Rabu, 15 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Selesai dalam tempoh 12 jam

Posted:

Selesai dalam tempoh 12 jam

Selesai dalam tempoh 12 jam

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusantimur@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri berjanji menyelesaikan isu berkaitan bekalan minyak masak dalam tempoh 12 jam jika menerima aduan berhubung kekurangan barang kawalan itu di pasaran.

Pengarahnya, Ghazali Muhammad berkata, walaupun pihaknya sering melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap barangan itu pada setiap masa, PPDNKK negeri sentiasa terbuka dalam menerima sebarang aduan berhubung masalah berkenaan.

"Walaupun ramai pihak sedia maklum bahawa di Terengganu ini memang tidak ada masalah kekurangan bekalan minyak masak, namun, pihak kami kerap turun padang untuk memastikan ia (minyak masak) sentiasa cukup.

"Justeru itu, saya ingin menegaskan sekali lagi kepada seluruh pengguna di negeri ini supaya tidak bimbang dan panik berhubung dakwaan kekurangan minyak masak di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan pemeriksaan ke premis pembungkusan minyak Hajjah Maimunah Ibrahim di Mengabang Telipot di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Ab. Ghani Harun.

Terengganu menerima kouta 1,682 metrik tan minyak masak sebulan daripada keseluruhan 70,000 metrik tan termasuk 14,000 metrik tan lebihan yang diagihkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Ab. Ghani memberitahu, peniaga yang ditangkap kerana menyimpan minyak masak di premis yang tidak sah selain tidak mempunyai lesen menjual barang ketika rampasan sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini mungkin akan dihadapkan ke mahkamah minggu depan.

"Kertas siasatan mengenai kes itu kini hampir siap dan dia (peniaga) itu akan didakwa di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana kesalahan menyembunyikan barang kawalan.

"Ini kes pertama berkaitan minyak masak yang kita tangkap tahun ini," katanya merujuk kepada rampasan 6,800 paket (kilogram) minyak masak bernilai RM16,660 dalam satu serbuan di Batu Sembilan, Bukit Payung pada 23 Januari lalu.

100 keluarga pindah ke Agropolitan Besut–Setiu

Posted:

100 keluarga pindah ke Agropolitan Besut–Setiu

100 keluarga pindah ke Agropolitan Besut–Setiu


Ahmad Said (tengah) membuat tinjauan pembangunan Projek Agropolitan Besut-Setiu di Panchur Bederu, Setiu, kelmarin.


SETIU 14 Feb. – Projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) di Panchur Bederu dekat sini bakal memberi manfaat kepada 38 keluarga miskin apabila peringkat pertama fasa satu projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu beroperasi Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek penternakan biri-biri Dorper seluas 104 hektar itu melibatkan pembangunan 38 unit rumah, 40 hektar tanaman rumput Napier, surau, kantin, dewan serbaguna dan tadika.

Menurutnya, sebanyak 2,080 kambing biri-biri baka Dorper dari Australia akan dibawa masuk untuk peringkat pertama dan ditempatkan di 20 kandang di situ.

"Peserta bakal menerima pendapatan RM1,000 sebulan daripada aktiviti premier iaitu ternakan biri-biri dan insentif tambahan apabila projek berkenaan meraih keuntungan kelak," katanya selepas melawat projek itu semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris; Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafie dan Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.

Kata Ahmad, Majlis Pembangunan ECER dan kerajaan negeri akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian disiapkan mengikut perancangan.

Katanya, peringkat kedua Fasa I melibatkan pembinaan 62 unit rumah, 34 unit kandang biri-biri, 64 hektar tanaman rumput Napier, rumah kedai, rumah pegawai dan kerja-kerja landskap.

Menurutnya, 62 keluarga lagi akan berpindah September ini menjadikan jumlah keseluruhan 100 keluarga dengan tambahan 2,600 ekor biri-biri.

"Selain imbuhan bulanan, peserta berpeluang menambah pendapatan dengan aktiviti sekunder yang akan dilaksanakan seperti tanaman jangka pendek, memproses tinja untuk dijadikan baja organik serta ternakan burung walet.

"Pendapatan peserta dijangka meningkat kepada RM2,000 dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan boleh mencecah RM5,000 untuk tempoh 10 tahun dengan aktiviti seperti industri makanan ternakan, pengeluaran benih rumput dan rantaian nilai kedai daging," jelasnya.

Peluang saksi al-Quran bersalut emas di Muzium Terengganu

Posted:

Peluang saksi al-Quran bersalut emas di Muzium Terengganu

Peluang saksi al-Quran bersalut emas di Muzium Terengganu


Penolong Pegawai Keselamatan Muzium, Mohd. Zuki Omar (kiri) meneliti al-Quran bersalut emas yang dianggarkan bernilai RM170 juta yang akan dipamerkan sempena Pameran Khazanah Islam China di Muzium Negeri Terengganu bermula hari ini.


KUALA TERENGGANU 14 Feb. - Orang ramai akan berpeluang mendekati dan melihat sendiri keunikan al-Quran bersalut emas menerusi Pameran Khazanah Islam dari China yang bermula esok.

Pameran selama enam bulan anjuran bersama syarikat Topchain Capital Sdn. Bhd. dan Muzium negeri itu akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengurus Besar Topchain Capital, Wan Farahaida Wan Idrus berkata, pameran yang membabitkan al-Quran bersalut emas itu kali kedua diadakan selepas diperkenalkan di Melaka tahun lalu.

"Kedua-duanya naskhah (al-Quran) yang dipamerkan di Melaka dan di sini hampir sama dan bezanya cuma dari segi saiz kerana apa yang dipamerkan di sini besar sedikit.

"Bagaimanapun, ia tetap disaluti hampir 40 peratus emas dan dianggarkan nilai pasarannya ketika ini mencecah RM170 juta," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Wan Farahaida, disebabkan nilai yang terlalu tinggi, pihaknya terpaksa meningkatkan tahap keselamatan termasuk pada waktu malam dan menyimpan al-Quran itu di suatu tempat khas.

"Beberapa pegawai bersenjata akan berkawal sepanjang pameran itu diadakan dan mereka juga akan melakukan rondaan pada setiap masa bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Pada masa yang sama, kita juga telah mendapatkan kerjasama polis negeri untuk tujuan tersebut," katanya.

Wan Farahaida berkata, al-Quran yang dianggarkan berusia lebih 500 tahun itu berasal dari kerajaan Uthmaniyyah dan dibawa ke Timur Turkistan (Xianjiang-China) ketika Dinasti Ming.

"Ia menggunakan skrip Naskhi dan dua set telah dibawa untuk dipertontonkan di sini," ujarnya.

Menurutnya, selain al-Quran bersalut emas, pameran itu turut memberi peluang pengunjung melihat bekas gangsa yang digunakan untuk memasak sewaktu Dinasti Shang.

Katanya, keunikan bekas gangsa itu ialah bahagian dalamnya diperbuat daripada emas walaupun luar daripada gangsa.

"Turut dijangka menjadi tarikan ialah pinggan bersalut emas, tembikar yang dihiasi ukiran emas serta kuda seramik," katanya.

Pameran itu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari dan akan berakhir pada 14 Ogos ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan