Sabtu, 3 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Nyaris maut disondol gajah liar

Posted: 02 Mar 2012 01:26 PM PST

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) nyaris terbunuh apabila seekor gajah yang cuba ditangkap naik minyak dan menyerang lelaki terbabit di Kampung Jelung, Setiu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu mangsa, Mohd Noor Abdullah, 58, patah lima tulang rusuk dan cedera di bahagian muka selepas tercampak disondol gajah berkenaan.

Isteri mangsa, Zamariah Seman, 52, yang ditemui di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, dia menggeletar selepas dimaklumkan suaminya cedera diserang gajah liar ketika menjalankan operasi di sebuah kampung di Setiu.

Menurutnya, ketika kejadian itu, dia sedang bermesyuarat dengan rakannya kira-kira jam 4.30 petang kelmarin dan bergegas ke HSNZ untuk memastikan keadaan sebenar suaminya.


"Ketika dihubungi, rakan suami meminta saya bertenang sebelum menceritakan keadaannya yang parah akibat diserang gajah terbabit dan terpaksa dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Tubuh Universiti Islam Malaysia

Posted: 02 Mar 2012 01:26 PM PST

KUALA LUMPUR: Penubuhan Universiti Islam Malaysia yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu pada 2010 dijangka dapat direalisasikan tidak lama lagi.

"Penubuhan universiti itu untuk mengaktifkan semula Kolej Islam Malaya (KIM) yang kini sudah tidak beroperasi selepas usaha menaik taraf kolej itu kepada universiti tergendala sejak 1970," kata Pengerusi Majlis universiti itu, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Beliau berkata, majlis universiti itu yang dilantik dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu sudah berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk tujuan itu.

"Saya yakin kerajaan akan menyokong penubuhan universiti ini kerana ini membabitkan keputusan Raja-Raja Melayu," katanya pada sidang akhbar mengenai penubuhan universiti itu di sini, semalam.


Dr Mohd Yusof berkata, usaha menaik taraf KIM yang ditubuhkan pada 1955 tertangguh pada 1970 kerana timbul desakan lebih kuat pada waktu itu untuk mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memartabatkan bahasa Melayu.


"Keupayaan kerajaan pada masa itu hanya untuk tubuhkan sebuah universiti sahaja...tetapi tertangguh tidak bermakna tutup kerana wang sudah sedia ada dan mesti diteruskan misinya terutama ia adalah satu amanah daripada pihak Raja-Raja Melayu," katanya.

Dr Mohd Yusof yang juga bekas pelajar KIM menganggap penubuhan universiti yang menjadi kesinambungan KIM itu sesuatu yang unik dan akan menjadi satu-satunya institusi ditaja Majlis Raja-Raja Melayu di dalam negara.


Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses bagi mendapatkan tanah seluas kira-kira 40.5 hektar di Cyberjaya sebagai kampus utama universiti itu bagi menempatkan kira-kira 1,000 orang pelajar.

"Pembinaannya akan mengambil masa, buat sementara kita akan menggunakan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan beberapa tempat lain sebagai kampus," katanya.


Dr Mohd Yusof berkata, universiti itu nanti akan menawarkan pengajian di peringkat lepasan ijazah dan doktor falsafah yang terbuka kepada semua bangsa dan warga negara.


"Universiti itu akan mengutamakan calon yang lebih berpengalaman dan ia akan menjadi universiti antarabangsa sebenar.


"Antara keunikannya ialah pelajar boleh menulis tesis dalam apa juga bahasa pilihan mereka dan hanya sinopsisnya saja perlu ditulis dalam bahasa Melayu," katanya. - Bernama



Tiada ulasan:

Catat Ulasan