Ahad, 4 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Buktikan dakwaan kerajaan terpaksa meminjam bayar BRIM

Posted:

Buktikan dakwaan kerajaan terpaksa meminjam bayar BRIM

Buktikan dakwaan kerajaan terpaksa meminjam bayar BRIM

BALING 3 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencabar pembangkang mengemukakan bukti bahawa Kerajaan Pusat terpaksa membuat pinjaman untuk melaksanakan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Perdana Menteri berkata, tuduhan itu adalah satu pembohongan dan sengaja disebarkan sebagai modal politik untuk mengaburi mata rakyat.

"Apa bukti kita pinjam duit? Sampai sekarang mereka (pembangkang) tidak ada bukti bahawa kita membuat pinjaman dan ini menunjukkan bahawa dakwaan itu adalah palsu.

"Kita tidak pinjam duit kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) ada kekuatan serta kemampuan mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik dan cekap," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil, dekat sini hari ini.

Najib menambah, peruntukan untuk pelaksanaan BRIM iaitu sebanyak RM2.6 bilion adalah sebahagian daripada hasil pendapatan negara tahun lalu yang melonjak lebih RM26 bilion.

Dalam hal itu katanya, di Kedah sahaja, seramai 328,157 orang layak menerima BRIM melibatkan peruntukan berjumlah RM164.08 juta.

Beliau menambah, ketika mengumumkan Bajet 2012, banyak pihak yang berpendapat beberapa projek menerusi belanjawan itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kerajaan, namun kini telah berjaya ditunaikan.

"Setiap murid sekolah kita janjikan RM100 dan perkara ini juga sudah kita tunaikan.

''Kita juga turut memberi RM500 kepada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah melibatkan kira-kira 80 peratus isi rumah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Pas kini menjadi 'Parti Asyik Serabut' yang sering menyusahkan rakyat kerana pemimpinnya kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Menurut Najib, beliau sendiri tidak faham dengan hala tuju perjuangan parti itu yang disifatkan beliau sering 'menyerabutkan' pemikiran rakyat.

"Mula-mula dia kata negara Islam, kemudian negara berkebajikan dan kata bukan Melayu boleh jadi Timbalan Presiden, tapi Musyidul Am pula kata tidak boleh,'' ujarnya.

Dialog Pendidikan Nasional

Posted:

Dialog Pendidikan Nasional

Dialog Pendidikan Nasional

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada Pengusaha Kraftangan Sinar Warisan, Naim Marjani yang menghasilkan Kuda Kepang pada Program Bersama Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Vokasional Jalan Sg. Abong di Muar, semalam. Turut sama, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. - BERNAMA


PAGOH 3 Mac - Kementerian Pelajaran akan memulakan siri jelajah Dialog Pendidikan Nasional ke seluruh negara pada bulan depan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak dalam menambah baik sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kajian telah dilakukan sejak tahun lalu dalam usaha menilai sama ada sistem pendidikan negara mencapai matlamat bagi melahirkan rakyat yang terdidik dengan ilmu berkualiti.

"Banyak kemajuan telah kita capai tetapi dalam dunia yang lebih kompetitif sekarang, kita mahu melihat semula tentang apa yang telah kita lakukan dalam sistem pendidikan dan kekuatan serta kelemahan yang ada selain perkara yang perlu dilakukan untuk menambah baik mutunya.

"Kita akan mulakan bulan depan apa yang dipanggil Dialog Pendidikan Nasional bertujuan untuk mendapatkan pandangan yang boleh kita kumpulkan dari semua kaum dan keturunan serta mewakili mereka yang berkepentingan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Parlimen Pagoh melibatkan 516 penerima.

Katanya, pihak yang berminat akan dipelawa menyertai dialog itu dan tempoh dialog juga mungkin dilanjutkan selagi ada pihak mahu mengemukakan pandangan.

Jelasnya, ini adalah masa terbaik selari dengan Gagasan 1Malaysia 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' iaitu rakyat diminta tampil meluahkan pandangan tentang bagaimana sistem pendidikan dapat diperbaiki, diubah atau berkaitan dengan dasar.

"Boleh dikatakan ia mencakupi semua bidang, kita tidak mahu halang sesiapa dan semuanya akan diambil kira. Mungkin kita akan pergi satu-satu negeri selama sehari atau dua hari selagi ada pihak mahu memberi pandangan.

"Kalau orang Melayu ada pandangan atau ada perkara yang perlu diperbaiki, maka mereka boleh tampil ke depan. Begitu juga masyarakat Cina dan India, jika merasakan ada keperluan, mereka boleh kemukakan pandangan," katanya.

Tambah Muhyiddin, pihaknya juga melakukan banyak kajian melalui kumpulan pakar yang dilantik untuk mempertimbangkan cadangan dan dibentang kepada rakyat sebelum dibawa kepada kerajaan dan diterima pakai dalam bentuk laporan pelajaran terbaharu.

Keluarga Sharlinie tidak putus harapan

Posted:

Keluarga Sharlinie tidak putus harapan

Keluarga Sharlinie tidak putus harapan


Sharlinie


KUALA LUMPUR 3 Mac – Empat tahun berlalu, namun, keluarga Sharlinie Mohd. Nashar tidak pernah putus harapan, malah sentiasa yakin akan menemui kanak-kanak yang hilang tanpa dapat dikesan itu satu hari kelak.

Bapanya, Mohd. Nashar Mat Hussein, 33, berkata, atas keyakinan itu dia sekeluarga berusaha mencari Sharlinie di beberapa negara jiran termasuk di Thailand, Indonesia, Singapura dan Myanmar.

Katanya, sehingga hari ini, tiada sebarang maklumat terbaru berhubung misteri kehilangan Sharlinie dimaklumkan kepadanya.

"Sebagai orang Islam saya tidak akan berputus asa dengan rahmat Allah dan tetap meneruskan usaha mencari selain berdoa.

"Naluri saya dan isteri pula kuat mengatakan anak saya masih ada di dalam negara ini. Kami merancang untuk ke Sabah dan Sarawak namun, masih belum dapat ke sana.

"Saya sentiasa percaya Allah beri yang lebih baik daripada apa yang kita minta dan doa kami semoga walau di mana jua Sharlinie berada, Allah akan melindunginya," katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Mohd. Nashar, hikmah Allah di sebalik kejadian itu tiada siapa yang tahu, namun, kehadiran seorang lagi cahaya mata keempat bagai mengubati kerinduan dan penawar luka selepas kehilangan Sharlinie.

Katanya, kelahiran Adam yang kini berusia dua tahun disambut dengan rasa kesyukuran, malah, dua kakak Sharlinie sangat teruja dengan adik lelaki pertama dalam keluarga mereka.

"Adam adalah 'hadiah Allah' dalam saat kami diberi ujian yang sehebat ini dan kami sekeluarga yakin setiap anak yang lahir ke dunia sudah ditetapkan rezeki masing-masing," katanya.

Mohd. Nashar yang tidak memiliki pekerjaan tetap meluahkan rasa kesyukuran kerana masih diberi kudrat dan kesihatan untuk mencari rezeki yang halal untuk keluarganya.

"Saya lakukan pelbagai kerja termasuk kerja-kerja kontrak dan kerja-kerja pemasangan serta pendawaian elektrik," katanya.

Sharlinie diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008.

Sejak itu, selain polis, pelbagai pihak termasuk media dan orang perseorangan menghulurkan bantuan mencarinya tetapi sehingga kini usaha itu masih gagal membuahkan hasil.

Mohd. Nashar sekeluarga kemudian mengambil keputusan berpindah ke Dungun, Terengganu selepas tidak sanggup lagi berada di rumah sewa mereka di Taman Medan, Petaling Jaya, dekat sini lapan bulan selepas kehilangan Sharlinie.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan