Rabu, 7 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Laluan KM 43 Jalan Benta-Jerantut ditutup sementara berikutan mendap

Posted: 07 Mar 2012 03:40 AM PST

KUALA LIPIS: Laluan di Kilometer 43, Jalan Benta-Jerantut dekat Kampung Trak Jeransang di sini ditutup sementara waktu kepada lalu lintas mulai hari ini kerana mendap dan membahayakan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata jalan itu terputus dan tidak boleh dilalui semua kenderaan kerana mendap sedalam dua meter akibat hujan lebat dan air melimpahi jalan apabila pembetong aliran air bawah tanah di situ pecah.

"Saya difahamkan kejadian yang berlaku pada pukul 9 malam semalam turut mencederakan tiga warga Indonesia yang menaiki sebuah kereta kancil semasa melalui jalan tersebut.

"Kereta itu menjunam ke dalam lubang menyebabkan dua daripada penumpangnya patah tangan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh manakala seorang lagi dirawat di Hospital Lipis," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di jalan itu di sini hari ini.


Katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina sebuah jambatan sementara dalam masa tiga hari bagi membolehkan kenderaan ringan melalui jalan itu sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan.


Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM14.5 juta bagi menaik taraf jalan Benta-Jerantut dan ia dijangka siap dalam masa 18 bulan.

Beliau turut mengarahkan JKR menjalankan kajian dan siasatan terperinci di sepanjang jalan itu bagi mempastikan tiada kejadian sama berulang di kawasan berkenaan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya. - Bernama



Jumlah kes baru HFMD turun kepada 143 kes

Posted: 07 Mar 2012 03:35 AM PST

KUCHING: Jumlah kes baru penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilapor di Sarawak hari ini turun kepada 143 kes berbanding 167 semalam.

Kenyataan bilik operasi HFMD negeri Jabatan Kesihatan Sarawak di sini berkata, penurunan kes itu dilapor di bahagian Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri.

Bagaimanapun jumlah kes baru di Kuching meningkat kepada 64 kes, diikuti Limbang (21), Mukah (11) dan Betong (3).

Jumlah pesakit yang masih dirawat di hospital ialah 10 di Hospital Besar Sarawak di sini, masing-masing dua di hospital Samarahan serta Miri dan masing-masing satu di hospital Sibu, Bintulu, Betong dan Kapit.


Pada masa ini tiada kes serius penyakit itu dilapor dan sehingga kini tiada kematian dicatat akibat HFMD di Sarawak. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan