Rabu, 8 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Malu waktu terima BR1M

Posted:

Malu waktu terima BR1M

Malu waktu terima BR1M

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my


HILMI Yahaya (kanan) memberi penerangan berhubung pengagihan baucar BR1M di Pulau Pinang, semalam.


TELUK BAHANG 7 Feb. - Terdapat penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan wang bantuan persekolahan RM100 dari parti pembangkang enggan bersalam dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) semasa menerima bantuan tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Menurut Hilmi, keadaan itu mungkin berlaku akibat rasa malu kerana selama ini mereka suka mengkritik segala bentuk bantuan kebajikan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat.

Beliau menambah, perasaan itu juga timbul kerana mereka sebelum ini tidak yakin BN akan memberinya kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira ideologi politik.

"Ada yang mungkin malu kerana sebelum ini asyik menghentam kerajaan BN dan tidak yakin dapat bantuan.

"Mereka ini apabila naik atas pentas, tangan kanan disembunyikan di belakang (badan), tidak mahu salam dengan saya tapi tangan kiri ambil," katanya yang juga Setiausaha BN Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan baucer BR1M fasa ketiga di sini hari ini.

Seramai 922 penerima dari kawasan DUN Teluk Bahang menerima bantuan tersebut.

Hilmi memberitahu, bagi menangani isu-isu semasa yang sering diputar-belit oleh pembangkang, BN negeri kini giat mengadakan program-program penerangan yang memberi fokus kepada kumpulan-kumpulan sasar.

Jelasnya, selain risalah dan ceramah, media baru turut digunakan termasuk blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dibuat secara menyeluruh.

Sokongan masyarakat Cina terhadap BN kuat

Posted:

Sokongan masyarakat Cina terhadap BN kuat

Sokongan masyarakat Cina terhadap BN kuat

SIK 7 Feb. - Sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN) semakin kuat kerana mereka yakin dengan kemampuan kerajaan membangunkan ekonomi dan memakmurkan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, faktor ekonomi terus menjadi perkara utama masyarakat itu memberi sokongan kuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diyakini mampu membawa Malaysia menjadi negara berstatus berpendapatan tinggi.

"Atas faktor itu masyarakat Cina khususnya di daerah ini telah berikrar akan memberi sokongan kuat kepada kerajaan yang benar-benar berkualiti untuk memajukan negara," katanya selepas menyerahkan angpau untuk warga emas dan kanak-kanak di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Chung Hwa di sini semalam.

Tajuddin berkata, keupayaan BN memastikan negara terus stabil, harmoni dan membolehkan aktiviti perniagaan berkembang pesat turut menyebabkan masyarakat Cina mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan BN.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik berkata, masyarakat itu sedar kerajaan BN sentiasa memikirkan faedah ekonomi terbaik untuk rakyat sedangkan pembangkang hanya menyebarkan dakyah politik untuk memburukkan BN.

Sementara itu, Mohd. Tajuddin berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan jalan raya dari Sik ke Felda Teloi Kanan yang dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di daerah itu.

Ini kerana, katanya, sebelum ini jalan dari pekan Sik ke felda berkenaan amat jauh kerana terpaksa melalui Parit Panjang di Baling.

Beliau berkata, keadaan itu menjejaskan mata pencarian penduduk di kawasan berkenaan sejak berpuluh tahun.

"Dengan kelulusan pembinaan jalan baru ini maka ia dapat memudahkan hubungan antara Pekan Sik dan Felda Teloi Timur," jelasnya.

Penduduk mahu balai bomba di Kampong Gajah

Posted:

Penduduk mahu balai bomba di Kampong Gajah

Penduduk mahu balai bomba di Kampong Gajah

KAMPONG GAJAH 7 Feb. - Penduduk sekitar sini merayu kerajaan membina sebuah balai bomba dan penyelamat bagi mengatasi masalah kelewatan operasi memadam api setiap kali berlaku kebakaran.

Menurut mereka, rata-rata kes kebakaran di kawasan tersebut berakhir dengan kemusnahan yang besar kerana pihak bomba tidak sempat menyelamatkan harta benda berikutan kedudukan balai bomba yang agak jauh.

Pada masa ini, balai bomba terdekat dengan perkampungan itu ialah di Teluk Intan, terletak kira-kira 40 kilometer dari situ.

Seorang penduduk, Haminah Lebai Mat, 71, berkata, gesaan supaya sebuah balai bomba dibina di kampung tersebut sudah diajukan sejak beberapa tahun lalu, tetapi sehingga kini tidak mendapat maklum balas yang sewajarnya.

"Setiap kali berlaku kebakaran, kita tidak sempat hendak buat apa-apa. Jarak yang jauh tidak memungkinkan pihak bomba dari Teluk Intan menyelamatkan harta benda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi Robian Awang Ismail, 47, kebakaran yang berlaku di Seberang Perak baru-baru ini membuktikan wujud keperluan mendesak supaya balai bomba dibina di kawasan tersebut.

"Alasan yang selalu diterima ialah (bomba) tidak sempat memadam api kerana Balai Bomba Teluk Intan jauh, ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku.

"Saya harap kerajaan dapat menyelesaikan masalah kami, tambahan pula kebanyakan rumah di kampung ini didirikan dengan struktur kayu, jadi api mudah merebak dengan cepat," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin menjelaskan, perkara tersebut pernah diajukan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan bahawa pihak bomba sudah menyediakan kertas kerja berhubung cadangan tersebut.

"Banyak laporan diterima daripada penduduk yang mahu sebuah balai bomba dibina kerana tidak mahu kelewatan bomba terus menjadi masalah kepada mereka.

"Pembinaan itu juga penting untuk kerja-kerja menyelamat ketika berlakunya kemalangan khususnya di sekitar Sitiawan dan Bota. Kita harap kerajaan serta pihak bomba sendiri mengambil perhatian dalam soal ini," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan