksanakan secara sistematik.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat menyaksikan majlis penyerahan berkenaan.

Konvensyen yang dianjurkan oleh MAIPs, Jakim dan Kerajaan Negeri Perlis itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai oleh lebih 1,000 perwakilan, termasuk 350 delegasi luar Perlis.

Konvensyen tersebut sepakat menghasilkan resolusi itu selepas mengambil kira perkara-perkara berikut;

* Menyedari kedudukan MAIN yang mempunyai kuasa eksekutif dalam memastikan hal yang berhubung dengan pendidikan Islam tidak tercemar atau dipengaruhi oleh unsur-unsur yang akan menjejaskan kedaulatan Islam selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

* Menyedari bahawa selama ini masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak memahami bidang kuasa dan peranan MAIN secara jelas.

* Menyedari kepentingan pendidikan Islam dalam mencorakkan masa depan umat Islam di negara ini.

* Menyedari kepentingan MAIN perlu berperanan sebagai pemacu pendidikan ummah.

Kampung Ayer Hitam digenangi air

Posted:

Kampung Ayer Hitam digenangi air

Kampung Ayer Hitam digenangi air

TELUK INTAN 2 Mac - Hujan lebat sejak tiga hari lalu menyebabkan beberapa kawasan sekitar Batu 15 Kampung Ayer Hitam di sini dilanda banjir.

Sekurang-kurangnya 35 keluarga di kampung tersebut terjejas ekoran paras air yang naik sehingga 1.5 meter sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda dan kawasan pertanian.

Kejadian dipercayai berpunca akibat limpahan air Sungai Bidor yang tidak mampu menampung paras air ekoran hujan lebat luar biasa sejak beberapa hari lalu.

Jambatan Ayer Hitam yang menjadi satu-satunya laluan menghubungkan kampung tersebut dengan Bandar Langkap dan Kampung Gajah di sini juga terpaksa ditutup kerana dinaiki air.

Ketua Kampung Ayer Hitam, Mohamad Din Hussin memberitahu, kejadian itu boleh dielakkan sekiranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membersihkan parit-parit di perkampungan itu yang kebanyakannya tersumbat.

"Ini kerana, setiap kali hujan lebat, paras air naik mendadak dan risiko banjir tidak dapat dielakkan. Kita bimbang jika kerja-kerja pembersihan tidak dilakukan, keadaan akan menjadi lebih buruk.

"Lebih merisaukan, banjir yang kerap akan membahayakan kedudukan rumah penduduk di tepi sungai jika berlaku kejadian hakisan yang serius," katanya ketika ditemui di kampung itu semalam.

Menurut seorang penduduk, Normala Salleh, 41, kejadian itu merupakan yang kedua selepas banjir kilat melanda perkampungan itu hujung tahun lalu.

"Sejak semalam penduduk tidak boleh keluar masuk dari rumah kerana air naik melebihi paras lutut. Mujur banjir kali ini tidak seteruk tahun lalu yang merekodkan air naik hingga paras pinggang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Saidon Salam, 75, pula memberitahu, kejadian tersebut menyebabkan penduduk mengalami kerugian harta benda apabila banyak peralatan perabot dan barangan elektrik musnah atau rosak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzli Paharudin yang meninjau kawasan tersebut menggesa pihak berkuasa termasuk JPS mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir di kampung itu.

"Kejadian banjir ini bukan sahaja menyukarkan penduduk, malah ramai yang hilang punca pendapatan apabila banyak hasil tanaman seperti kelapa sawit dan pisang rosak akibat ditenggelami air," ujarnya.

100 penduduk miskin, warga emas, OKU terima bantuan

Posted:

100 penduduk miskin, warga emas, OKU terima bantuan

100 penduduk miskin, warga emas, OKU terima bantuan

TASEK GELUGOR 2 Mac - Seramai 100 penduduk, termasuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Sungai Dua, Permatang Berangan dan Teluk Air Tawar menerima bantuan berjumlah RM104,600 di Dewan Perda Permatang Tok Jaya di sini semalam.

Bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang itu diberikan kepada 30 penduduk Sungai Dua, Permatang Berangan (40) dan Teluk Air Tawar (30).

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed.

Pegawai Unit Pembangunan Sosial, Ekonomi dan Bantuan JKM Pulau Pinang, Junaidi Ayob berkata, bantuan itu diberikan kerana ada di antara mereka tidak menerima elaun itu sehingga beberapa bulan.

"Kita memanggil mereka untuk menyelesaikan kes bayaran tertunggak itu.

"Melalui pertemuan ini, ia boleh mengeratkan hubungan antara golongan itu dengan kakitangan JKM sendiri," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Junaidi memberitahu, pihaknya mendapati masih ramai penerima bantuan JKM di negeri Pulau Pinang belum menukar kad baru OKU setelah diperkenalkan beberapa bulan lalu.

"Kita minta semua penerima bantuan JKM dapat menukar kad lama kepada kad baru bagi kemudahan mereka," katanya.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Jasmin berharap penerima bantuan bulanan menggunakan wang itu untuk membeli pelbagai barangan keperluan di rumah masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan