Sabtu, 18 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Jangan 'buang' ke pusat tahfiz

Posted:

Jangan 'buang' ke pusat tahfiz

Jangan 'buang' ke pusat tahfiz

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 17 Feb. - Ibu bapa diminta agar memperbetulkan persepsi yang menganggap pengajian tahfiz al-Quran adalah pilihan terakhir selepas anak-anak mereka gagal mendapat tempat untuk belajar di tempat lain.

Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Al-Hufaz, Muhammad Musa Al-Hafiz berkata, ia adalah tanggapan salah kerana pengajian tahfiz bukan untuk pelajar-pelajar yang gagal dalam pelajaran akademik.

"Kalau ibu bapa 'lempar' anak mereka ke pusat tahfiz tanpa kesedaran yang sebenar, maka saya susah nak terima mereka masuk.

"Pusat tahfiz sebenarnya dipenuhi dengan anak-anak yang cerdas akal, bijak dan bersungguh-sungguh dalam pengajian sejak awal lagi," katanya ketika menyampaikan kuliah subuh sempena sambutan Maulidur Rasul Masjid Albukhary, Alor Malai di sini, hari ini.

Muhammad berkata, ibu bapa perlu memahami tanggungjawab yang dipikul oleh semua pihak termasuk pusat tahfiz dalam melahirkan golongan hufaz dalam kalangan masyarakat.

Justeru itu, beliau menegaskan, anak-anak yang dikenal pasti mempunyai kecerdasan akal, bijak dan rajin sepatutnya terlebih dahulu dihantar ke pusat tahfiz sebagai pilihan pertama.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat Islam dipohon menghulurkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Al-Hufaz bagi membantu kerja-kerja pembangunan infrastruktur maahad itu.

Menurutnya, sumbangan itu diperlukan bagi membina bangunan tambahan pengajian di Kampung Caruk Beras, Kuala Ketil yang kini mempunyai 100 pelajar lelaki dan perempuan sejak dibuka tiga tahun lalu.

Katanya, sumbangan boleh dilakukan atas nama Maahad Tahfiz Alquran Misbahul Munir melalui akaun Bank Islam di nombor 02048010035416 atau Maybank di atas nama Yayasan Al-Hufaz di nombor 552040101300.

Dapat bantuan subsidi jika mansuh had tanaman padi

Posted:

Dapat bantuan subsidi jika mansuh had tanaman padi

Dapat bantuan subsidi jika mansuh had tanaman padi


Sabry Ahmad menyampaikan kunci traktor kepada petani pada Majlis Penyampaian Input dan Alatan Pertanian di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, semalam.


PADANG BESAR 17 Feb. - Kira-kira 15,000 petani luar kawasan jelapang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis akan mendapat bantuan subsidi harga padi jika kerajaan setuju memansuhkan peraturan tidak mengehadkan keluasan tanaman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi, Sabry Ahmad berkata, ini akan lebih adil kepada petani dari luar jelapang padi kerana mereka juga mengerjakan sawah dua kali setahun seperti petani di kawasan MADA.

"Peraturan mengehadkan keluasan tanaman padi ini sudah lama dan tidak sesuai lagi dengan perkembangan semasa," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan peralatan pertanian 2012 di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 53 petani menerima bantuan peralatan pertanian seperti lima unit traktor, mesin rumput beroda, pam air, tangga dan pam penyembur racun berjentera bernilai RM225,562.

Sabry berkata, dengan kemajuan teknologi moden memudahkan petani untuk mengusahakan sawah dengan keluasan tanah yang lebih besar berbanding dengan zaman dahulu.

"Langkah ini sekali gus akan menggalakkan generasi muda untuk menjadikan pertanian sebagai bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pusat juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk membantu kira-kira 4,000 petani di negeri ini yang menghadapi masalah padi angin atau padi hampa.

Katanya, ini kerana kawasan seluas 4,884 hektar tanaman padi di negeri ini telah dikenal pasti menghadapi masalah padi angin.

"Banyak biji padi menjadi kosong sehingga menyebabkan hasil tuaian petani tahun ini terjejas dengan teruk," kata beliau.

Sabry memberitahu, pihaknya juga sedang merangka bentuk bantuan untuk disalurkan bagi mencegah masalah ini termasuk membekalkan benih lebih tebal dan bahan organik yang diperoleh daripada pembekal.

Kurang pendidikan punca buang bayi

Posted:

Kurang pendidikan punca buang bayi

Kurang pendidikan punca buang bayi

IPOH 17 Feb. - Sikap memandang ringan kepentingan pengetahuan pendidikan seks ataupun kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja merupakan antara punca utama kes pembuangan bayi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Zon Utara, Dr. Azura Abdullah berkata, sikap itu berpunca daripada persepsi masyarakat bahawa pendidikan seks adalah sesuatu yang memalukan.

Malah, katanya, kajian oleh LPPKN pada 2004 menunjukkan hanya 50 peratus remaja dalam lingkungan usia 13 hingga 24 tahun tahu tentang fungsi organ reproduktif mereka.

"Melalui kajian yang kita lakukan setiap 10 tahun sekali itu juga mendapati hanya 47 peratus remaja yang tahu di manakah saluran bayi dilahirkan.

"Kajian ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan seks di negara ini masih rendah dan belum diterima secara menyeluruh oleh masyarakat," katanya pada majlis Bicara Santai sempena Program Kami Prihatin di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.

Kira-kira 300 pelajar hadir pada program yang turut disertai penceramah motivasi, Prof. Madya Md. Izuddin Ali sebagai ahli panel itu.

Azura berkata, usaha melengkapkan remaja dengan maklumat kesihatan reproduktif seksual di samping memberi inspirasi kepada mereka untuk membuat keputusan bijak merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian serius.

Justeru, katanya, bagi memberi pendedahan ilmu reproduktif kepada remaja, LPPKN mengambil beberapa langkah termasuk menyediakan modul baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada sesi Mei 2011.

"Remaja perlu faham bahawa kasih sayang yang sebenar bukan dizahirkan dengan 'merosakkan' kekasih mereka. Jika hubungan mereka sudah sah sekalipun, tetap ada adab dalam pergaulan.

"Jika mesej tentang rasa hormat terhadap anggota badan terutamanya bahagian sulit sendiri dan orang lain dapat disampaikan dengan jelas, remaja kita mungkin dapat mengawal diri dengan lebih baik kelak," tegasnya.

Sementara itu, seorang pelajar, Nur Haida Hashim, 16, berkata, pendidikan seks wajar dilihat sebagai satu bentuk ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada masyarakat khususnya remaja dalam mengekang gejala sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan