Selasa, 6 Mac 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Rakyat perlu bijak menilai

Posted:

Rakyat perlu bijak menilai

Rakyat perlu bijak menilai


Mohd. Khalil Yaakob memeriksa perbarisan hormat Askar Melayu Diraja dari Kem Syed Sirajuddin Gemas pada Majlis Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri di Melaka, semalam.


MELAKA 5 Mac - Rakyat diminta bijak menilai kemajuan yang dibawa oleh kerajaan yang memerintah.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob berkata, seluruh dunia mengakui Malaysia adalah sebuah negara yang boleh dicontohi. Rakyatnya hidup sejahtera dan damai.

''Jika kita tinjau dari aspek persekitaran politik, kedudukan ekonomi dan keselamatan di negara-negara di dunia hari ini, kita dapat lihat gambaran yang tidak menyenangkan.

''Negara-negara yang dulunya dianggap sebagai gergasi ekonomi turut dilanda dengan krisis perpecahan politik, kelemahan ekonomi, ancaman pengangguran, kenaikan harga barang dan perpecahan kerana merebut kuasa kepimpinan.

''Sebaliknya, kita harus bersyukur kerana pihak kerajaan yang memerintah di negara kita sentiasa mengambil langkah-langkah penyelesaian untuk meringankan beban rakyat dan membantu mengukuhkan kedudukan rakyat," katanya.

Mohd. Khalil berucap ketika merasmikan pembukaan sidang Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Seri Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurutnya, usaha lain yang telah dijalankan adalah meningkatkan pendapatan keluarga, menambah keperluan kesihatan dan perubatan, kawalan harga barang keperluan dan sebagainya.

''Di negeri ini, saya berbangga kerajaan negeri telah dapat menyelaraskan dengan baik program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 seorang bagi mereka yang layak," ujarnya.

Beliau menambah, keadaan yang dihadapi oleh beberapa negara luar sebaliknya tidak berlaku di Malaysia.

Mohd. Khalil turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat kerana telah berjaya menterjemahkan konsep 1Malaysia.

Melalui konsep itu, katanya, ia telah dapat mewujudkan kestabilan politik di negeri ini yang sekali gus menggalakkan keyakinan pelabur dari luar dan dalam menanam modal di pelbagai bidang seperti industri, perkhidmatan, pelancongan, pendidikan dan pertanian.

Bukit Tunggal dipelihara sebagai tapak warisan

Posted:

Bukit Tunggal dipelihara sebagai tapak warisan

Bukit Tunggal dipelihara sebagai tapak warisan

KUALA PILAH 5 Mac - Komitmen yang tinggi terserlah pada wajah anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan adiknya, Tunku Zain Al-'Abidin ketika berjalan kaki meredah belantara sejauh hampir dua kilometer melawat tapak bersejarah di Bukit Tunggal, Jumbang dekat sini, baru-baru ini.

Kedua-dua putera Tuanku Muhriz Tuanku Munawir itu, bukan sahaja tidak menunjukkan kepenatan sebaliknya dengan berpakaian ringkas serta but berjaya mendaki bukit setinggi 262 meter dari paras laut selama hampir sejam sebelum tiba di Jeram Jumbang.

Jeram tersebut pernah menjadi persinggahan Raja Melewar ketika datang ke sini, hampir tiga abad yang lalu.

Ekspedisi yang diatur itu bertujuan memperlihatkan kesan peninggalan sejarah serta kewujudan penempatan manusia, selain penemuan artifak termasuklah tapak kaki manusia dan batu giling pada batu.

Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Pauzi Abdul Latiff yang menemui tapak berkenaan sekitar 2009 memberitahu, lawatan kedua-dua putera Diraja Negeri Sembilan itu membuka harapan untuk menjadikan tapak ini sebagai satu lagi warisan sejarah di negeri ini.

''Tunku Ali Redhauddin tertarik dengan penemuan ini ketika melihat pameran fotografi pelajar UPM di Istana Lama Seri Menanti sempena Hari Keputeraan ayahandanya, Januari lalu dan menyatakan hasrat untuk melawat ke lokasi tersebut.

''Alhamdulillah hajat kedua-dua putera Tuanku Muhriz ini dapat ditunaikan dan selepas lawatan yang disertai itu, mereka mahu kawasan ini dipelihara sebagai tapak warisan, pelancongan dan rekreasi," katanya di sini baru-baru ini.

Antara artifak yang ditemui termasuklah batu hampar yang unik kerana mempunyai dua batu kecil di bawah sebagai alas supaya rata.

Selain itu, turut ditemui adalah sebuah batu yang tinggi dipercayai menjadi tempat bertapa pula mempunyai kesan takik untuk memanjat, manakala batu lain mempunyai kesan tempat meletak lembing.

Ekspedisi ini turut disertai kira-kira 30 pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan negeri, Tourism Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).

Barisan Nasional Melaka diminta sedia senarai calon PRU-13

Posted:

Barisan Nasional Melaka diminta sedia senarai calon PRU-13

Barisan Nasional Melaka diminta sedia senarai calon PRU-13

MELAKA 5 Mac - Semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini diarahkan untuk mengenal pasti calon-calon yang layak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, senarai itu perlu disediakan lebih awal bagi diperhalusi sebagai calon boleh menang sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Semua parti komponen sudah boleh bersedia dengan senarai calon masing-masing kerana apabila Perdana Menteri minta, kita boleh serah senarai itu pada bila-bila masa yang diminta.

''Sekarang ini, semua sudah boleh fikirkan calon-calon yang boleh menang untuk disenaraikan bagi menghadapi pilihan raya nanti. Kita tak pasti bila pilihan raya akan diadakan, tetapi nampaknya semakin hampir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Kelima di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurutnya, dari segi pembahagian kerusi hanya terdapat satu perubahan bagi menghadapi pilihan raya kali ini apabila MCA menyerahkan satu kerusi iaitu DUN Kota Laksamana kepada calon Parti Progresif Rakyat (PPP).

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, atas persetujuan yang dicapai jika BN berjaya merampas kerusi itu daripada DAP, jawatan senator yang disandang oleh Pengerusi PPP negeri, Datuk Chiw Tiang Chai akan diserahkan kepada MCA.

Berdasarkan perubahan tersebut UMNO kekal bertanding di 18 kerusi DUN, MCA (tujuh), Gerakan, MIC dan PPP masing-masing dengan satu kerusi.

Bagi kerusi Parlimen pula UMNO kekal bertanding di empat kawasan iaitu Tangga Batu, Masjid Tanah, Jasin dan Bukit Katil, manakala MCA pula di dua kawasan iaitu Alor Gajah dan Kota Melaka.

Ditanya mengenai senarai calon daripada UMNO pula, Mohd. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Baru berkata: ''Kita akan siap senarai bila Perdana Menteri minta nanti."

Dalam pada itu, beliau turut membayangkan calon-calon baru akan turut dikemukakan oleh UMNO bagi menghadapi pilihan raya nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan