Jumaat, 2 Mac 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bikin pekerja asing ketagih

Posted: 01 Mar 2012 12:06 PM PST

SERDANG: Dengan hanya menggunakan peralatan paling ringkas dan murah, satu sindiket perjudian bola golek dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit untuk satu malam.

Sindiket itu hanya memerlukan peralatan seperti papan empat segi, bola getah, tikar getah yang dilukis beberapa simbol dan warna tertentu yang kosnya tidak sampai ratusan ringgit, tetapi memberi pulangan puluhan kali ganda. Mereka turut menjadikan pekerja warga Indonesia dan Bangladesh sebagai sasaran kerana mudah diperdaya selain hanya perlu mengeluarkan modal pusingan kecil sebelum diumpan kemenangan lumayan iaitu 10 kali ganda nilai taruhan jika menang menyebabkan mangsa ketagih. Kebiasaan sindiket terbabit bergiat aktif ketika mangsa menerima gaji dan berpindah-randah dari satu kongsi ke kongsi bagi mengelak dikesan polis.


Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, menahan tujuh kaki judi warga Indonesia dan Bangladesh berusia 20 hingga 40 tahun yang leka bermain judi bola golek di sebuah tapak pembinaan di Serdang Perdana, Seri Kembangan, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, empat lelaki warga tempatan yang menjadi penganjur sindiket terbabit turut ditahan.


Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang, Asisten Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya sudah melakukan intipan selama seminggu ke tapak pembinaan berkenaan selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan perjudian itu.


Menurutnya, dalam serbuan dengan disertai dua pegawai dan 10 anggota itu, polis merampas wang pertaruhan RM400 bersama beberapa peralatan perjudian.

"Siasatan awal, ahli sindiket terbabit sudah lebih sebulan beroperasi di kawasan itu dan menyasarkan pekerja tapak pembinaan berkenaan untuk main judi bola golek. "Wang taruhan minimum ialah 50 sen sehingga RM100 dan jika pemain memenangi permainan itu, mereka dibayar 10 kali ganda," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


Basri berkata, kaki judi yang ditahan didapati mempunyai dokumen perjalanan sah dan bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

"Semua mereka dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah perjudian Terbuka 1953. Serbuan ini adalah kali kedua. Sebelum ini, tempat ini diserbu awal tahun ini," katanya.



MBPJ pantau kontraktor sampah

Posted: 01 Mar 2012 12:04 PM PST

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor pengutipan sampah dan persatuan penduduk sekitar bandar raya ini bagi memastikan proses pengutipan sampah berjalan lancar.

Datuk Bandarnya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, ia penting bagi membolehkan kedua-dua pihak saling mengenali seterusnya bekerjasama dalam kerja pembersihan kawasan sekitar.


"Selain itu, kami memantau operasi 150 kontraktor sampah yang baru dilantik menerusi bilik kawalan serta pengawasan daripada 32 pegawai MBPJ terdiri daripada pembantu kesihatan awam serta pengawas.

"Semua kontraktor pengutipan sampah memulakan operasi hari ini (semalam) dan diberi tempoh tiga bulan percubaan. Sekiranya prestasi kerja mereka tidak memuaskan, MBPJ mengambil tindakan termasuk menamatkan kontrak mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.


Daripada kontraktor yang dilantik, 68 kontraktor untuk pembersihan kawasan, kutipan sisa pepejal (32), sampah taman (20), jalan protokol (15), longkang besar (14) dan perangkap sampah (1).


Manakala hampir 20 peratus daripadanya membabitkan kontraktor lama yang diserap semula selepas MBPJ berpuas hati dengan prestasi mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan