Selasa, 6 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Surat Tun Mahathir bukan bukti iktiraf Israel

Posted:

Surat Tun Mahathir bukan bukti iktiraf Israel

Surat Tun Mahathir bukan bukti iktiraf Israel

PUTRAJAYA 5 Mac – Semua surat yang dihantar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel tidak boleh dijadikan bukti pengiktirafan kerajaan terhadap rejim Zionis itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan sentiasa konsisten dengan pendirian menyokong rakyat Palestin dan tidak mengiktiraf kewujudan kerajaan Israel.

Tegasnya, surat bekas Perdana Menteri itu tidak lebih daripada sekadar menjawab semula permintaan Israel untuk mengadakan hubungan diplomatik.

"Kalau baca betul-betul tidak ada pun, cuma disebut sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak berbelah-bahagi dan ia memberi peringatan pada Israel.

"Surat itu tidak lebih daripada mengatakan jika soal rakyat Palestin pun tidak boleh diselesaikan jadi jangan bercakap soal mengadakan rundingan diplomatik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai program Road to London di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam laman portal propembangkang, Malaysiakini semalam bahawa kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel selepas menghantar surat rasmi kepada negara Yahudi itu.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkaples Embong dan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Terdahulu minggu lalu, kerajaan mendedahkan kepada umum tiga pucuk surat Dr. Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin pada 21 Disember 1993; Benjamin Netanyahu pada 4 Mac 1997 dan Ehud Barak pada 8 Jun 1999.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, orang ramai perlu membezakan antara mengadakan hubungan diplomatik dan menjalin hubungan keselamatan dengan sesebuah negara.

Katanya, ini kerana mengadakan hubungan keselamatan bermaksud sesebuah kerajaan itu bersetuju memberi perlindungan ketenteraan kepada negara yang mengadakan perjanjian itu.

"Adakan hubungan diplomatik berbeza dengan seorang yang mengatakan akan memastikan keselamatan negara Israel, contohnya kita ada hubungan diplomatik dengan Rusia tetapi kita tak cakap akan menjamin keselamatan mereka jika ada negara serang Russia.

"Begitu juga dengan Amerika, kita ada hubungan diplomatik tetapi tidak bermakna jika mereka diserang kita akan hantar tentera," katanya.

Malaysia akan ganti semua kenderaan 4WD tentera

Posted:

Malaysia akan ganti semua kenderaan 4WD tentera

Malaysia akan ganti semua kenderaan 4WD tentera

BANGKOK 5 Mac – Malaysia akan menggantikan semua kenderaan pacuan empat rodanya yang telah uzur mulai Jun depan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan memperoleh kenderaan itu dari Thailand, dikeluarkan oleh sebuah syarikat Malaysia, Weststar Group, berpangkalan di Pattaya. "Kenderaan 4x4 yang digunakan oleh ketiga-tiga perkhidmatan tentera sudah usang dan tidak menjimatkan untuk disenggara," katanya kepada media Malaysia selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand Sukumpol Suwanatat, di sini. Kedua-dua pemimpin itu telah menghadiri sidang Pertahanan dan Keselamatan 2012, satu acara Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri tiga perkhidmatan Asia bagi Darat, Laut dan Udara, di IMPACT Exhibition and Convention Centre, di sini. Ahmad Zahid berkata prioriti program baru 4WD itu ialah menggunakan komponen Malaysia termasuk untuk alat gantinya.

Kelewatan pembantu rumah kerana belum jalani kursus 200 jam

Posted:

Kelewatan pembantu rumah kerana belum jalani kursus 200 jam

Kelewatan pembantu rumah kerana belum jalani kursus 200 jam

ROMPIN 5 Mac - Kemasukan pembantu rumah Indonesia ke negara ini telah ditangguhkan ke 1 April daripada jadual asal 1 Mac lepas disebabkan tenaga kerja berkenaan belum menjalani latihan dan kursus selama 200 jam sebagaimana ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, latihan berkenaan adalah penting untuk dilalui mereka bagi memastikan pembantu rumah yang dihantar ke negara ini berkualiti dan memenuhi kehendak majikan.

"Pada masa ini pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan kerajaan Indonesia sedang memantau supaya tarikh asal ditangguhkan sebulan lagi kerana pembantu rumah yang akan dibekalkan ke sini belum lagi menjalani kursus 200 jam berkenaan.

"Penangguhan itu tidak ada kena-mengena dengan dakwaan kes penderaan oleh seorang pegawai tinggi kerajaan dan isterinya terhadap dua pembantu rumah Indonesia mereka baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek perumahan terbengkalai di sini hari ini.

Menurut Maznah, antara syarat yang dipersetujui kedua-dua negara adalah pembantu rumah perlu menjalani latihan selama 200 jam sebelum dihantar ke negara ini manakala majikan perlu membekalkan profil permohonan kepada kerajaan Indonesia yang kemudiannya akan memberi biodata pembantu rumah untuk dipilih.

Kedua-dua negara juga katanya bersetuju mengadakan kontrak kerja untuk pembantu rumah dan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada kadar RM4,511.

Beliau berkata, setakat ini ejen pengambilan pembantu rumah yang berdaftar dengan kementerian sedang bekerjasama dengan 12 agensi pekerja di Indonesia untuk menyelaraskan penghantaran pembantu rumah.

Maznah berkata, agensi di Indonesia akan memastikan pembantu rumah terbabit yang akan dihantar menjalani latihan serta memenuhi syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Setakat ini, sebanyak 128 majikan di negara ini sudah mengemukakan permohonan kepada agensi terbabit untuk mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia dan bilangan ini dijangka bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, majikan yang berminat mendapatkan khidmat pembantu rumah boleh melayari laman web jtksm.mohr.gov.my untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan