Jumaat, 2 Mac 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Pemandu maut tercampak dari lori

Posted:

Pemandu maut tercampak dari lori

Pemandu maut tercampak dari lori

02/03/2012 7:30pm

IPOH — Seorang lelaki maut apabila tercampak daripada lori yang dipandunya dalam kemalangan di Km 301.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung hari ini.

Tay Cho Poey, 63, yang berasal dari Melaka tercampak sejauh lima meter setelah lori itu terbabas dan terbalik ketika menuruni bukit.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian pada pukul 2.15 petang itu menyebabkan Tay cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Mayat Tay dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sebuah lori dan kereta yang berada di belakang lori berkenaan turut merempuh lori yang membawa muatan barang runcit itu, tetapi pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak cedera.— BERNAMA

Lelaki didakwa palsukan lesen pemberi pinjaman

Posted:

Lelaki didakwa palsukan lesen pemberi pinjaman

Lelaki didakwa palsukan lesen pemberi pinjaman

02/03/2012 7:26pm

BUKIT MERTAJAM — Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua tuduhan iaitu memalsukan lesen pemberi pinjaman wang dan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

Lim Ka Chye, 54, didakwa memalsukan dokumen pemberi pinjaman wang dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan bagi tujuan untuk menipu di Kim Tang Ventures, Taman Impian Ria Alma di sini pada 1.55 petang, 18 Feb lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen sah di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Majistret Chiang Kian Hong membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 April untuk sebutan semula kes.— BERNAMA

Hutan Belum-Temenggor jadi anak angkat NCIA

Posted:

Hutan Belum-Temenggor jadi anak angkat NCIA

Hutan Belum-Temenggor jadi anak angkat NCIA

02/03/2012 7:13pm

GERIK — Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan menjadikan Hutan Tropika Belum-Temenggor sebagai "anak angkat" dan sedang merangka pelan pembangunan khusus bagi memanfaatkan sepenuhnya khazanah negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, NCIA akan menjadikan kawasan itu sebagai tumpuan pelancongan dan pelaburan yang mana limpahannya akan dinikmati kawasan sekitar.

Pelan Induk Bersepadu Hutan Belum-Temenggor yang merangkumi aspek pemuliharaan, pembangunan dan pengurusan dijangka siap Mei ini katanya, berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat, di sini hari ini.

Antara inisiatif pembangunan yang dirancang ialah pelancongan berkonsepkan perkampungan dan pemeliharaan komuniti Orang Asli yang bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi bagi masyarakat itu, katanya.

Selain itu NCIA juga katanya, dalam usaha menaik taraf kemudahan sedia ada termasuk jeti awam Pangkalan Aman dan kem-kem pelancongan di dalam Taman Negeri Royal Belum.

Nor Mohamed berkata, beliau juga difahamkan satu permohonan telah diserahkan kepada Unesco bagi mewartakan Lenggong sebagai tapak warisan dunia kerana mempunyai hubungan prasejarah.

Jika ini diluluskan ia akan membawa pelaburan besar dalam sektor pelancongan yang turut menjana peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat setempat, kata Nor Mohamed.— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan