Selasa, 6 Mac 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Tindakan Hilmi lari ke Indonesia dipersoal

Posted:

Tindakan Hilmi lari ke Indonesia dipersoal

Tindakan Hilmi lari ke Indonesia dipersoal

06/03/2012 9:13pm

KUALA LUMPUR — Polis Malaysia mempersoalkan tindakan Hilmi Hazimin Malek, yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong, melarikan diri ke luar negara sehingga ditahan pihak berkuasa Indonesia di Pulau Batam kerana memiliki dokumen perjalanan palsu.

"Kalau dia (Hilmi) tidak bersalah, mengapa dia patut takut dan lari ke luar negara, kalau dia berada di pihak yang benar, maka beliau perlu menjelaskan segala-galanya," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Aziz Zakaria kepada Bernama.

Beliau berkata, keterangan Hilmi Hazimin akan membantu siasatan terperinci polis berhubung rakaman dan penyebaran gambar Wong.

Sebuah portal Indonesia sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai "Azmin Helmi", yang kemudian disahkan sebagai Hilmi Hazimin, ditahan Imigresen Indonesia kerana memiliki dokumen palsu.

Hilmi dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dikatakan memiliki kad pengenalan serta kad keluarga Indonesia palsu.

"Kita telah merakam kenyataan ibu bapa dia (Hilmi) dan kita percaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.— BERNAMA

Balai polis diserang: Penduduk diminta bertenang

Posted:

Balai polis diserang: Penduduk diminta bertenang

Balai polis diserang: Penduduk diminta bertenang

06/03/2012 9:13pm

GEORGETOWN — Polis Pulau Pinang meminta penduduk di sekitar Teluk Bahang bertenang dan memberi masa kepada pihak polis menyelesaikan siasatan kes serangan balai polis di situ oleh kira-kira 100 orang kampung yang kurang senang dengan sikap seorang anggota polis ketika menjalankan tugas membanteras mat rempit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, anggota polis yang berpangkat lans koperal itu sudah ditukarkan ke unit lain dan siasatan terhadapnya masih dijalankan.

"Polis memandang serius perkara ini. Kita tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan awam... sesiapa yang didapati bersalah pasti dikenakan tindakan undang-undang.

"Justeru, kita minta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil memberi kenyataan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini empat laporan polis dibuat berhubung kes itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Sabtu, anggota polis itu didakwa membaling topi keledar ke arah sekumpulan mat rempit yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan lima daripada mereka terjatuh.

Dua daripada mereka yang parah dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.— BERNAMA

Rayuan penduduk Bukit Gasing ditolak

Posted:

Rayuan penduduk Bukit Gasing ditolak

Rayuan penduduk Bukit Gasing ditolak

06/03/2012 8:28pm

PUTRAJAYA — Seratus lapan penduduk Bukit Gasing gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar perintah pembangunan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan projek kontroversi di lereng bukit di kawasan itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ramly Ali, membuat keputusan itu dengan majoriti 2-1, yang menyaksikan Hakim Ramly dan Datuk Zaharah Ibrahim menolak rayuan penduduk manakala Datuk Jeffrey Tan Kok Wha menentang.

Dalam penghakimannya, Hakim Zaharah tidak bersetuju dengan hujah peguam R.Sivarasa bahawa pindaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, yang memperuntukkan hak pendengaran awam bantahan oleh penduduk, diperluas ke Wilayah Persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata, undang-undang yang terpakai di Wilayah Persekutuan ialah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 dan ia hanya memberi hak pendengaran awam apabila terdapat perubahan pada penggunaan tanah atau peningkatan kepadatan penduduk kawasan tersebut.

Dalam penghakiman bertentangan, Hakim Tan berkata, terdapat kegagalan prosedur di pihak DBKL kerana tidak menjalankan pendengaran awam bagi penduduk sebelum mengeluarkan perintah pembangunan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Penduduk memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 2008 bagi mengetepikan perintah pembangunan berhubung projek Sanctuary Ridge Bandaraya Kuala Lumpur bagi membina 70 banglo di kawasan seluas 15.52 hektar di Bukit Gasing.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan