Jumaat, 3 Februari 2012

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Jangan tutup TE

Posted:

Jangan tutup TE

Jangan tutup TE

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my


Salah sebuah premis Trefound Educare-YT di bandar Kuala Terengganu.


KUALA TERENGGANU 2 Feb. – Kerajaan negeri diminta campur tangan bagi memastikan Yayasan Terengganu tidak menghentikan operasi Institut Kemahiran TREFound Educare (TE) di sini.

Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, penutupan TE yang merupakan sebuah pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia adalah langkah kebelakang dan tidak selari dengan pendekatan kerajaan negeri dan Pusat.

Katanya, TE yang menawarkan kursus berkaitan sistem maklumat dan komputer telah sedekad beroperasi dan menjadi wadah dalam menyediakan peluang kedua kepada pelajar yang meminati bidang kemahiran.

''Apatah lagi Kementerian Sumber Manusia dalam proses untuk mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam supaya Diploma Kemahiran Malaysia diiktiraf setaraf dengan aliran akademik.

''Komitmen kerajaan terhadap bidang kemahiran ini juga diserlahkan dengan langkah menaik taraf sebahagian sekolah teknik sebagai kolej vokasional mulai tahun ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam sebahagian daripada 117 pelajar TE cuba mendapatkan penjelasan daripada Yayasan Terengganu berhubung kelulusan pinjaman mereka yang akan dibayar dalam bentuk elaun sebanyak RM250 sebulan.

Mereka juga mempersoalkan mengapa 45 pelajar tahap 4 belum menerima komputer riba percuma seperti dijanjikan dalam terma dan syarat kemasukan.

Utusan Malaysia difahamkan pada akhir 2010 Yayasan Terengganu memutuskan untuk menghentikan operasi apabila semua pelajar di institusi tersebut menamatkan pengajian masing-masing.

Bagaimanapun ia tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pengurusan TE sehingga menyebabkan institut latihan tersebut membuat pengambilan baru bagi sesi Februari, April dan Julai tahun lalu.

Yayasan Terengganu juga dilaporkan masih belum memberi jawapan kepada permohonan pinjaman 132 pelajar yang kini berada pada tahap 2 dan 3.

Syed Anuar berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjejaskan operasi TE yang masih berfungsi melatih pelajar.

''Sebarang masalah antara pihak yayasan dan TE seharusnya diselesaikan dan jangan menjadikan pelajar sebagai mangsa serta mencemarkan imej kerajaan," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bilangan pembantu pengajar BI akan diganda

Posted:

Bilangan pembantu pengajar BI akan diganda

Bilangan pembantu pengajar BI akan diganda

KUALA TERENGGANU 2 Feb. - Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Australia dan United Kingdom (UK) dalam usaha menggandakan jumlah pengambilan pembantu pengajar bahasa Inggeris (ETA) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kerjasama itu dijangka bermula secara rasmi tahun depan.

Katanya, kerajaan negeri sukar mendapatkan lebih ramai guru bahasa Inggeris menerusi program anjuran Jawatankuasa Kerjasama Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) itu kerana terikat dengan kuota.

"Sejak program ETA ini dilaksanakan di Terengganu pada 2009, jumlah keseluruhan tenaga pengajar ETA berjumlah 89 orang termasuk 17 peserta untuk tahun ini.

"Bagaimanapun, jumlah ini sebenarnya masih kecil bagi memenuhi hasrat besar kerajaan negeri memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Guru ETA kepada 17 pentadbir sekolah di Hotel Tanjung Vista di sini kelmarin.

Hadir sama, Kaunselor Kedutaan Amerika Syarikat, Scoot Rauland.

Program ETA yang dirintis di Terengganu telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mulai tahun ini diperluaskan ke tiga buah negeri termasuk Pahang (16) dan Johor (17).

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri kini tidak perlu lagi menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 setahun untuk program ini kerana segala perbelanjaan itu kini diuruskan Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM51,000 untuk program itu yang mana setiap sekolah yang menerima guru ETA akan menerima peruntukan sebanyak RM3,000," ujar beliau.

Full content generated by Get Full RSS.

400 peserta usahakan tanaman padi MRQ 74

Posted:

400 peserta usahakan tanaman padi MRQ 74

400 peserta usahakan tanaman padi MRQ 74

MACHANG 2 Feb. - Kira-kira 263 hektar kawasan di empat daerah di negeri ini telah dibangunkan dengan projek tanaman padi jenis Maswangi (MRQ 74).

Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Ab. Llah Ismail berkata, kawasan tersebut adalah di Rantau Panjang, Tanah Merah, Machang serta Jeli yang membabitkan 400 peserta.

Katanya, varieti berkenaan telah diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Pertanian Persekutuan (MARDI) pada tahun lalu di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebagai salah satu usaha meningkatkan pendapatan petani selain mengurangkan kos import beras jenis basmathi dan Maswangi.

"Secara keseluruhan kawasan tersebut telah dimajukan. Insya-Allah hasilnya akan dituai pada Mei ini.

"Tujuan penanaman padi ini juga adalah bagi mengurangkan import beras wangi dan basmathi. Kita jangkakan hampir separuh kos pengimportan beras tersebut dapat dikurangkan melalui projek ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Tanaman Padi Maswangi (MRQ 74) antara syarikat Info Culture Sdn. Bhd. dengan wakil peserta di Kampung Pangkal Meleret di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah MARDI negeri, Aminah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Info Culture Sdn. Bhd., Affendi Ismail.

Ab. Llah berkata, syarikat Info Culture bertindak sebagai pemacu projek dan MARDI selaku pemilik teknologi manakala petani sebagai pelaksana dalam program penanaman berkenaan.

"Syarikat Info Culture dilantik oleh kerajaan di bawah Entry Point Project 9 (EPP) bagi mengeluarkan padi wangi di luar jelapang. Mereka bukan sahaja membekal benih padi kepada peserta, malah turut membeli hasil tuaian dengan kadar 20 peratus lebih tinggi berbanding beras biasa," katanya.

Ab. Llah berkata MRQ 74 merupakan jenis padi Maswangi yang mempunyai kelebihan dengan kandungan gula di bawah 40 peratus berbanding varieti lain dan ia sesuai untuk penghidap diabetes atau mereka yang mengamalkan penjagaan kesihatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan