Ahad, 4 Mac 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pasangan Taiwan juara beregu Terbuka Malaysia BMW

Posted: 04 Mar 2012 03:05 AM PST

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Chang Kai Chen dan Chuang Chia Jung dari Taiwan muncul juara beregu kejohanan tenis Terbuka Malaysia BMW di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort di sini hari ini.

Pasangan itu mengambil masa satu jam dan 30 minit untuk mengalahkan gandingan baru Chan Hao Ching dari Taiwan dan Rika Fujiwara dari Jepun 7-5, 6-4.

Chang berkata, sungguhpun lawan mereka mungkin keletihan selepas beraksi dalam satu lagi perlawanan di sebelah tengah hari, namun mereka memberi tentangan yang sengit. "Pada permulaan permainan, mereka (Chan dan Fujiwara) banyak bermain strategi. Kami kemudiannya sedar bahawa kami perlu menumpukan semula perhatian kepada permainan kami sendiri, bukannya permainan mereka dan langkah ini membuahkan hasil," katanya selepas perlawanan.

Mereka menerima AS$11,000 (RM33,000) dan trofi daripada Presiden Persatuan Lawn Tennis Malaysia, Tan Sri Abdul Razak Latiff.

Terdahulu, di sebelah tengah hari, Chan dan Fujiawara bermain dalam perlawanan separuh akhir menentang pasangan adik-beradik, Karolina dan Kristyna Pliskova dari Croatia. Mereka menang 5-7, 6-2, 1-0 (super tie break). - BERNAMA

Kes HFMD di Sarawak mula berkurangan

Posted: 04 Mar 2012 02:53 AM PST

Mutakhir

KUCHING: Jumlah kes baru penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak mula berkurangan dengan hanya 63 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kes baru kepada 1,927.

"Walaupun berlaku peningkatan di bahagian Samarahan dan Betong dengan masing-masing 12 dan tiga kes baru, bahagian-bahagian lain mencatatkan penurunan," menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri hari ini.

Sejumlah 19 kes baru dilaporkan di bahagian Kuching, lapan di Sibu, masing-masing enam di Kapit dan Miri, lima di Sri Aman dan empat di Sarikei. Jumlah pesakit yang dimasukkan wad meningkat kepada 127 dari 120 semalam, namun sehingga kini tiada kes yang dianggap serius.

Sebuah lagi sekolah di Kuching diarahkan tutup sementara, menjadikan jumlah 34 sekolah yang diarah berbuat demikian. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan