Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


200 penduduk terjejas

Posted:

200 penduduk terjejas

200 penduduk terjejas

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


ZAMBRY Abd. Kadir bersama Nadzri Ismail (tiga dari kiri) meninjau kawasan yang dinaiki air di sekitar Taman Muhibbah di Manjoi dan juga di sekitar kawasan Buntong, semalam.


IPOH 20 Feb. - Hampir 200 penduduk melibatkan 71 keluarga di kawasan Gugusan Manjoi dan Buntong di sini terjejas oleh banjir kilat akibat hutan lebat sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.

Selain Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein dan Kampung Datuk Ahmad Said, banjir yang dipercayai berpunca akibat limpahan Sungai Pari dan Sungai Tapah itu turut melanda sekitar Taman Lim, Taman Muhibbah dan Pekan Lama Batu Gajah.

Berikutan rempuhan arus deras, sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Datuk Ahmad Said dan Taman Wing Onn runtuh selain beberapa sekolah terpaksa ditutup pagi ini.

Banjir kilat yang mencecah paras hampir satu meter itu turut melanda kawasan sekitar Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam negeri, Mejar Mohd. Bukhori Mat Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk pada pukul 5.30 pagi ini sebelum anggotanya dikejarkan ke kawasan tersebut untuk kerja-kerja menyelamat.

"Kesemua mangsa yang terjejas dipindah dan ditempatkan di Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi dan Dewan Kia di Buntong.

"Seramai 50 anggota dikejarkan ke kawasan tersebut termasuk dua bot penyelamat, sebuah ambulans dan dua lori," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada, itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang melawat tempat kejadian mengarahkan Majlis Keselamatan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak mewujudkan pasukan kecemasan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi segera.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menimbangkan bantuan segera kepada semua mangsa banjir selain mengarahkan Jabatan Pelajaran Perak untuk meneliti kewajaran menutup beberapa sekolah.

"Dalam hal ini, kami memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak perlu mencari salah siapa. Kita semuanya terjejas dan sehubungan itu penyelesaian harus diambil segera," katanya.

Tambah beliau, ibu bapa juga dinasihatkan menjaga anak masing-masing supaya tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tempat kejadian mendapati beberapa pekerja MBI menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan sampah-sarap yang terbenam di dasar Sungai Pari.

Paras banjir mulai surut pada tengah hari ini berikutan keadaan cuaca semakin baik.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang turut meninjau kejadian tersebut berkata, berdasarkan laporan Jabatan Metereologi, kawasan berkenaan diklasifikasi sebagai jingga iaitu berkemungkinan untuk dilanda banjir semula.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Chong Phaik Yee yang ditemui di Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi pula berkata, daripada 152 mangsa dari Kampung Manjoi, hanya 48 orang telah dipindahkan melibatkan sembilan keluarga sehingga pukul 1.15 petang ini.

Beliau berkata, bagi kawasan Buntong pula, seramai 60 orang terjejas akibat banjir kilat tersebut melibatkan 46 keluarga.

"Selain memberi bantuan tuala, makanan dan kit bencana, Skuad Sayang Wanita UMNO turut tampil membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir berkenaan," katanya.

Banjir kali ini paling teruk - Penduduk

Posted:

Banjir kali ini paling teruk - Penduduk

Banjir kali ini paling teruk - Penduduk

IPOH 20 Feb. - Keinginan seorang warga emas yang tinggal bersendirian untuk menunaikan solat subuh awal pagi ini terbantut apabila dikejutkan oleh jeritan anak jirannya yang memberitahu kawasan tempat tinggal mereka dinaiki air akibat banjir kilat di sini.

Esah Abdullah Sani, 74, yang tidak lagi berdaya untuk berjalan, hanya sekadar mampu berpaut pada tongkat sebelum dibantu menaiki trak untuk dipindahkan ke Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi di sini.

"Waktu itu hujan lebat, kira-kira pukul 6 pagi, anak jiran yang tinggal berdekatan mengetuk pintu rumah opah, katanya sudah banjir.

"Ini kali ketiga opah berdepan dengan banjir, tetapi yang ini rasanya paling teruk," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat pemindahan banjir di Kampung Manjoi di sini.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Rodiah Nasir, 78, berkata, dia tidak sangka kunjungan ke rumah anaknya di Ipoh semalam akan menyaksikan dia berdepan dengan banjir kilat.

Rodiah yang tinggal di Malim Nawar memberitahu, banjir itu merupakan yang kedua ketika dia mengunjungi anaknya di sini.

"Dulu masa makcik datang sini pun banjir juga. Semalam, habis basah kuyup. Ini tudung dengan skaf pun tak sempat hendak capai pagi tadi. Di rumah makcik di Malim Nawar, tiada pun banjir macam ini," katanya.

Seorang lagi warga emas, Mohd. Daud Abas, 61, pula mendakwa, banjir kilat tersebut berpunca daripada masalah kecurian penampan sungai oleh beberapa penagih dadah di kawasan tersebut.

Katanya, kerosakan siren amaran banjir memburukkan lagi keadaan.

Namun, seorang suri rumah, Kamariah Ngah Abdul Rahman, 63, pula berpendapat, sikap orang ramai yang suka membuang sampah ke dalam sungai tersebut menyebabkan paras air sungai berdekatan melimpah sewaktu hujan lebat.

Dalam pada itu, Habsah Sharif, 56, yang menahan sebak berdepan musibah tersebut berkata, dia hanya mampu bersabar melihat rumah pusaka yang diwarisi sejak sekian lama dinaiki air.

"Di sini memang selalu air naik kalau hujan lebat, tetapi tidaklah seteruk ini. Habis rosak barang-barang rumah kerana tidak dapat diselamatkan," katanya yang menetap bersama suami dan dua anaknya.

Seorang lagi mangsa, Che Akhirson Abd. Ulrassar, 55, pula berkata, dia kehilangan dua ekor kucing kesayangan akibat paras air yang semakin meningkat awal pagi ini.

"Kucing saya mengiau dalam pukul 2 pagi tadi, saya ingatkan tiada apa-apa, tetapi apabila saya buka pintu rumah pukul 6 pagi tadi, saya dapati kucing saya telah mati kelemasan," katanya.

Kaji Rancangan Kawasan Khas

Posted:

Kaji Rancangan Kawasan Khas

Kaji Rancangan Kawasan Khas

Oleh ZARINA MD. HASHIM
utusankedah@utusan.com.my


Kawasan Pantai Chenang, Langkawi yang sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.


LANGKAWI 20 Feb. - Tidak lengkap kunjungan ke Langkawi sekiranya tidak menjejakkan kaki ke Pantai Chenang yang terkenal dalam kalangan pelancong sejak dahulu lagi.

Disebabkan keindahan pantainya, ia menjadi tumpuan hingga membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk berniaga dan mengusahakan calet bagi kemudahan pelancong.

Selepas hampir 20 tahun terlibat dalam aktiviti perniagaan itu, kini hampir 200 pengusaha calet dan peniaga di Pantai Chenang mendakwa tidak lagi boleh tidur lena.

Ini kerana memikirkan projek Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pantai Chenang 2015 yang akan dilaksanakan di pantai itu oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak RKK Pantai Chenang, Osman Saad, 58, berkata, selain bimbang ia akan memusnahkan perniagaan mereka, RKK juga dilihat akan menyekat perkembangan perniagaan orang Melayu di situ.

Katanya, pihaknya menyokong cadangan dalam projek tersebut seperti membina jalan utama untuk meningkatkan prospek pembangunan tanah-tanah pertanian yang tidak ekonomik, menguruskan sistem lalu-lintas dan pejalan kaki yang sistematik serta merawat dan memulihkan kualiti air laut melalui pembinaan sistem pembetungan dan saliran yang komprehensif.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya khuatir sekiranya cadangan tersebut akan membabitkan kawasan yang kini menempatkan calet dan perniagaan mereka.

Katanya, jika itu berlaku, mereka bimbang perniagaan yang menjadi punca pendapatan selama ini lenyap begitu sahaja.

"Kami menyokong penuh cadangan projek RKK ini terutama membabitkan cadangan membina jalan utama yang baru dan menguruskan sistem lalu-lintas dan pejalan kaki yang sistematik. Bagaimanapun, kami bimbang sekiranya cadangan tersebut menyebabkan kami terpaksa keluar atau berpindah ke kawasan baru.

"Justeru itu, kami para pengusaha calet dan peniaga yang sudah lama menjalankan perniagaan di sini merayu kepada kerajaan agar menimbang semula projek ini terutama yang membabitkan cadangan pembangunan di kawasan perniagaan kami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Osman menambah, pihaknya bersedia mematuhi sebarang syarat yang dikenakan kerajaan termasuk menaik taraf calet masing-masing ke tahap tiga hingga lima bintang asalkan mereka tidak perlu meninggalkan kawasan pantai yang menjadi punca rezeki mereka sejak berpuluh tahun lalu.

Sementara itu, seorang pengusaha calet, Mohamad Ata Omar, 47, berkata, Pantai Chenang merupakan satu-satunya pantai yang menjana pendapatan kepada penduduk tempatan berbanding pantai-pantai lain di Pulau Langkawi.

"Selain menjadi lokasi yang wajib lawati, ia juga sering menerima pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

"Justeru itu, kami merayu pihak kerajaan menimbang semula cadangan projek tersebut supaya tiada pihak yang terjejas," katanya.

Difahamkan, RKK turut membabitkan pembinaan Chenang Waterfront, meningkatkan tahap mobiliti pejalan kaki serta mengoptimumkan keindahan semulajadi Pantai Chenang dan Sungai Kuala Chenang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan