Jumaat, 10 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


3,000 guru bakal terima komputer

Posted:

3,000 guru bakal terima komputer

3,000 guru bakal terima komputer

KUALA TERENGGANU 9 Feb. - Kira-kira 3,000 guru tahun lima sekolah rendah di negeri ini bakal menerima komputer riba secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM4.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia adalah langkah susulan selepas pengagihan alat bantu pengajaran dan pembelajaran itu kepada guru-guru tahun enam selesai dilakukan.

''Pemberian itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan penggunaan peralatan teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan anak negeri,'' katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ia dilakukan serentak dengan pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) 2012 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Pada masa yang sama, katanya, bekalan kemudahan bagi warga pendidik itu bagi merangsangkan lagi mereka agar bersama menterjemah hasrat kerajaan negeri mewujudkan kelas maya di semua sekolah rendah selaras dengan perubahan zaman.

"Kita jangka mahu bagi awal tahun ini tetapi stok komputer belum ada, jadi kita akan bagi selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

"Saya harap dengan pemberian kemudahan ini, ia akan memberi semangat lagi kepada guru-guru untuk terus melakar kejayaan kepada anak Terengganu," katanya.

Ahmad berkata, di samping itu sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri sepanjang tahun ini bagi melaksanakan kelas tuisyen di setiap sekolah menerusi PPAI.

Katanya, setiap PPD menerima peruntukan yang berbeza, bergantung kepada jumlah sekolah, kelas serta murid yang bakal mengikuti tuisyen di sekolah masing-masing itu.

"PPD Kuala Terengganu menerima RM1,247,034, PPD Kemaman (RM545,196), PPD Besut (RM572,364), PPD Dungun (RM493,524), PPD Hulu Terengganu (RM280,422), PPD Setiu (RM243,984) dan PPD Marang RM357,078," jelasnya.

KPEP tingkatkan taraf hidup nelayan Teluk Kundur

Posted:

KPEP tingkatkan taraf hidup nelayan Teluk Kundur

KPEP tingkatkan taraf hidup nelayan Teluk Kundur


Sebahagian ahli-ahli KPEP Teluk Kundur, Kota Bharu, Kelantan menunjukkan bubu kerisi yang dihasilkan mereka, baru-baru ini.


KOTA BHARU 9 Feb. - Jabatan Perikanan Negeri Kelantan telah menubuhkan Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Teluk Kundur pada Oktober lalu bagi memberi peluang kepada kumpulan nelayan di Kampung Teluk Kundur di sini merubah hidup mereka ke arah yang lebih baik.

Pengarah Perikanan negeri, Datuk Mohamad Mat Saman berkata, KPEP Teluk Kundur merupakan komuniti terbaru daripada lebih 16 KPEP pantai dan sungai yang diwujudkan di seluruh negeri sejak 2009.

"Pihak jabatan melalui Bahagian Pengembangan mengumpulkan kumpulan nelayan terdiri daripada 10 orang atau lebih di satu-satu kawasan nelayan bermastautin dan mereka akan bekerjasama memastikan pemeliharaan ekosistem perikanan termasuk sumber ikan, kawasan bakau, unjam dan tukun diuruskan dengan baik.

"Melalui KPEP juga, kita menanam budaya keusahawanan di kalangan nelayan berteraskan aktiviti sosioekonomi setempat agar mereka mampu menjadi lebih inovatif, kreatif dan berdikari bagi meningkatkan pendapatan," katanya ketika berucap merasmikan KPEP Teluk Kundur dan menyerahkan sijil keahlian kepada 11 orang nelayan di sini, baru-baru ini.

Mohamad berkata, kumpulan nelayan KPEP Teluk Kundur dipilih untuk terlibat dalam aktiviti penghasilan bubu kerisi dan mereka dihantar mengikuti kursus pembuatannya di Institut Perikanan Malaysia (IPM) di Terengganu pada 6 dan 7 Disember lalu.

Menurutnya, pembuatan bubu kerisi dijadikan fokus KPEP Teluk Kundur sebagai usaha pihak jabatan mengembangkan lagi operasi penangkapan ikan menggunakan kaedah yang mesra alam dan lebih menguntungkan.

Jelasnya, reka bentuk bubu kerisi menyebabkan hanya ikan bersaiz besar dan sederhana sahaja yang akan terperangkap di dalam bubu tanpa memberi kesan kepada ikan kecil lain berbanding pukat tunda yang mengaut segala jenis hidupan laut tanpa mengira saiz.

Katanya, terdapat 220 buah bot di negeri ini yang masih menggunakan pukat tunda dan pukat jerut, sementara hanya 15 buah bot sahaja yang telah beralih kepada bubu kerisi.

"Pada masa sekarang terdapat lebih 4,000 nelayan tradisi dan komersial di seluruh negeri ini dan saya berharap lebih ramai akan menggunakan bubu kerisi kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada sumber perikanan.

"Nelayan komersial dengan bot yang besar mampu membawa sehingga 100 buah bubu yang setiap satunya mampu memuatkan ikan dari 25 hingga 35 kilogram dan boleh dipasang sejauh 30 batu nautika dari pantai.

"Justeru secara purata, kita jangkakan ia mampu menjana pendapatan kasar mereka sehingga RM10,000 seminggu atau RM40,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, Ketua KPEP Teluk Kundur, Arman Amri, 37, ketika ditemui pula berkata, dia menjangka pembuatan bubu kerisi dapat menambah pendapatan sekali ganda berbanding yang diperoleh sekarang jika bergantung semata-mata kepada kerja nelayan.

Arman berkata, ahli kumpulannya seramai 11 orang berumur antara 23 hingga 58 tahun mempunyai purata pendapatan sebanyak RM450 sebulan dan mereka berharap ia dapat ditingkatkan kepada lebih RM850 sebulan menerusi projek bubu kerisi ini.

Katanya, sebuah bubu kerisi yang dihasilkan boleh dijual pada harga RM90 hingga RM100 seunit dan biasanya bertahan sehingga tempoh enam bulan sekiranya digunakan secara optimum.

"Bubu kerisi dibuat menggunakan dawai 'mata punai' dan kayu sisip puyu yang tahan berada lama di dalam air. Bekalan kayu jenis ini perlu dibeli dari Terengganu memandangkan agak sukar didapati di sini.

Arman berkata, kumpulannya berupaya menghasilkan enam hingga tujuh buah bubu kerisi dalam tempoh tiga jam dan kerja-kerja ini dilaksanakan pada sebelah petang selepas mereka pulang dari laut.

Katanya, dia berharap bubu buatan mereka segera mendapat perhatian memandangkan penghasilan bubu kerisi di negeri ini sekarang hanya diusahakan secara kecil-kecilan di daerah Tumpat sahaja.

Seorang nelayan yang ditemui, Mohd. Ridzuan Mamat, 28, pula berkata, walaupun mempunyai kelebihan, penggunaan bubu kerisi tetap mempunyai risikonya yang tersendiri.

Bagaimanapun Mohd. Ridzuan berkata, dia tetap menyokong sepenuhnya penggunaan bubu kerisi kerana ia tidak menjejaskan sumber kehidupan laut seperti pukat tunda.

Penduduk dilarang guna pangkalan haram

Posted:

Penduduk dilarang guna pangkalan haram

Penduduk dilarang guna pangkalan haram

RANTAU PANJANG 9 Feb. - Orang ramai memberi reaksi berbeza terhadap larangan pihak berkuasa supaya mereka tidak menggunakan pangkalan haram sebaliknya laluan yang sah untuk ke Pasar Mundok di selatan Thailand, berkuat kuasa baru-baru ini.

Bagi Nik Halisah Nik Daud, 57, dari Bunut Payong Kota Bharu, dia menyambut baik peraturan itu kerana ia menjamin keselamatan para pengunjung berulang-alik ke pasar berkenaan.

Menurutnya, walaupun harga barang di pekan berkenaan agak murah berbanding di pekan Rantau Panjang, namun para pengunjung berdepan risiko apabila terpaksa menyeberangi Sungai Golok dengan bot tanpa jaket keselamatan.

"Bagi saya kalau beza harga setiap barangan sekitar RM1 hingga RM2, lebih baik ia dibeli di negara ini. Lagipun kos pengangkutan untuk ke sana RM1 sehala," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun seorang peniaga, Shamsiah Ishak, 44, terkejut dengan perkembangan tersebut dan mendakwa hanya mengetahui penutupan pangkalan haram tersebut sebaik tiba di situ pada waktu pagi baru-baru ini.

Dia mendakwa, penutupan itu menyebabkan dia berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan barangan untuk keperluan kedai runcitnya di Tumpat.

"Sebelum ini saya menggunakan laluan ini (pangkalan haram) untuk ke Pekan Mundok bagi mendapatkan barangan jualan. Apabila laluan ini ditutup, secara tidak langsung ia menjejaskan mata pencarian saya.

"Barangan yang dijual di Pekan Mundok agak murah berbanding di sini dan ia memberikan sedikit keuntungan kepada saya. Dengan hasil tersebut dapatlah saya menyara sembilan anak yang masih bersekolah," kata ibu tunggal itu.

Seorang lagi pengunjung yang enggan dikenali mencadangkan supaya pihak kerajaan mewartakan pangkalan haram sebagai salah satu pintu masuk yang sah ke Pekan Mundok.

Langkah itu dakwanya, lebih memberi kebaikan kepada banyak pihak termasuk pengusaha bot yang selama ini meraih rezeki dengan membawa orang ramai menyeberangi sungai untuk ke sana.

"Apabila diwartakan sebagai pintu masuk yang sah, langkah-langkah keselamatan seperti penggunaan bot yang lebih sesuai, pemakaian jaket keselamatan dan sebagainya boleh dikuatkuasakan.

"Langkah tersebut dilihat mampu merancakkan lagi ekonomi kedua-dua negara misalnya setiap pengunjung akan menggunakan pasport atau pas sempadan untuk ke pasar Mundok dan mereka juga akan dikenakan cukai setiap kali membeli barangan di sana," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan