Isnin, 5 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Kekalkan sikap berdaya saing

Posted:

Kekalkan sikap berdaya saing

Kekalkan sikap berdaya saing

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my


Najib Tun Razak ketika melancarkan Sekretariat Gedung NGO@KPWKM pada Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) NGO anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus memperkasakan konsep jaringan keselamatan sosial rakyat di negara ini agar setiap lapisan masyarakat kekal berdaya saing.

Perdana Menteri menegaskan, usaha itu termasuk mendengar keluhan setiap lapisan masyarakat untuk dipertimbangkan, seterusnya menyediakan pelbagai bentuk peluang dan skim bagi memastikan kesejahteraan mereka.

Kata beliau, ia amat berbeza dengan konsep welfare state yang banyak diamalkan di negara maju sehingga menyaksikan negara berkenaan mengalami ketidaktentuan serta kemelesetan ekonomi.

"Apabila mereka mengamalkan konsep welfare state, ia lebih kepada kerajaan memberi segala-gala yang dituntut oleh rakyat dan mereka tidak berusaha.

"Seperti contoh, mereka menuntut waktu bekerja dipendekkan kepada 35 jam seminggu berbanding 48 jam dan kalau mereka tidak ada pekerjaan, mereka boleh mengharapkan bantuan kerajaan dan kelebihan yang ada pada negara itu dari segi daya saing, etika kerja dan kekuatan dalaman semakin hari semakin tumpul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Perdana Menteri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan Sekretariat Gedung NGO@KPWKM di bawah kelolaan Institut Sosial Malaysia (ISM) bagi menyelaraskan pelbagai suara dan tuntutan kira-kira 4,000 NGO di seluruh negara.

Dalam pada itu, kata Najib, kerajaan akan terus mendampingi pelbagai NGO sebagai rakan kongsi strategik dalam usaha pembangunan masyarakat.

Katanya, peranan NGO sebagai satu kuasa baru adalah semakin penting ekoran fenomena ledakan maklumat dalam era globalisasi yang disaksikan di seluruh dunia kini.

"NGO mewakili kumpulan masing-masing sama ada untuk memperjuangkan soal hak wanita, orang kurang upaya (OKU) dan perlindungan kanak-kanak atau apa sahaja, maka mereka ini merupakan sebahagian daripada masyarakat kita yang bertambah penting berbanding masa lalu," katanya.

Jumlah cuti umum kekal

Posted:

Jumlah cuti umum kekal

Jumlah cuti umum kekal

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin diiringi Liow Tiong Lai bersalaman dengan peserta ketika hadir untuk merasmikan Larian dan Hari Buah Pinggang Sedunia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/amin farij hasan


KUALA LUMPUR 4 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang mengurangkan jumlah cuti umum apabila polisi gaji minimum dilaksanakan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelaksanaan polisi tersebut telah mengambil kira aspek produktiviti, justeru adalah penting untuk semua pihak meningkatkan aspek itu supaya ekonomi negara terus berkembang.

Katanya, kerajaan tidak membuat keputusan terburu-buru berhubung polisi gaji minimum pekerja sektor swasta itu, sebaliknya kajian mendalam dari pelbagai aspek untuk tempoh masa yang lama telah dibuat dan persetujuan banyak pihak telah dicapai berhubung isu itu.

"Kita sudah berbincang mengenai perkara ini sejak sekian lama, tunggulah Perdana Menteri akan umumkan dalam tempoh terdekat ini dan memberi perincian mengenainya," katanya mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai gaji minimum yang disiarkan dalam blog beliau baru-baru ini.

Dr. Mahathir bimbang Malaysia mungkin menghadapi kesukaran kewangan serius atau menjadi muflis seperti Barat jika kerajaan membayar lebih untuk kurang bekerja.

Sebelum itu, Muhyiddin merasmikan Larian dan Hari Buah Pinggang Sedunia yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, polisi gaji minimum telah dilaksanakan di banyak negara kecuali Malaysia.

"Kita telah mengambil kira kesannya kepada ekonomi negara dan kalau pun gaji minimum akan ditetapkan, semua pihak ada peranan masing-masing bagi memastikan ekonomi terus berkembang," katanya.

Berhubung kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai penswastaan perkhidmatan kerajaan, beliau menegaskan dasar penswastaan telah diamalkan kerajaan sejak dahulu lagi.

"Kita ada dasar untuk menswastakan sesuatu perkhidmatan atau kemudahan infrastruktur, malah sebahagian pertumbuhan dalam negara adalah hasil dasar penswastaan ini," ujar beliau.

Malah kata Muhyiddin, kerajaan mahu pihak swasta berperanan lebih daripada kerajaan untuk masa depan negara kerana kumpulan tersebut akan menjadi enjin pertumbuhan negara.

Jangan pertikai aset ATM - Zahid

Posted:

Jangan pertikai aset ATM - Zahid

Jangan pertikai aset ATM - Zahid

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 4 Mac - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin pembangkang tidak menjadikan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai modal politik kerana ia boleh memudaratkan keselamatan negara.

Menurut beliau, ahli politik perlu tahu membezakan antara soal pertahanan negara dengan isu politik yang sepatutnya mempunyai garis pemisah antara kedua-duanya.

Malah katanya, tindakan pembangkang yang sebelum ini menjadikan beberapa aset pertahanan negara sebagai modal politik dan isu mereka, akhirnya terbukti tidak berasas.

"Dulu kata kapal terbang tidak ada enjin, mereka menyindir saya, tetapi jelas bukan Menteri Pertahanan atau Panglima Tentera Udara ataupun pegawai yang terlibat tetapi ia dicuri oleh seorang berpangkat sarjan sahaja dan kita telah melakukan pendakwaan.

"Apabila kapal selam didakwa tidak boleh menyelam, kita bawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelam bersama," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rasmi kapal selam SMD Ouessant Agosta daripada Kementerian Pertahanan kepada kerajaan negeri Melaka yang diwakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.

Menurut beliau, tidak ada satu pun negara di dunia yang sanggup mendedahkan apa sahaja aset negara atau strategi pertahanan mereka untuk diketahui umum.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pembangkang juga mempertikaikan pembelian Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV) dengan harga RM9 bilion.

"Tetapi apabila kita jelaskan pembelian itu adalah menerusi peruntukan RM6 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan RM3 bilion dalam RMK-9, barulah mereka faham," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli politik khususnya parti pembangkang tidak menyentuh soal aset pertahanan negara dalam setiap ceramah yang mereka anjurkan kerana ia bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat malah memudaratkan pertahanan negara.

Menurut beliau, pembangkang sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada Kementerian Pertahanan berhubung sesuatu perkara agar ia dapat ditangani dengan baik.

"Kita mengharapkan apabila kementerian memberi bukti secara telus maka jangan ada fakta yang diputar belit dan jangan mencari perkara-perkara baru kerana ia boleh melukakan hati panglima, pegawai-pegawai kanan dan anggota ATM," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan