Selasa, 7 Februari 2012

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Batu Kurau bukan lagi pekan koboi

Posted:

Batu Kurau bukan lagi pekan koboi

Batu Kurau bukan lagi pekan koboi

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

KAMUNTING 6 Feb. – Batu Kurau yang selama ini 'sepi' dan dianggap sebagai 'pekan koboi' akan berubah wajah apabila fasa pertama projek jalan raya menghubungkan Kampung Anak Kurau dengan Bukit Jana, Kamunting siap pada Januari tahun depan.

Projek tersebut juga menamatkan penantian penduduk tempatan yang telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk melaksanakan projek itu sejak 30 tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, secara keseluruhannya, projek Jalan Anak Kurau–Kamunting itu membabitkan kos kira-kira RM75 juta dan laluan sejauh 11.5 kilometer.

Katanya, apabila projek itu siap, tempoh perjalanan dari Batu Kurau ke bandar Taiping dapat disingkatkan kepada 10 hingga 15 minit sahaja berbanding 45 minit ketika ini.

"Melalui frasa pertama projek ini, kontraktor yang dilantik akan membina jalan sejauh 2.5 kilometer dengan kos RM8.5 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat.

"Fasa kedua akan diteruskan apabila kita mendapat peruntukan seterusnya daripada Kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu di Kampung Anak Kurau, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Kapten (B) Mohd. Najmuddin Alias al-Hafiz dan ADUN Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Sementara itu, Raja Ahmad Zainuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Larut berkata, penduduk tempatan tidak perlu bimbang dengan projek itu yang didakwa oleh pihak tertentu akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi pekan Batu Kurau.

"Penduduk tidak perlu bimbang kerana jalan baru ini akan membuka lembaran baru kepada perkembangan ekonomi dan sosial di kawasan Batu Kurau dan sekitarnya," katanya.

Najmuddin berkata, pembinaan jalan raya itu akan membolehkan daerah Larut, Matang dan Selama termasuk Batu Kurau mendapat nikmat limpahan ekonomi daripada kawasan Kamunting yang sedang pesat membangun.

"Rakyat di Batu Kurau amat berbesar hati apabila kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan RM130,000 untuk membina longkang di sekitar Kampung Anak Kurau dalam usaha mengatasi masalah banjir," katanya.

Beliau juga juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM70,000 kepada Pusat Tahfiz Nurul Iman di Kampung Sepeneh dan kepada Hamzah yang meluluskan peruntukan sebanyak RM60,000 untuk membina semula titi yang rosak membabitkan tiga kampung di Batu Kurau.

Bekalan minyak masak masih cukup di Kedah

Posted:

Bekalan minyak masak masih cukup di Kedah

Bekalan minyak masak masih cukup di Kedah

SUNGAI PETANI 6 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak di negeri itu mencukupi.

Pengarahnya, Mohd. Sakri Saleh berkata, jaminan itu dibuat selepas beberapa tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.

Bagaimanapun katanya, kekurangan minyak masak yang berlaku di sesetengah kawasan adalah disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.

"Minyak memang mencukupi untuk negeri. Saya harap pengguna jangan dengar khabar angin dan tidak membuat pembelian panik," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan minyak masak di sekitar bandar ini, hari ini.

Minyak masak yang merupakan salah satu barang kawalan yang disenaraikan oleh kementerian itu dilapor sukar diperoleh di beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sejak kebelakangan ini.

Mohd. Sakri berkata, pihaknya memantau keadaan itu dan memberi amaran peniaga yang menaikkan harga barang berkenaan akan menghadapi risiko untuk didakwa mengikut Akta Antipencatutan.

Beliau mengakui, ada kalanya bekalan tersebut menghadapi kekurangan terutamanya di kawasan pedalaman tetapi bukan dalam jumlah ketara.

"Di Kedah para peniaga diberikan kouta oleh MPOB sebanyak 2,500 tan metrik setiap bulan sedangkan penggunaan lebih. Bagi mengatasi masalah ini, kita bercadang memohon penambahan kouta kepada 4,000 tan metrik setiap bulan dalam tempoh terdekat," katanya.

Lebih 30,000 hadir sambutan Chap Goh Mei

Posted:

Lebih 30,000 hadir sambutan Chap Goh Mei

Lebih 30,000 hadir sambutan Chap Goh Mei

IPOH 6 Feb. - Lebih 30,000 orang menghadiri perayaan Chap Goh Mei anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di tokong Kwan Yin di Jalan Gopeng, malam tadi.

Majlis tersebut tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang ditemani isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Pada perasmian majlis itu, Zambry berkata, perayaan tersebut merupakan antara acara penting di Perak yang akan dianjurkan secara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

Beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM100,000 bagi penganjuran acara tersebut dan berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah status tapak tokong tersebut.

Zambry turut menyampaikan angpau kepada kanak-kanak yang menghadiri majlis tersebut.

Antara NGO yang terlibat dalam penganjuran itu ialah Dewan Perniagaan Cina Perak, Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Perak serta Pertubuhan Pengurusan Rumah Warga Tua Anning.

Selain gerai jualan makanan, acara tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti tarian naga dan singa, persembahan dram, wushu dan tarian serta pertandingan fotografi dan kaligrafi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan