Jumaat, 17 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Status Sulihh jadi tanda tanya?

Posted:

Status Sulihh jadi tanda tanya?

Status Sulihh jadi tanda tanya?

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

JERAI 16 Feb. - Kerajaan Pas Kedah diminta memberi penjelasan kepada rakyat berhubung status projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh) yang ingin dibangunkan di Yan di sini.

Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, rakyat ingin mengetahui status pembangunan projek berkenaan memandangkan sudah lebih empat tahun berlalu sejak pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini.

"Kami selaku rakyat, terutama di kawasan Parlimen Jerai ingin mengetahui sejauh mana projek ini berjalan, setakat mana kesungguhan dan pelaksanaannya kerana sehingga kini ia diam sahaja," katanya selepas merasmikan majlis ramah mesra Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bersama rakyat di PPK E-IV Bukit Besar di sini hari ini.

Projek Sulihh yang dahulunya dikenali sebagai Zon Industri Petroleum Yan diumumkan pada 2007 hasil perancangan rapi kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa mentabdir negeri ini.

Selepas pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan negeri bersetuju meneruskan projek itu dengan menggunakan kaedah lain iaitu menambak laut bagi memberi laluan kepada pelaksanaannya.

Menurut laporan akhbar, projek yang dianggar melibatkan pelaburan RM35 bilion itu dijangka siap pada 2013 dan apabila beroperasi nanti ia dapat menjana pendapatan RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri.

Mohd. Suhaimi berkata, penjelasan mengenai perkembangan pelaksanaan projek berkenaan penting bagi membolehkan rakyat membuat persiapan dan menilai situasi kehidupan yang bakal dihadapi mereka.

Ini kerana kata Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Jerai itu, Sulihh merupakan satu projek besar yang bakal memberi kesan dan mengubah kehidupan rakyat di situ.

Selain itu katanya, rakyat juga ingin mengetahui apa yang akan terjadi dengan perancangan sistem pengairan baru di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang melibatkan peruntukan besar apabila berlaku pertembungan dengan projek Sulihh.

"Sebab itu penjelasan kerajaan negeri khususnya daripada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang datang dari Sungai Limau sendiri diperlukan bagi membolehkan kita menyiapkan rakyat di kawasan ini dalam jangka dekat dan panjang.

"Apa akan berlaku di kawasan ini menerusi projek Sulihh seperti akan adakah pemindahan rakyat atau dari segi sosioekonomi mereka," katanya.

JKM Kota Setar cari waris dua kanak-kanak

Posted:

JKM Kota Setar cari waris dua kanak-kanak

JKM Kota Setar cari waris dua kanak-kanak


Kiri Puteri Nur Zulaikha, Muhammad Bilal Samsul Kamal


ALOR SETAR 16 Feb. – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu atau waris kepada dua kanak-kanak bagi tujuan pendaftaran lewat sijil kelahiran dan menentukan hak penjagaan.

Ibu atau waris kanak-kanak pertama ialah Puteri Nur Zulaikha, 11, manakala yang kedua ialah Muhammad Bilal Samsul Kamal, 11.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Mat Isa Ahmad berkata, Puteri Nur Zulaikha yang dilahirkan di Hospital Besar Alor Setar oleh seorang warganegara Indonesia bernama Suryani telah diserahkan oleh ibu kandungnya kepada pasangan penjaga ketika berusia tiga hari tanpa mendaftar sijil kelahiran dan sebarang dokumen.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan kegagalan penjaganya bagi mendaftar sijil kelahiran kerana ibu Puteri Nur Zulaikha gagal dikesan sehingga kini.

"Alamat terakhir ibu kandung kanak-kanak ini adalah di Kampung Paya Nongni, Changlun," katanya di sini hari ini.

Mat Isa berkata, Muhammad Bilal Samsul pula dilahirkan pada 7 Mei 2001 di Hospital Besar Alor Setar oleh seorang warga Thailand bernama Miss Saifon Sentah dengan alamat terakhirnya di No. 100, Taman Arif Jaya, Jalan Datuk Kumbar di sini.

Katanya, pihak JKM dimaklumkan kanak-kanak itu telah diserahkan oleh seorang individu lelaki yang mendakwa sebagai bapanya tanpa sebarang dokumen ketika berusia empat bulan kepada bapa penjaga dengan alasan ibu kandungnya dilaporkan telah kembali ke negara asal.

"Sehingga kini bapa atau ibu kanak-kanak ini tidak tampil bagi menuntut hak penjagaan ke atasnya," kata beliau.

Sehubungan itu, Mat Isa meminta ibu kandung atau waris kedua-dua kanak-kanak itu menghubungi Pelindung Kanak-Kanak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar iaitu Mohd. Basharudin Samsudin atau Rosmini Meh di talian 04-7202370 atau 04-720 2351.

Katanya, ia bagi membolehkan proses pendaftaran sijil kelahiran bagi Puteri Nur Zulaikha dapat diadakan dan proses berkaitan hak jagaan serta pemeliharaan ke atas kedua-dua mereka dapat dimuktamadkan.

Bina 13 stor baja RM5.5 juta

Posted:

Bina 13 stor baja RM5.5 juta

Bina 13 stor baja RM5.5 juta

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAHutusankedah@utusan.com.my

JERAI 16 Feb. - Pembinaan 13 stor baja bernilai RM5.5 juta oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sehingga bulan ini telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 petani dalam kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, pembinaan stor berkenaan di kawasan terpilih di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di wilayah itu berjaya membantu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penyimpanan sementara baja padi.

"Dengan adanya kemudahan ini yang dibina di bawah peruntukan Kerajaan Pusat, agihan baja kepada pesawah dapat dipercepatkan, sekali gus memastikan sawah padi dibaja dalam tempoh ditetapkan.

"Selain itu, sistem kawalan dan pemantauan juga dapat dipertingkatkan bagi memastikan baja yang disimpan di stor tersebut tidak disalahgunakan," katanya pada majlis ramah mesra dengan PPK dan rakyat di PPK E-IV Bukit Besar di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Jerai, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK E-IV Bukit Besar, Mehat Osman.

Pada majlis itu, NCIA turut menyerahkan sebuah bangunan stor baja dan forklift kepada PPK berkenaan untuk kemudahan lebih 1,852 peladang dengan keluasan sawah meliputi 4,493 hektar.

Redza berkata, pembinaan stor baja tersebut merupakan antara komponen penting dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi di wilayah berkenaan seperti yang disasarkan kerajaan.

Katanya, komponen lain turut melibatkan penyerahan jentera penanaman padi yang membantu membasmi padi angin dan penyediaan dulang-dulang semaian baru untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi dari enam kepada lapan tan metrik sehektar.

"Penyerahan jentera terbabit sehingga kini telah memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 pesawah di kawasan MADA meliputi keluasan 30,000 hektar," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan ekonomi kawasan luar bandar merupakan agenda penting bagi NCIA dan agensi itu telah diberi mandat untuk menggunakan sektor swasta dalam menjana pendapatan serta peluang ekonomi kepada warga koridor utara di kawasan tersebut.

Katanya, sepanjang tahun lalu, NCIA berjaya menjana lebih RM250 juta penglibatan sektor swasta di kawasan luar bandar selain menyediakan hampir 2,100 peluang pekerjaan dan perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan