Khamis, 16 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


RM32 juta baiki rumah miskin

Posted:

RM32 juta baiki rumah miskin

RM32 juta baiki rumah miskin

Oleh ADNAN MOHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my


AHMAD Said (tiga dari kanan) meninjau keadaan jalan yang rosak akibat hakisan di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, baru-baru ini.


SETIU 15 Feb. – Kerajaan negeri memperuntukkan RM32 juta tahun ini bagi membantu rakyat miskin di Terengganu, termasuk membaik pulih kediaman dan masalah atap bocor.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, rumah kediaman rakyat miskin akan diperbaiki, termasuk menggantikan atap yang rosak agar kehidupan mereka lebih selesa.

Menurutnya, jumlah peruntukan itu diagihkan oleh kerajaan negeri kepada kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN menerima RM1 juta.

"Tahun lalu kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk tujuan yang sama dan untuk tahun ini jumlah itu kita tambah lagi RM500,000 menjadikan RM1 juta bagi setiap DUN.

"Kami percaya menerusi bantuan yang diperkenalkan dua tahun lalu tiada lagi masalah rumah rosak dan atap bocor yang dihadapi oleh rakyat dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Daerah Setiu di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee; Exco kerajaan negeri, Asha'ari Idris; ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh; Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ishamudin Hashim.

Majlis perjumpaan pemimpin masyarakat itu diadakan sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Setiu, termasuk meninjau tapak Pasar Pekan Seri Langkap dan Projek Besut/Setiu Agropolitan (BSA) di Kampung Panchur Berderu, Sungai Tong dekat sini.

Rombongan itu turut melawat lokasi lain seperti meninjau masalah hakisan Pantai Rhu Sepuluh dan Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh dekat sini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri juga menyediakan RM1.5 juta bagi dua DUN iaitu Langkap dan Permaisuri untuk membina jalan baru serta membaik pulih jalan raya yang rosak di kawasan itu.

Kata beliau, pihaknya akan membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk membina sebuah pasar baharu dua tingkat di pekan Seri Langkap.

"Di samping itu kita juga peruntukkan RM2 juta untuk pembinaan sistem pengaliran di Beris Tok Ku dan RM200,000 bagi menaik taraf jalan di Kampung Rhu Sepuluh yang dilanda hakisan pantai baru-baru ini," ujarnya.

Maulidur Rasul SMK Kedondong meriah

Posted:

Maulidur Rasul SMK Kedondong meriah

Maulidur Rasul SMK Kedondong meriah

PASIR MAS 15 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul diteruskan lagi apabila 600 pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong dekat sini menyertai majlis perarakan sambutan berkenaan di sekolah itu hari ini.

Sambutan itu merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Unit Penghayatan Islam dan panatia Pendidikan Islam sekolah tersebut.

Pengetua sekolah berkenaan, Ab. Rahman Jusoh berkata, ia bertujuan untuk melahirkan rasa cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, melalui program itu juga, pihaknya mahu menggalakkan warga sekolah menghayati sunah Rasulullah dalam setiap aspek kehidupan serta memperingati tarikh kelahiran dan pengorbanan junjungan besar itu.

"Memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW ini amat besar manfaatnya kerana ia dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara pelajar dengan guru-guru di sekolah ini.

"Melalui cara ini, kita dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti selaras dengan dasar kerajaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, para pelajar dan guru-guru berarak sejauh satu kilometer sambil berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ab. Rahman memberitahu, acara lain yang turut diadakan bagi memeriahkan majlis tersebut seperti pertandingan bunga rampai, ceramah kisah-kisah Nabi Muhammad SAW dan pertandingan sepanduk.

"Pada majlis ini juga, pihak sekolah menerima sumbangan seekor lembu daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru-guru untuk jamuan kenduri sempena sambutan berkenaan," ujarnya.

Tambahnya majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Mohammad A. Ghani.

MPKBBRI roboh bangsal tempat maksiat

Posted:

MPKBBRI roboh bangsal tempat maksiat

MPKBBRI roboh bangsal tempat maksiat

KOTA BHARU 15 Feb. - Demi memuaskan nafsu, lokasinya sudah tidak penting apabila dua bangsal usang yang terletak betul-betul bersebelahan tanah perkuburan menjadi pilihan kepada sesetengah pihak untuk menjalankan aktiviti maksiat dan menagih dadah.

Itulah yang berlaku di Kampung Kubur Kuda di sini yang terletak di belakang pusat membeli belah KB Mall apabila dua bangsal buruk di situ yang langsung tidak berpenghuni waktu siang, rupa-rupanya bertukar menjadi sarang seks dan penagihan dadah waktu malam.

Bagaimanapun, aktiviti tidak bermoral itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa.

Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKBBRI) telah menyerbu dua pondok tersebut dan terus merobohkannya hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPKB-BRI, Ramli Che Hussain berkata, 20 anggota penguat kuasa yang diketuai oleh Ketua Inspektor MPKB-BRI, Mohamad Ali dan dua anggota polis telah menjalankan operasi berkenaan kira-kira pukul 10 pagi, namun tiada tangkapan dibuat.

Menurutnya, kedua-dua bangsal tersebut dibina secara haram di atas tanah rizab Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan tanah milik persendirian.

"Dua tahun lalu kita pernah merobohkan bangsal seumpama ini, tetapi mereka mendirikannya semula tanpa kebenaran dan ia dipercayai menjadi tempat kegiatan jenayah dan maksiat.

"Operasi satu jam yang bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi itu menemui beberapa barangan seperti botol, kotak, dan tilam yang mungkin digunakan untuk kegiatan maksiat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di bangsal tersebut turut mendapati, beberapa tilam buruk dan sarung kondom yang sudah digunakan ditinggalkan di dalamnya.

Ramli berkata, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan notis pada 5 Februari lalu kepada pihak berkenaan supaya merobohkan bangsal tersebut, namun arahan itu tidak dipatuhi.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya melalui Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah bertindak merobohkan bangsal berkenaan.

"Melalui akta tersebut, mana-mana individu yang mendirikan bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan boleh dirobohkan," ujarnya.

Sementara itu, Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan mengenai bangsal di kawasan tersebut yang pernah dijadikan tempat oleh seorang lelaki warga emas memuaskan nafsu dengan seorang wanita Indonesia yang menjadi hamba seksnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan