Selasa, 6 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Terengganu menang 1-0 atas kelab Vietnam pada saingan pertama Piala AFC

Posted: 06 Mar 2012 05:21 AM PST

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengutip tiga mata penuh apabila mengalahkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 pada saingaan pembukaan kumpulan F Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Vinh, Vietnam petang tadi.

Terengganu terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menjaringkan gol menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Dua lagi pasukan dalam kumpulan tersebut iaitu Kitchee FC dari Hong Kong dan Tampines Rovers dari Singapura akan bertemu malam ini.

Bagi perlawanan kedua, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu akan melayan kunjungan Kitchee FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Mac ini. - BERNAMA



Balai polis kena serang, polis minta penduduk bertenang

Posted: 06 Mar 2012 05:00 AM PST

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang meminta penduduk di sekitar Teluk Bahang bertenang dan memberi masa kepada pihak polis menyelesaikan siasatan kes serangan balai polis di situ oleh kira-kira 100 orang kampung yang kurang senang dengan sikap seorang anggota polis ketika menjalankan tugas membanteras mat rempit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata anggota polis yang berpangkat lans koperal itu sudah ditukarkan ke unit lain dan siasatan terhadapnya masih dijalankan.

"Polis memandang serius perkara ini. Kita tidak berniat untuk menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan awam... sesiapa yang didapati bersalah pasti dikenakan tindakan undang-undang.

"Justeru, kita minta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil memberi kenyataan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata sehingga kini empat laporan polis dibuat berhubung kes itu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam Sabtu, anggota polis itu didakwa membaling topi keledar ke arah sekumpulan mat rempit yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkan lima daripada mereka terjatuh.

Dua daripada mereka yang parah dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Akibat insiden itu, kira-kira 100 penduduk di kampung terbabit berang dan membaling batu dan kayu ke arah balai polis kira-kira pukul 6.30 semalam.

Mereka bersurai empat jam kemudian setelah rundingan antara pegawai polis dan wakil penduduk berhasil. - BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan