Selasa, 6 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tiada program bersifat revolusi

Posted: 06 Mar 2012 02:48 PM PST

Nasional

ENTRI terbaru dari blog Datuk Seri Najib Razak di www.1malaysia.com.my.

ENTRI terbaru dari blog Datuk Seri Najib Razak di www.1malaysia.com.my.

Malaysia perlukan pemimpin diyakini rakyat, komited perubahan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia tidak memerlukan pelaksanaan program bersifat revolusi tetapi sebaliknya memerlukan pemimpin diyakini rakyat dan komited kepada perubahan.

Perdana Menteri berkata, tahun ini menjanjikan wujudnya perbincangan politik yang meluas di Malaysia dan beliau berharap lebih ramai perwakilan dapat memberi tumpuan kepada permasalahan sebenar dihadapi. "Natijahnya rakyatlah yang akan menentukan masa depan negara. Itulah erti sebenar kebebasan daripada penguasaan penjajah, itu yang kita pertahankan sejak mula Merdeka dan sewajarnya semua berbangga memiliki Malaysia yang ditentukan rakyatnya," katanya dalam entri terbaru bertajuk '1Malaysia Adalah Satu Komitmen Terhadap Transformasi' dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Najib menarik perhatian golongan yang menentang 1Malaysia membawa dua penampilan iaitu pihak yang bersikap tegar menyatakan pendekatan 1971 dan gelombang pertama Polisi Ekonomi Baru tidak boleh diubah, dan pihak yang menuntut program perubahan berbentuk revolusi.

Berhubung kumpulan penentang pertama, beliau berkata:
"Saya faham mengapa ada kegusaran pada mereka; terdapat banyak lagi ketidakseimbangan sejarah dalam masyarakat kita yang masih perlu ditangani dan ini akan kita lakukan.
"Namun kita perlu menampilkan pendekatan dapat menggalakkan mereka yang boleh menyumbang kepada Malaysia untuk kekal di sini dan kita juga perlu mengakui pembabitan lebih meluas dalam ekonomi tidak akan menyelesaikan masalah kemiskinan di akar umbi," katanya.

Perdana Menteri menasihatkan mereka yang meragui 1Malaysia atas sebab itu supaya bertenang dan bersabar kerana 1Malaysia adalah satu strategi dinamik untuk membasmi kemiskinan di negara ini.

"Saya percaya kita mendapat lebih banyak manfaat daripadanya berbanding jika kita menolak perubahan," katanya.

Najib menyifatkan kumpulan penentang 1Malaysia yang kedua sebagai lebih membimbangkan dengan terus menerus menolak dan tidak berpuas hati dengan apa saja dilakukan kerajaan, serta menuntut program perubahan berbentuk revolusi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kata-kata mereka berubah mengikut siapa hadirin mereka dengan bermotivasikan ketamakan kuasa dan sentiasa membangkitkan kontroversi.

"Jika dihimpun semua program mereka canangkan, ternyata ia tidak teratur. Seseorang itu tidak boleh berjanji melupuskan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM40 bilion dan mengurangkan defisit belanjawan dalam satu masa.

"Dalam sekelip mata, satu daripada janji ini akan gagal dan akibatnya, rakyat menjadi marah dan ekonomi jatuh menjunam," katanya.

Di sebalik kebimbangan itu, Najib berkata, beliau adalah seorang yang optimis.

"Saya percaya ketidakpuasan hati yang dihalakan ke arah kerajaan kerana kononnya gagal melaksanakan program mereka yang tidak masuk akal, akan menemui kegagalan akhirnya.

"Ini kerana semakin banyak janji kosong ditabur kepada masyarakat, semakin hilanglah kepercayaan rakyat terhadap mereka," katanya. – BERNAMA

Tiga anggota JI dihantar pulang ke Singapura

Posted: 06 Mar 2012 02:47 PM PST

Nasional

HISHAMMUDDIN berbual mesra dengan keluarga Mohd Suhairy Mohamad dan isteri, Nurul Huda Saadi yang memangku, Mohd Haris Rayyan, 3 bulan, ketika melawat kuarters Jabatan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Johor, dekat Taman Setia Tropika, Johor Bahru, semalam.

HISHAMMUDDIN berbual mesra dengan keluarga Mohd Suhairy Mohamad dan isteri, Nurul Huda Saadi yang memangku, Mohd Haris Rayyan, 3 bulan, ketika melawat kuarters Jabatan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Johor, dekat Taman Setia Tropika, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Tiga warga Singapura termasuk pengasas Jemaah Islamiah (JI) negara itu yang ditahan ketika bersembunyi di negara ini selepas mendalangi pengeboman di selatan Filipina, sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mereka ditahan pada bulan lalu hasil kerjasama risikan antara dua negara.

"Mereka dihantar pulang selepas atas permintaan kerajaan Singapura. Kita mempunyai hubungan baik dengan negara jiran dan tidak akan membenarkan penjenayah bebas merentas sempadan seumpama itu," katanya selepas melawat kuarters Jabatan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Johor, dekat Taman Setia Tropika, di sini, semalam. Difahamkan, mereka yang ditahan itu pengasas JI Singapura, Sahrudin Mohd Sapian, yang pernah menerima latihan di Afganistan pada 2000, manakala dua lagi adik beradik, Mohamed Rafee dan Abd Rahim Abdul Rahman.

Mohamed Rafee juga dikatakan mendapat latihan di Afghanistan dan dipercayai membekalkan sokongan logistik kepada rangkaian pengganas itu. Tiga tahanan itu kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri Singapura.

Sehubungan itu, Hishammuddin memberi amaran tegas kepada penjenayah dan pengganas bahawa mereka tidak akan kekal selamat jika cuba bersembunyi di negara ini.

"Kita sudah mengusir tiga warga Singapura yang ada kaitan dengan rangkaian keganasan. Jadi jangan sesiapa sama ada penjenayah atau pengganas melihat Malaysia sebagai tempat perlindungan atau lokasi transit untuk melakukan jenayah.
"Jangan ingat anda akan selamat dan mendapat perlindungan di negara ini. Malaysia masih tidak dilihat sebagai negara sasaran puak (pengganas) ini kerana kita sentiasa pantau keselamatan dan menanganinya serta-merta," katanya.

Sementara itu, mengulas susulan penahanan warga Iran berusia 31 tahun di Terminal Penerbangan Tambang Murah pada 14 Februari lalu, yang disyaki terbabit dalam kes pengeboman di Bangkok, Thailand, beliau mengesahkan sudah menandatangani dokumen ekstradisi dengan Thailand supaya kes itu dapat dibawa ke peringkat penghakiman negara ini.

Mengenai lawatannya, katanya, kebajikan kakitangan jabatan itu perlu dijaga bagi membolehkan mereka berkhidmat dengan baik dan selesa.

Katanya, menerusi lawatan seumpama itu pihaknya mengenalpasti sebanyak 192 unit rumah yang diduduki kakitangan Imigresen ketika ini dalam keadaan daif.

"Oleh itu, kita akan bertindak menangani masalah ini termasuk sama ada menaik taraf mahupun mencari tanah bagi menyediakan perumahan yang selesa dan memenuhi keperluan kakitangan ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan