Isnin, 13 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


MDPT zalimi kami - Peniaga

Posted:

MDPT zalimi kami - Peniaga

MDPT zalimi kami - Peniaga

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


SEBAHAGIAN daripada 400 peniaga Melayu membantah tindakan MDPT menutup sementara kawasan perniagaan mereka di pasar sehari Naka, Padang Terap, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID


PADANG TERAP 12 Feb. - Kira-kira 400 peniaga pasar sehari Naka di sini mendakwa penutupan tapak niaga di situ oleh Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) sejak dua minggu lalu menjejaskan pendapatan mereka.

Kebanyakan peniaga yang terdiri daripada mereka berpendapatan rendah turut mempersoalkan sikap MDPT dikatakan double standard apabila tidak mengeluarkan arahan sama untuk peniaga di sekitar kawasan tersebut.

Rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa mereka kerugian antara RM300 dan RM500 sehari selain menanggung kos bahan jualan yang rosak kerana tidak dapat berniaga.

Menurut wakil peniaga, Matzuki Shamsul, 42, yang juga merupakan peniaga burger di situ, penutupan tersebut walaupun bersifat sementara, menjejaskan periuk nasi mereka.

"Kebanyakan peniaga mempunyai keluarga jika tidak berniaga sehari hilanglah pendapatan hari itu. Jika tidak bagi berniaga carilah tapak lain agar kami boleh berniaga.

"Ini tidak, cuma bagi notis dan tutup tapak. Ini tidak adil dan zalim kerana peniaga lain di kawasan sekitar boleh berniaga termasuk pasar malam yang terletak bersebelahan," katanya ketika ditemui sewaktu mereka mengadakan perhimpunan bantahan di tapak pasar sehari itu hari ini.

Seorang lain peniaga, Noraini Ku Ahmad, 51, mendakwa dia kerugian lebih RM3,000 setelah bahan makanan seperti sayur-sayurannya rosak kerana tidak dapat berniaga di situ sejak dua minggu lalu.

"Sudah 40 tahun makcik berniaga di situ tidak pernah pula jadi perkara seperti ini. Kami bukan persoalkan langkah MDPT menutup tetapi bertimbang rasalah dengan kami peniaga kecil ini.

"Janganlah zalim sangat ini sumber pendapatan untuk keluarga," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah ketika ditemui berkata, tindakan MDPT itu dilihat menindas peniaga tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada bumiputera.

"Inikah yang dilaung-laungkan oleh kerajaan Pas yang ingin mengadakan negara berkebajikan. Sedangkan periuk nasi orang Melayu sendiri diganggu," katanya.

Tambah Mohd. Ridzuan, susulan daripada bantahan tersebut para peniaga terbabit juga membuat laporan polis di Balai Polis Naka bagi mengemukakan bantahan dan menuntut gantirugi setimpal.

MDPT baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa penutupan tapak pasar sehari Naka yang beroperasi setiap Ahad itu dilaksanakan pada 5 Februari dan hari ini bagi kerja-kerja pembersihan oleh penyelenggara pasar, Koperasi Serbaguna Pekan Naka.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MDPT, Mohamad Nzari Ahmad berkata, MDPT akan terus menutup operasi di pekan sehari ini jika tahap kebersihan di situ masih kurang memuaskan.

SPNB akan bina 48 rumah untuk rakyat

Posted:

SPNB akan bina 48 rumah untuk rakyat

SPNB akan bina 48 rumah untuk rakyat

BUKIT MERTAJAM 12 Feb. - Sebanyak 48 rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Permatang Manggis di sini tidak lama lagi.

Kerja pembinaan rumah tiga bilik itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh sebulan lagi apabila tender untuk menambak tanah di kawasan berkenaan ditutup baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, projek itu adalah sebahagian daripada 64 projek yang diluluskan kerajaan Pusat untuk penempatan semula mangsa banjir di kampung tersebut.

Beliau berkata, setiap rumah yang akan dibina itu berharga RM40,000 hingga RM70,000.

"Projek yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) ini membuktikan kami sentiasa membantu rakyat dan bukannya menabur janji kosong seperti yang dibuat oleh pembangkang di negeri ini," katanya selepas merasmikan Karnival Warisan Melayu di Kampung Kuala Tasek, dekat sini hari ini.

Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan itu berkata, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk pembinaan 64 rumah pasang siap (IBS) bagi penempatan mangsa banjir di Kampung Manggis.

Projek pembinaan rumah berkenaan adalah hasil kerjasama SPNB dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kos keseluruhan projek bernilai RM8.3 juta.

Musa yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP yang mendakwa sebagai sebuah kerajaan berkebajikan sepatutnya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini.

"Saya nak tanya kerajaan negeri berapa banyak rumah mampu milik dibina untuk rakyat kerana BN membina rumah untuk semua rakyat," katanya.

Cemerlang UPSR, SKBIM terima insentif RM10,000

Posted:

Cemerlang UPSR, SKBIM terima insentif RM10,000

Cemerlang UPSR, SKBIM terima insentif RM10,000

BUKIT MERTAJAM 12 Feb. - Kejayaan Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda (SKBIM) dekat Permatang Pauh di sini melahirkan 13 pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu mendapat pengiktirafan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh.

SKBIM menerima insentif RM10,000 yang disampaikan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Zaidi Mohd. Said kepada Guru Besar, Asmat Rusidah Ahmad pada majlis Maulidur Rasul dan Penyampaian Sumbangan Peningkatan Akademik Parlimen Permatang Pauh di sekolah itu semalam.

Menurut Asmat, sumbangan itu sebagai galakan dan motivasi kepada guru dan pelajar agar mengekal atau meningkatkan pencapaian dalam UPSR 2012.

"Tahun lalu 13 pelajar SKBIM mendapat 5A dalam UPSR berbanding hanya 10 tahun 2010 dan ini amat membanggakan kami kerana sekolah ini dikategorikan sekolah kampung namun berjaya mencipta kejayaan lebih hebat daripada sekolah lain.

"Apa yang diterima hari ini akan digunakan sebaiknya untuk program pelajar serta membantu meningkatkan motivasi mereka untuk mencipta kejayaan lebih baik pada masa depan," katanya.

Selain SKBIM, Mohd. Zaidi turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu dan RM7,000 kepada 16 sekolah di sekitar Permatang Pauh selain RM1,000 untuk Masjid Bukit Indera Muda dan Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Tengah sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, insentif yang diberikan itu adalah bukti komitmen pihaknya serta keprihatinan UMNO sendiri terhadap pendidikan.

Jelasnya, pendidikan menjadi fokus utama pihaknya demi melahirkan insan yang cemerlang serta mampu menyumbang kepada agama dan negara pada masa depan.

"Sumbangan ini adalah kali ketiga kita berikan dan ia akan diteruskan pada masa depan bagi menggalakkan lebih banyak sekolah melahirkan pelajar cemerlang dan mencipta kejayaan dalam peperiksaan.

"Selain itu ia juga akan menyuntik motivasi kepada guru agar lebih bersemangat mendidik anak bangsa dan tanpa rasa jemu," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan