Khamis, 9 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Maulidur Rasul disambut meriah

Posted:

Maulidur Rasul disambut meriah

Maulidur Rasul disambut meriah

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusantimur@utusan.com.my


Kakitangan Pejabat Daerah dan tanah Kuala Terengganu memakai jubah semasa menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Negeri Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 8 Feb. –Tradisi sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di sini Ahad lalu meriah dengan penyertaan kira-kira 20,000 umat Islam.

Ia merupakan penyertaan terbesar semua lapisan masyarakat yang pernah dicatatkan dalam program bagi memperingati hari keputeraan Rasulullah SAW dan menghayati pengorbanan terhadap ummah serta mencontohi amalan baginda.

Sambutan kali ini melibatkan perarakan hampir 400 kontinjen sejauh kira-kira dua kilometer dari Dataran Shahbandar ke Stadium Negeri.

Perarakan diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan turut disertai barisan anggota Exco kerajaan negeri dan para pegawai kanan negeri.

Buat pertama kalinya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri turut serta bersama 12 kontinjen sektor swasta.

Juga pasukan beruniform (6), sekolah dan institusi pengajian tinggi (40), jabatan kerajaan Persekutuan (28) dan jabatan kerajaan negeri (23) di samping badan-badan bukan kerajaan serta tadika.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika bertitah merasmikan sambutan mengingatkan umat Islam agar tidak membiarkan perpecahan terus melebar hingga melemahkan ummah dan memalapkan syiar agama.

"Kita kena bersatu dan jangan kerana perbezaan fahaman politik, kita berpecah-belah seterusnya membuka peluang kepada musuh Islam menyerang kita.

"Jangan biarkan umat Islam diserang anasir-anasir seperti ini, ini merugikan Islam," titah baginda.

Menurut baginda, perpaduan merupakan senjata utama bagi umat Islam dalam menghadapi segala bentuk ancaman musuh yang bertujuan menghancurkan mereka.

Titah baginda, hakikatnya pada hari ini umat Islam dalam keadaan lemah dan dianiaya kerana mereka tiada kekuatan dari segi ekonomi selain tidak bersatu hati.

Sultan Mizan bertitah, Rasulullah SAW adalah ikon terbaik dalam menyatukan seluruh umat manusia dari pelbagai kaum dan perlu dijadikan ikutan umat Islam.

Bagi menghargai penglibatan kontinjen dalam perarakan, hadiah turut disediakan dengan wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan kepada pemenang.

Yayasan Islam Terengganu memenangi kategori jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun negeri manakala kategori jabatan kerajaan dan badan berkanun Persekutuan dimenangi oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin menjuarai kategori sekolah dan institusi pengajian tinggi dan Polis Diraja Malaysia bagi kategori pasukan beruniform.

Petronas Wilayah Timur pula memenangi kategori syarikat swasta manakala kategori JKKK dimenangi oleh JKKK Kampung Undang, Marang.

Selain perarakan, sambutan peringkat negeri dimeriahkan dengan pertandingan menulis, pidato, menulis khat, sajak dan syair, mewarna, menulis sajak dan syair bagi kalangan pelajar di semua peringkat.

Pada majlis itu, hadiah pertandingan keceriaan dan kebersihan tanah perkuburan turut disampaikan yang dimenangi Kampung Gong Terap, Setiu (pertama), Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu (Kedua) dan Kampung Guntung Luar, Setiu (Ketiga).

Pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM5,000, RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga) serta sijil penghargaan.

Laluan ke Tabika Kemas ‘disekat’

Posted:

Laluan ke Tabika Kemas 'disekat'

Laluan ke Tabika Kemas 'disekat'

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


Ibu bapa membantu pelajar mendaki tebing kerana jalan utama menghala ke tabika berkenaan 'disekat' di Kampung Jaya Setia, Badang, Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 8 Feb. – Hampir 20 murid Tabika Kemas Kampung Jaya Setia, Badang dekat sini berdepan kesukaran untuk berulang-alik ke premis itu selepas laluan ke tabika tersebut 'disekat' oleh pemilik tanah berkenaan sejak Jumaat lalu.

Guru tabika berkenaan, Zainab Idris, 53, berkata, pemilik berkenaan menimbun tanah di laluan berkenaan sehingga menyukarkan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak-anak mereka.

"Saya tidak mengetahui punca sebenar mengapa jalan ke tabika ini ditutup, namun saya kesal dengan tindakan yang dipercayai dilakukan oleh pemilik tanah.

"Saya dimaklumkan perkara ini oleh pembantu guru pada malam Jumaat lalu. Sebelum ini tiada sebarang notis amaran diberi dan sekatan ini diadakan secara tiba-tiba," dakwanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Zainab yang kecewa dengan tindakan pemilik tanah berkenaan yang tidak memberi sebarang notis memberitahu, beliau telah menghubungi penghulu dan penggawa kawasan berkenaan untuk memaklumkan perkara tersebut.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ibu bapa yang menggunakan kenderaan menghantar dan mengambil anak-anak mereka kini terpaksa meninggalkan kenderaan sejauh kira-kira 10 meter.

Seorang ibu, Zalina Ismail, 29, yang mempunyai dua anak belajar di tabika berkenaan menyuarakan rasa terkejut dan hairan apabila mendapati timbunan tanah di kawasan jalan tersebut kerana ia seolah-olah menutup laluan ke tabika berkenaan.

"Kami ibu bapa meminta jasa baik pemilik tanah supaya tidak bertindak sedemikian. Walaupun jaraknya tidak jauh tetapi nyata ia menyusahkan kami semua," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Pengkalan Chepa, Datuk Dali Husin memberitahu, pihaknya telah mengadakan laluan sementara untuk kemudahan ibu bapa terlibat.

"Atas rasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi Tabika Kemas Setia Jaya, sebanyak RM5,000 diperuntukkan bagi membina jalan dari rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan kenderaan memasuki kawasan tabika itu," katanya.

MBKT sita rumah teres jadi pasar raya

Posted:

MBKT sita rumah teres jadi pasar raya

MBKT sita rumah teres jadi pasar raya

KUALA TERENGGANU 8 Feb. - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini menyita sebuah rumah teres yang dijadikan premis perniagaan di Jalan Sultan Mahmud dekat sini setelah didapati beroperasi tanpa kelulusan.

Penolong Jurutera, Jabatan Kawalan Bangunan MBKT, Mohd Azmizan Awang berkata, operasi dijalankan kira-kira pukul 9 pagi oleh Jabatan Kawalan Bangunan dan Jabatan Pelesenan.

Katanya, tindakan itu diambil setelah mendapati pemiliknya melakukan kesalahan menukar rumah teres yang didiami kepada premis perniagaan tanpa kelulusan MBKT.

"Pemilik premis itu juga didapati melakukan kerja-kerja pengubahsuaian ketara pada struktur bangunan itu walaupun tidak mendapat sebarang kelulusan daripada pihak majlis.

"Dia juga berdepan dengan dua lagi kesalahan iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen serta mengantung papan iklan tanpa kebenaran," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmizan memberitahu, pihaknya telah menyerahkan notis 72(1) di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pemilik premis pada 20 Januari lalu.

Menurutnya, di bawah notis itu, pemilik berkenaan perlu memberhentikan operasi dalam tempoh 14 hari notis itu diberikan kepadanya yang berakhir pada 2 Februari lalu.

''Namun, pemilik tersebut masih ingkar dan tetap meneruskan operasi perniagaan.

"Jadi kita mengambil tindakan menyita bangunan ini dan ia akan disita sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan