Sabtu, 3 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


5 penjenayah naik BMW dicekup

Posted: 02 Mar 2012 01:52 PM PST

MELAKA: Sekumpulan empat lelaki dan seorang wanita yang dipercayai merancang melakukan jenayah di negeri ini diberkas sepasukan anggota polis Balai Polis Tengkera di depan stesen minyak BHP di Jalan Hang Tuah, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kemunculan suspek berusia 27 hingga 44 tahun menaiki kereta BMW itu dikesan sepasukan lima anggota polis yang mencurigai tingkah laku mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis yang melakukan rondaan jam 6 pagi, mengesan kereta terbabit diletak di tepi jalan.

Katanya, anggota polis menghampiri kereta itu serta memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan mendapati dua lelaki duduk di belakang dan seorang wanita di tempat pemandu, manakala dua lagi lelaki berada di luar.


Beliau berkata, semua suspek memberikan kerjasama ketika pemeriksaan dan tidak cuba melarikan diri.


"Anggota kami melakukan pemeriksaan terhadap dua lelaki itu dan menemui sepucuk pistol Heckler & Koch GMBH 9 mm berserta kelopak tujuh peluru dan 10 peluru dalam beg pinggang seorang daripada mereka.

"Pemeriksaan lanjut menemui pistol revolver Smith & Wesson 0.38 bersama lima peluru .38 dalam beg sandang seorang lagi suspek," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, semalam.


Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan & Operasi), Superintendan R Gunarajan.

Raja Shahrom berkata, pemeriksaan terhadap wanita terbabit pula menemui wang RM6,390.


"Polis turut merampas enam telefon bimbit dan kereta BMW serta menahan mereka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Senjata Api 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang lima sebatan," katanya.


Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun dan masih bujang itu berasal dari Cheras, Kuala Lumpur manakala empat lelaki berasal dari Kulim, Kedah, dan Pulau Pinang.


"Semakan rekod mendapati empat lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau khususnya dadah dan semua suspek yang ditahan termasuk wanita, didapati positif dadah methamphetamine.


"Mereka kini direman seminggu dan kami melakukan siasatan menyeluruh dari semua aspek termasuk bila dan motif mereka datang ke negeri ini dengan membawa senjata api.


"Kami tidak menolak anggapan mungkin mereka merancang melakukan jenayah," katanya.



Dakwa dipukul guru muzik

Posted: 02 Mar 2012 01:22 PM PST

KLANG: Hanya kerana menegur rakan sekelasnya bermain satu permainan tangan, seorang pelajar sekolah swasta cedera di kepala, muka, mulut, kaki dan bahagian belakang kerana dipukul guru muziknya.

Menceritakan semula kejadian pada 29 Februari lalu, mangsa, Ng Shoon Vee, 14, berkata, guru muzik berumur 50 tahun itu mengarahkan dia keluar dari kelas tanpa memberitahu kesalahannya.


"Saya tidak tahu apa kesalahan saya, tetapi cikgu terus mengarahkan saya ke luar kelas sebelum merotan bahagian belakang, kaki dan tangan saya.

"Saya sempat menepis rotan itu, tetapi cikgu menumbuk pula muka saya bertalu-talu melebihi 10 kali hingga saya terhantuk ke dinding," katanya dalam sidang media di Kelab Eksekutif Klang, semalam.


Ng berkata, guru terbabit hanya berhenti memukulnya selepas menyedari kehadiran guru lain di kawasan itu.


Ibu mangsa, Tan Wan Ching, 40, berkata, selepas kejadian itu dia terus membuat laporan polis dan membawa anaknya menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

"Saya juga sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pengetua sekolah berkenaan, namun guru terbabit menceritakan cerita yang sebaliknya," katanya.


Wan Ching berkata, dia harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap guru itu sebelum lebih ramai pelajar lain menjadi mangsanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.


Jurucakap Jabatan Pelajaran Selangor berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, namun jika pelajar terbabit bersekolah di sekolah swasta, Jabatan Pelajaran tiada kuasa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan