Jumaat, 2 Mac 2012

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Kejayaan hebat LHDN

Posted:

Kejayaan hebat LHDN

Kejayaan hebat LHDN


NAJIB Tun Razak melihat model Menara Hasil Cyberjaya sebagai bangunan ibu pejabat baharu Lembaga Hasil Dalam Negeri sambil diperhatikan Dr. Mohd. Shukor Mahfar (tiga dari kanan) pada perasmiannya di Cyberjaya, semalam.


CYBERJAYA 1 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan hebat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip cukai bernilai RM109.7 bilion tahun lalu membolehkan kerajaan memperhebatkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat melalui pelbagai program dan produk.

Perdana Menteri berkata, nilai kutipan yang merupakan 27 peratus lebih tinggi berbanding pada 2010 itu juga membuktikan kerajaan berjaya menguruskan ekonomi dengan baik.

Menurut beliau, keadaan itu merangsang pertumbuhan sektor swasta tempatan di samping memberi keyakinan kepada pasaran luar untuk melabur di negara ini.

"Apabila ada sekolah, kita tidak hanya bina dan bayar gaji guru tetapi segala program kurikulum kebangsaan. Malah, dalam Bajet 2012 kita isytiharkan pendidikan percuma (peringkat sekolah) buat kali pertama dalam sejarah negara.

"Apabila kita sediakan perkhidmatan kesihatan dengan hanya RM1, boleh jumpa doktor sementara dengan RM5 kita boleh jumpa doktor pakar dan bayangkan kos sebenar. Kita hanya kutip dua peratus daripada kos sementara 98 peratus lagi ditanggung kerajaan hasil kutipan cukai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan ibu pejabat baru LHDN yang dikenali sebagai Menara Hasil, seterusnya melancarkan Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussain dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kegagalan agensi kerajaan mengutip cukai boleh menyebabkan keruntuhan ekonomi negara seperti yang dialami oleh kebanyakan negara Eropah kebelakangan ini.

"Tetapi kita bernasib baik kerana mempunyai asas perolehan yang kukuh," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan LHDN supaya tidak bertindak melulu dan menyalahgunakan kuasa dalam proses mengutip cukai ke atas masyarakat awam dan sektor swasta, sebaliknya menggunakan lunas undang-undang sedia ada secara efektif.

Katanya, LHDN perlu melakukan penambahbaikan berterusan dalam budaya kerja, cara, teknologi, pengetahuan dan bidang seperti perakaunan forensik untuk menambah kecekapan agensi tersebut.

"Kepada mereka yang enggan bayar cukai, caranya ialah kita bertindak supaya ada sedikit rasa gerun tetapi jangan sampai mereka kena serangan jantung, bagi berpeluh sahaja," katanya.

PM harap peneraju industri Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

Posted:

PM harap peneraju industri Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

PM harap peneraju industri Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

SHAH ALAM 1 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan kira-kira 300 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemimpin industri di negeri ini dalam satu majlis dialog dan makan tengah hari di sini hari ini.

Dalam pertemuan selama kira-kira dua jam itu, Perdana Menteri meletakkan harapan agar para peneraju industri dapat memainkan peranan melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Koordinator Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pada pertemuan itu, Perdana Menteri menekankan tentang kerjasama tersebut memandangkan sektor berkenaan menerima kesan langsung daripada hasil perbelanjaan serta sistem penyampaian kerajaan dalam mewujudkan iklim mesra perniagaan dan pelaburan khususnya di Selangor.

Beliau berkata, peneraju industri merupakan sektor yang akan menerima kesan sekiranya perbelanjaan dan sistem penyampaian Kerajaan Persekutuan sukar dilaksanakan serta wujud percanggahan pandangan atau pendapat dengan kerajaan negeri.

''Di Selangor, usaha menyediakan pembangunan industri banyak bergantung kepada Kerajaan Persekutuan menerusi perbelanjaan pokok yang mesti mendapat kerjasama kerajaan negeri dan pelaksanaan pembangunan itu tidak boleh ada percanggahan atau pendapat.

''Sebagai contoh, projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor oleh Kerajaan Persekutuan mendapat tentangan daripada kerajaan negeri. Sedangkan keadaan itu tidak harus berlaku kerana ia memberi kesan kepada industri dan rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut di Hotel Concorde di sini hari ini.

Perkasa penyaluran maklumat - TPM

Posted:

Perkasa penyaluran maklumat - TPM

Perkasa penyaluran maklumat - TPM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan ABD. HALIM HADI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, telah sampai masanya negara-negara ASEAN menggunakan media arus perdana serta media sosial secara bersepadu dalam menyalurkan pelbagai maklumat kepada masyarakat di rantau ini.

Beliau berkata, langkah itu wajar dijadikan satu keutamaan supaya rakyat di semua negara ASEAN bermaklumat dan itu amat penting bagi pembangunan rantau seperti di Asia Tenggara.

Malah, beliau yakin melalui tindakan seperti itu, ia sekali gus dapat meningkatkan lagi kerjasama serta sokongan dalam kalangan negara ASEAN kerana masing-masing mempunyai satu misi dan tujuan.

''Saya percaya dengan usaha memperkasakan penyaluran secara berterusan kepada rakyat, kita boleh mengorak langkah seterusnya dalam konteks bekerja dan kerjasama bagi merealisasikan misi dan tujuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN (AMRI) Ke-11 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri- Menteri Penerangan ASEAN, pegawai tertinggi penerangan dan komunikasi ASEAN.

Bertemakan 'Media: Mengakrabkan Hubungan, Menjalin Budaya Ke Arah Komuniti Satu ASEAN', persidangan selama tiga hari itu turut dihadiri rakan dialog ASEAN iaitu Jepun, Korea dan China.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, selain media tradisional, kewujudan media sosial perlu diperakui oleh semua pihak di rantau ASEAN.

Kata Timbalan Perdana Menteri, peranannya kini semakin penting dalam masyarakat global dan buktinya paling jelas berlaku semasa kejatuhan beberapa kerajaan di dunia Arab, baru-baru ini.

''Sehubungan itu, pengajaran dalam semua kejadian ini, maka kita perlu mendekatkan diri dengan masyarakat melalui media sosial," ujarnya.

Seperkara lagi, beliau berkata, media sosial merupakan satu platform terbaik dalam usaha kerajaan memahami aspirasi serta kehendak rakyat.

Muhyiddin di dalam ucapannya turut menyentuh mengenai kerja keras yang perlu dilakukan oleh negara-negara ASEAN bagi membentuk identiti secara kolektif sama ada dalam bentuk personaliti, norma, nilai mahu pun kepercayaan.

''Untuk berbuat demikian kita mesti berusaha mewujudkan perasaan kepunyaan, menyatukan perpaduan dalam kepelbagaian serta menguatkan persefahaman bersama antara negara ASEAN dalam bidang kebudayaan, sejarah, agama dan ketamadunan," katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan yang dicapai oleh negara-negara ASEAN amat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.

''Saya percaya jika kita dapat menjadikan negara-negara ASEAN lebih bersatu padu dengan memberi penekanan kepada hubungan simbiotik barulah potensi dan dinamiknya rantau ini yang mempunyai 600 juta penduduk menjadi satu kuasa yang perlu diambil kira dalam masa terdekat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan