Rabu, 22 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


UiTM bina ketamadunan bangsa

Posted:

UiTM bina ketamadunan bangsa

UiTM bina ketamadunan bangsa

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


Sebahagian penuntut dan Dali Hussin (barisan kedua tengah) di Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa UiTM Kelantan Sesi November 2011 – Mac 2012 di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 21 Feb. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan mengadakan Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Sesi November 2011 – Mac 2012 bagi meraikan penuntutnya yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum baru- baru ini.

Majlis yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini menyaksikan sebanyak 38 anugerah termasuk Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan telah disampaikan kepada penuntut yang dinilai pencapaian mereka oleh pihak universiti.

Hadir menyempurnakan majlis dan menyampaikan anugerah adalah Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dali Hussin.

Turut serta, Rektor UiTM cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd Shukri Omar; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), Muhammad Shukri Salleh dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Zulkarnain Yusoff.

Dali dalam ucapannya meminta penuntut menghargai peluang yang mereka nikmati belajar di UiTM sebagai salah satu institusi pengajian utama ditubuhkan kerajaan untuk membina ketamadunan dan kegemilangan bangsa.

Katanya, kecemerlangan yang dicipta semasa belajar akan menjadi sia-sia sekiranya ia tidak disusuli dengan usaha untuk membela masyarakat dan agama apabila sudah berada di dunia luar kampus.

"Pepatah menyebut 'takkan Melayu hilang di dunia' tetapi kita harus ingat Melayu akan hilang dunianya jika kita sendiri tidak bersungguh-sungguh dalam perjuangan menuntut ilmu dan bersatu dalam melaksanakan apa sahaja usaha untuk memperkasakan bangsa," katanya.

Terlebih dahulu, Mohd. Shukri dalam ucapan aluannya pula menyifatkan komitmen yang ditunjukkan para penuntut adalah manifestasi kecemerlangan pentadbiran kampus itu sendiri yang turut berjaya menyaingi pencapaian cawangan UiTM lain di seluruh negara.

Katanya, kejayaan mendapat Anugerah Emas Pengurusan Akademik Terbaik 2010 dan Anugerah Platinum Piala Pusingan Seluruh Sistem UiTM 2011 baru-baru ini adalah satu kebanggaan yang akan terus dipertahankan seluruh kakitangan UiTM Kelantan.

Pada majlis itu, Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dimenangi penuntut jurusan Diploma Pengurusan Maklumat, Muhamad Waridi Lokman Tee, 21, yang dipilih berdasarkan kecemerlangannya dalam pelajaran, sukan dan kepimpinan persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan UiTM Kelantan.

Muhamad Waridi yang tidak dapat hadir diwakili Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kelantan, Khairul Na'im Ramli untuk menerima hadiah wang tunai RM500.00, trofi dan sijil bagi pihaknya.

Selain 32 anugerah individu, anugerah kecemerlangan turut diberi kepada persatuan terbaik kategori akademik yang dimenangi oleh Persatuan Pelajar Perakaunan (MUTAC UiTM).

Pemenang lain ialah GPMS UiTM bagi kategori persatuan (bukan akademik), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (badan beruniform terbaik), Jawatankuasa Kolej Tunku Abdul Rahman (jawatankuasa perwakilan kolej terbaik), Jawatankuasa Perwakilan Kolej Dato' Onn (kelab keusahawanan terbaik) dan Sri Serangkai Tari (penggiat seni).

Mahasiswa penggerak pembangunan minda

Posted:

Mahasiswa penggerak pembangunan minda

Mahasiswa penggerak pembangunan minda


Ilias Husain (duduk, tiga kanan) bersama sebahagian mahasiswa yang diraikan di Dewan Terbuka Teratak Pulai, Bachok, kelmarin.


BACHOK 21 Feb. - Golongan mahasiswa merupakan kumpulan cerdik pandai yang mampu mengubah pemikiran masyarakat dalam mengharungi cabaran pembangunan dan kemajuan negara.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, golongan mahasiswa sewajarnya mendekati masyarakat pada masa terluang melalui penganjuran pelbagai aktiviti berteraskan komuniti.

Beliau berkata, sebagai kumpulan yang dihormati dalam masyarakat, mahasiswa boleh menjadi tenaga penggerak untuk membangunkan minda masyarakat mendepani cabaran mendatang selaras dengan aspirasi negara.

"Perjuangan sebegini adalah khidmat sukarela yang amat diperlukan terutama dalam usaha memantapkan kesedaran rakyat peringkat akar umbi terhadap pentingnya perpaduan, kerjasama, semangat kejiranan dan lain-lain perkara yang melibatkan konsep perpaduan sejagat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 50 mahasiswa dari pelbagai universiti di Dewan Terbuka Teratak Pulai di sini malam tadi.

Pada majlis sama, Ilias turut menyampaikan sumbangan beras kepada mahasiswa terbabit untuk disampaikan kepada keluarga masing-masing.

Beliau berkata, mahasiswa seharusnya lebih menumpukan perhatian terhadap usaha mencapai kecemerlangan dalam pengajian dan tidak perlu menjadi jaguh politik pembangkang yang sentiasa mencari keburukan kerajaan.

Menurutnya, impak dari kestabilan politik dan keupayaan kerajaan menerajui negara membolehkan bidang pengajian dan pertumbuhan universiti sebagai gedung ilmu berkembang pesat.

"Banyak lagi jasa dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh kerajaan di peringkat sekolah rendah dan menengah dalam usaha memastikan rakyat mendapat pendidikan sewajarnya," katanya.

90 pelajar miskin terima sumbangan

Posted:

90 pelajar miskin terima sumbangan

90 pelajar miskin terima sumbangan


Ramzan Ramza Ramli menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar kurang berkemampuan di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 21 Feb. - Seramai 90 pelajar miskin dan yatim dari empat jajahan di negeri ini terpilih menerima sumbangan daripada masyarakat Malaysia di Belfast, Ireland berjumlah sebanyak RM9,000.

Antara yang menghulurkan sumbangan ialah Persatuan Postgraduate Malaysia Ireland Utara (MyPNI), Kelab Melayu Universiti Queen (QMC) dan Pertubuhan Penuntut Malaysia Ireland Utara (MSSNI).

Sumbangan tersebut diperolehi melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh ketiga-tiga badan terbabit di Belfast, Ireland turut mendapat kerjasama Sekretariat Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan serta Putra Venture Limited.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di sebuah hotel di Pengkalan Chepa di sini semalam bersempena Majlis Tautan Kasih Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPIM) Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusinya, Datin Bi Samihah Mohd. Salleh.

Presiden MyPNi, Ramzan Ramza Ramli dalam ucapannya berkata, pihaknya dengan beberapa pertubuhan masyarakat Malaysia di Belfast telah menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk mengumpul sumbangan bagi membantu golongan miskin di negeri ini.

Beliau berkata, antara program yang diadakan ialah Program Kebajikan United Kingdom-Malaysia-Ireland dan 1Malaysia Fest Belfast 2011.

"Komuniti Malaysia di Ireland Utara bersetuju menyerahkan wang berkenaan kepada LKPIM Kelantan untuk disampaikan kepada pelajar terlibat. Sumbangan ini sebagai galakan untuk mereka berusaha lebih gigih bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya.

Ramzan Ramza berkata, pelajar di negeri ini perlu ingat bahawa peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar negara sentiasa terbuka asalkan mereka berusaha dengan gigih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan