Jumaat, 2 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Janji ubah landskap Kelantan

Posted: 02 Mar 2012 01:28 PM PST

Nasional

NAJIB menyampaikan taklimat kepada jemaah kawasan Parlimen Pasir Mas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Hutan Chengal,   Pasir Mas, semalam.

NAJIB menyampaikan taklimat kepada jemaah kawasan Parlimen Pasir Mas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Hutan Chengal, Pasir Mas, semalam.

PM beri jaminan selesai pelbagai isu jika kepercayaan diserah kepada BN

JELI: Datuk Seri Najib Razak berjanji akan mengubah landskap pembangunan dan infrastruktur Kelantan sekiranya rakyat negeri itu memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata, sekiranya diberi mandat memerintah Kelantan, BN bersedia menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu rakyat negeri itu, termasuk isu bekalan air bersih.

"Di samping itu, Kerajaan BN juga memberi jaminan akan menyelesaikan isu ladang rakyat serta memastikan segala kemudahan disediakan termasuk berkaitan perumahan rakyat. "Insya-Allah landskap Kelantan akan berubah tetapi tetap berpaksikan Islam, ilmu dan akhlaknya tetap kita pertahankan," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di kampus cawangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ucapan Perdana Menteri itu disambut tepukan gemuruh kira -kira 20,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini turut melaungkan 'Gelombang Merah' dalam mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan dengan memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri itu.
"Kelantan... kita nak maju, orang Kelantan ramai cerdik pandai. Inilah tempat kita nak majukan umat Islam," katanya, sambil meminta rakyat memberi sokongan kepada Mustapa untuk membawa perubahan di Kelantan.

"Oleh itu, adik kakak sekalian, ambo (saya) nak pesan, kalau sayangkan ambo, kena sokong Datuk Pa (Mustapa) ini, Datuk Pa orangnya jurus (baik) dan rajin, Datuk Pa, siang malam kerja," katanya sambil menyatakan bahawa Mustapa gigih membawa pelaburan ke Malaysia di mana tahun lalu sebanyak RM105 bilion.

Beliau berkata, pemberian bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M), adalah bukti komitmen Kerajaan Pusat membantu rakyat, namun yang bersungguh-sungguh datang mengambil bantuan berkenaan adalah dari pihak yang menentang kerajaan.

"Tak mengapa, walaupun kita tidak dapat undi, tapi kita dapat pahala. Kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang tetap memperjuangkan nasib rakyat," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Rejimen Sempadan di Kem Batu Melintang di sini, Najib berkata, kerajaan memberi keadilan kepada semua anggota tentera agar dapat menikmati kemudahan diberikan selama ini.

Katanya, sebagai contoh ada kemudahan yang kerajaan berikan kepada anggota Rejimen Sempadan yang kehidupan mereka kini jauh lebih baik sebelum diserapkan ke rejimen itu.

Ini adalah kunjungan Najib kali ketiga ke kem itu dan turut mengumumkan peruntukan RM600,000, dengan masing-masing RM300,000 untuk kem Rejimen Sempadan 1 dan 2, di sini, bagi tujuan kebajikan anggota.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Jamuan Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik (SMKT) Bunut Susu, di Pasir Mas, Najib berkata sudah ada petanda baik bahawa Gelombang Merah di Kelantan akan menjadi satu kuasa yang mampu merempuh kerajaan PAS Kelantan.

Berikutan itu, Perdana Menteri mahu angin perubahan yang baik itu digunakan sepenuhnya bagi menarik rakyat menyokong BN, tetapi dengan syarat tiada budaya cah keting pada PRU-13.

Gerakan murtad Melayu dikesan

Posted: 02 Mar 2012 01:25 PM PST

Nasional

KUALA SELANGOR: Bekas EXCO kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali malam kelmarin, mendedahkan ada gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menubuhkan unit khas untuk menggerakkan agenda Kristianisasi mereka terhadap orang Melayu.

Katanya, mereka bergerak dengan perancangan dan strategi rapi, mubaligh Kristian berusaha mengkristiankan orang Melayu, menggugurkan kalimah Allah, mendekati orang Melayu dan membawa Kristian ke dalam kehidupan orang Melayu.

"Mereka datang dari United Kingdom, Jerman, Belanda, Australia, Amerika dan Kanada. Setiap mereka yang datang diwajibkan tinggal di negara ini sekurang-kurangnya setahun. "Mereka mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dalam antropologi, sosial psikologi, agama dan boleh berbahasa Melayu selepas belajar dalam dua bulan. Mereka juga faham budaya, jiwa orang Melayu, sosial interaksi, unit masyarakat orang Melayu, keluarga Melayu dan masalah orang Melayu," katanya pada majlis Bicara Akidah dan Kuasa Ketiga - Selamatkan Ummah di Saujana Utama, di sini.

Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (JATI) berkata, unit khas berkenaan mempunyai kelebihan yang hebat kerana mereka memiliki dana tanpa had daripada badan kristian antarabangsa.

"Beberapa orang yang sudah dibaptis datang jumpa saya menceritakan apa yang dia dapat apabila masuk Kristian. Sewa rumah RM1,700 sebulan dibayar, kereta dibelikan dan anak empat lima orang disara.

"Segala keperluan anak, sebut apa saja, komputer riba, kamera, i-Pad, jelajah dunia, semua dapat. Mereka (mubaligh Kristian) berkeliaran di hospital terutama di wad pesakit yang dikategori sebagai tidak ada harapan sembuh.
"Duduk di hospital tujuh, lapan bulan atau setahun. Anak, suami, isteri dan saudara tidak pergi ziarah. Siapa yang gantikan mereka? Pengembang Kristian dari dalam dan luar negara," katanya.

Sementara itu, Hasan menyarankan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya membincangkan semula isu Israel di peringkat Majlis Syura Ulama parti itu supaya ia dapat diperhalusi.

Katanya, kenyataan Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr Mousa Abu Marzook yang menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Hamas mengiktiraf kewujudan Israel adalah bukti jelas bahawa ia diputar-belitkan pemimpin pembangkang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan