Jumaat, 2 Mac 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kolej Islam Malaya akan diaktifkan semula sebagai sebuah universiti

Posted: 02 Mar 2012 04:17 AM PST

KUALA LUMPUR: Penubuhan Universiti Islam Malaysia yang telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu pada 2010 dijangka dapat direalisasikan tidak lama lagi.

Penubuhan universiti itu adalah untuk mengaktifkan semula Kolej Islam Malaya (KIM) yang kini sudah tidak beroperasi setelah usaha menaik taraf kolej itu kepada universiti tergendala sejak 1970, kata Pengerusi Majlis universiti itu Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau berkata Majlis universiti itu yang dilantik dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu sudahpun mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk tujuan itu.

"Saya yakin kerajaan akan menyokong penubuhan universiti ini kerana ini juga (melibatkan) keputusan Raja-Raja Melayu," katanya pada sidang akhbar mengenai penubuhan universiti itu di sini, hari ini.


Dr Mohd Yusof berkata usaha menaik taraf KIM yang ditubuhkan pada tahun 1955 tertangguh pada 1970 kerana timbul desakan yang lebih kuat pada waktu itu untuk mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memartabatkan bahasa Melayu.


"Keupayaan kerajaan pada masa itu hanya untuk tubuhkan sebuah universiti sahaja...tetapi tertangguh tidak bermakna tutup, kerana wang sudah sedia ada dan mesti diteruskan misinya terutama ia adalah satu amanah daripada pihak Raja-Raja Melayu,"katanya.

Dr Mohd Yusof yang juga merupakan bekas pelajar KIM menganggap penubuhan universiti yang merupakan kesinambungan KIM itu adalah sesuatu yang unik dan akan menjadi satu-satunya institusi yang ditaja oleh Majlis Raja-Raja Melayu di dalam negara.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam proses bagi mendapatkan tanah seluas kira-kira 40.5 hektar di Cyberjaya untuk menempatkan kampus utama universiti itu bagi menampatkan kira-kira 1,000 orang pelajar.

"Pembinaannya akan mengambil masa, buat sementara kita akan menggunakan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan beberapa tempat lain sebagai kampus," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, universiti itu nanti akan menawarkan pengajian di peringkat lepasan ijazah dan doktor falsafah dan terbuka kepada semua bangsa dan warganegara.

"Universiti itu akan mengutamakan calon yang lebih berpengalaman, dan ia akan menjadi universiti antarabangsa sebenar, di mana antara keunikannya ialah pelajar boleh menulis tesis dalam apa juga bahasa pilihan mereka, hanya sinopsisnya sahaja perlu ditulis dalam bahasa Melayu," katanya. -- BERNAMA



Pemandu maut tercampak dari lori berhampiran Gua Tempurung

Posted: 02 Mar 2012 04:09 AM PST

IPOH: Seorang lelaki maut apabila tercampak daripada lori yang dipandunya dalam kemalangan di Km 301.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung hari ini.

Tay Cho Poey, 63, yang berasal dari Melaka tercampak sejauh lima meter setelah lori itu terbabas dan terbalik ketika menuruni bukit.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata kejadian pada pukul 2.15 petang itu menyebabkan Tay cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

Mayat Tay dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata sebuah lori dan kereta yang berada di belakang lori berkenaan turut merempuh lori yang membawa muatan barang runcit itu, tetapi pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak cedera. -- BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan