Selasa, 6 Mac 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Fasha, Jejai terbayang pelamin

Posted: 05 Mar 2012 10:12 AM PST

KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah saya terima lamarannya dan dia sudah bertemu keluarga saya untuk merisik," kata pelakon popular, Fasha Sandha kepada Harian Metro, semalam, sekali gus mengesahkan perhubungan kontroversinya dengan kekasihnya, Jejai bakal berakhir di jenjang pelamin tidak lama lagi.

Pelakon berusia 28 tahun kelahiran Johor Bahru itu berkata demikian mengulas pelbagai desas-desus terbaru mengenai persiapan perkahwinannya termasuk gambar mereka menghadiri kursus kahwin di Setiawangsa minggu lalu yang mula tersebar di Internet.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang dan diberikan rezeki, kami berkahwin dalam tahun ini," kata Fasha mengenai status terkini hubungannya dengan Jejai atau nama sebenarnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli.

Selain gambar pasangan itu mengikuti kursus persediaan perkahwinan, turut tersebar di Internet dan disiarkan di portal hiburan ialah gambar mereka mencuba busana pengantin di sebuah butik.


Mengulas perkara itu, Fasha berkata: "Memang saya dan Jejai menghadiri kursus kahwin minggu lalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan ia satu pengalaman yang baru buat saya.


"Saya akur dengan gambar yang tersebar kerana status sebagai selebriti membuatkan saya tidak boleh lari. Namun, perkara baik seperti ini tiada apa yang perlu disembunyikan lagi."

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut mengenai tarikh dan lokasi perkahwinan, Fasha enggan memberitahu kerana belum bersedia dan menanti waktu sesuai untuk diumumkan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



‘Brek rosak...brek rosak!’

Posted: 05 Mar 2012 10:12 AM PST

KUALA LUMPUR: "Brek rosak...brek rosak." Itu antara jeritan seseorang kepada 22 penumpang bas persiaran sebelum kenderaan disewa pelancong dari India itu terbabas dan terbalik hingga mengorbankan dua nyawa di Genting Highlands, semalam.

Kemalangan berlaku jam 7.55 pagi di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur ketika bas berkenaan dalam perjalanan turun dari pusat peranginan terbabit.


Seorang penumpang, Jaswinder Singh, 35, berkata, selepas terdengar jeritan itu, bas yang mereka naiki bergoyang dengan kuat dan tidak stabil.

"Ketika menuruni laluan berbukit, tiba-tiba saya dengar orang menjerit mengatakan brek bas rosak. Dia menjerit dua kali sebelum bas bergoyang dengan kuat.


"Saya berpaut pada tempat duduk kerana bimbang terjatuh sebelum terdengar dentuman kuat dan berasa bas semakin senget sebelum terus terbalik," katanya di wad kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.


Menurutnya, selepas gagal dikawal, bas berkenaan melanggar tembok penghadang jalan sebelum terbalik di laluan berselekoh.

Dua penumpang yang terbunuh ialah Anita Aggarwal, 59, yang mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Rajendra Kumar Agarual, 67, meninggal dunia sejurus tiba di HKL.


Dua puluh penumpang lain cedera termasuk empat parah yang dirawat di Hospital Selayang dan HKL. Dua pemandu bas itu turut cedera. Jaswinder yang cedera di dahi dan patah tangan kanan berkata, selepas bas mereka terbalik, suasana hiruk-pikuk dengan jeritan mangsa sebelum dia dia ditimpa tubuh isteri dan anaknya.

"Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak kerana tidak tahu keadaan mereka. Saya dapati darah keluar dari dahi saya yang luka dan tangan kanan pula terasa amat sakit.


"Mujurlah, pasukan penyelamat cepat tiba dan mengeluarkan kami dari bas dan menghantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.


Menurut Jaswinder, dia bercuti ke negara ini bersama isteri, Gurmit Kaur, 35, dan anak lelakinya, Manpreet Singh, dua tahun setengah, selepas tertarik dengan pakej pelancongan yang menawarkan dua lokasi percutian di negara ini dan Singapura.


"Saya membayar RM4,860 untuk pakej tiga orang yang menawarkan percutian ke Genting Highlands dan Singapura selama sembilan hari mulai 29 Februari lalu.


"Ketika kemalangan, kami dalam perjalanan ke Singapura selepas lima malam menginap di pusat peranginan itu sebelum kembali ke India Khamis ini," katanya yang berasal dari Lucknow, Uttar Pradesh di India.


Jaswinder yang juga peniaga dan mengusahakan kedai menjual buku sekolah, berkata ketika kemalangan dia sedang berbual dengan pelancong lain, manakala isterinya yang duduk di sebelah melayan anak mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan