Selasa, 21 Februari 2012

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Sedia bantu BN kekal kuasa

Posted:

Sedia bantu BN kekal kuasa

Sedia bantu BN kekal kuasa

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


Ali Rustam bermesra dengan sebahagian pemandu teksi serta kereta sewa pada majlis makan malam di Melaka Sentral, malam semalam.


MELAKA 20 Feb. - Kira-kira 1,500 pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan mengekalkan pentadbiran di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang

Yang Dipertua Persatuan Gabungan Teksi dan Kereta Sewa Negeri Melaka, Aziz Ahmad berkata, sudah tiba masanya mereka membalas budi kerajaan negeri yang selama ini banyak membantu golongan itu.

"Kami berikrar akan pergi ke seluruh pelosok negeri ini untuk membantu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebaik sahaja bermula kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Kami akan beri apa jua bantuan yang termampu bagi memastikan kejayaan BN agar kepimpinan sedia ada dikekalkan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama keluarga sempena ulang tahun Melaka ke-750 sempena sambutan Tahun Baru Cina di Melaka Sentral di sini malam tadi.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Zainal Abu.

Menurut Aziz, usaha itu juga adalah sebagai tanda terima kasih dan sokongan kepada kerajaan negeri yang selama ini banyak membantu persatuan itu terutama dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

"Semuanya adalah nyata dan bukannya janji-janji kosong. Kemenangan BN pasti akan merancakkan lagi projek pembangunan dan infrastruktur di Melaka," katanya.

Pada majlis itu, Mohd. Ali turut mengumumkan pemberian dana tambahan sebanyak RM10,000 kepada tabung persatuan itu untuk menjalankan aktiviti mereka.

Jumlah koperasi meningkat 10 peratus

Posted:

Jumlah koperasi meningkat 10 peratus

Jumlah koperasi meningkat 10 peratus

SEREMBAN 20 Feb. - Jumlah koperasi yang berjaya ditubuhkan di seluruh negeri ini mencatatkan peningkatan pada kadar 10 peratus sepanjang tempoh tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, jumlah koperasi berdaftar di negeri ini sehingga hujung tahun lalu sebanyak 501 koperasi.

''Ini merupakan perkembangan yang amat positif kerana pada tahun lalu, kami hanya meletakkan sasaran pada kadar lima peratus daripada 465 koperasi yang didaftarkan pada 2010.

''Salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan ini adalah tahap keyakinan masyarakat terhadap keupayaan dan potensi koperasi semakin meningkat," katanya di sini hari ini.

Jelasnya lagi, faktor lain yang turut mempengaruhi kepercayaan orang ramai untuk menyertai koperasi adalah peningkatan pemahaman umum berhubung manfaat serta faedah yang bakal diperoleh sekiranya menjadi ahli.

''Mereka kini semakin faham bahawa koperasi bukan hanya sekadar menjadi tempat untuk membuat pinjaman, malah koperasi juga merupakan entiti yang boleh menjana ekonomi semua ahli." ujarnya.

Tambah Yunus, penyediaan produk dan perkhidmatan berkualiti, pengurusan dan pentadbiran teratur serta sistem kewangan yang baik akan menjamin kejayaan bagi sesebuah koperasi.

''Pada masa sama, semua ahli koperasi juga perlu mempunyai jati diri dan semangat berkoperasi yang tinggi dengan mengunakan produk dan perkhidmatan koperasi dalam usaha memperkukuhkan koperasi masing-masing," jelasnya.

Bukti keakraban masyarakat

Posted:

Bukti keakraban masyarakat

Bukti keakraban masyarakat

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


Mohd. Ali Rustam beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak yang menyertai Karnival 1Malaysia DUN Rembia, di Alor Gajah, kelmarin.


ALOR GAJAH 20 Feb. - Karnival Rakyat 1Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang diadakan membuktikan keakraban dan perpaduan masih utuh apabila dikunjungi pelbagai kaum semalam.

Karnival di padang Japerun Rembia sejak pukul 7 pagi itu menyaksikan masyarakat berbilang kaum mula membanjiri karnival yang diadakan dengan pelbagai acara memberi manfaat kepada seisi keluarga.

Karnival itu juga menjadi satu medan amat berguna kepada rakyat yang bukan sahaja dapat beriadah seisi keluarga bersama penduduk kampung, malah, memperoleh ilmu melalui pameran yang diadakan.

Sejak pukul 7 pagi lagi, pengunjung terutamanya kanak-kanak ditemani ibu bapa masing-masing mula berkumpul di padang tersebut untuk menyertai acara senamrobik yang bermula sejam kemudian.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Norpipah Abdol.

Pelbagai gelagat dapat dilihat di kalangan kanak-kanak yang teruja untuk menyertai acara sukaneka dan pertandingan mewarna.

Bagi ibu bapa pula, sementara menunggu anak-anak menyertai acara tersebut, mereka berpeluang menunjukkan bakat masing-masing dalam pertandingan memasak dan kraftangan.

Pengunjung wanita turut tidak melepaskan peluang melakukan ujian pap smear bagi mengesan penyakit barah pangkal rahim atau kanser serviks di peringkat awal

Di peringkat taman-taman perumahan, sekolah dan kampung, pelbagai hadiah disediakan mengikut kategori Taman Bebas Denggi, Kampung terbersih dan Terindah, Sekolah Cemerlang.

Manakala bagi mereka yang tidak mengambil bahagian dalam semua acara yang dipertandingkan itu, turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah disediakan menerusi cabutan bertuah.

Turut menarik perhatian dan mencuit hati adalah apabila melihat pengunjung tanpa mengira usia menyumbangkan suara dan bakat menari pada pertandingan karaoke.

Pendek kata, sesiapa sahaja yang hadir pada Karnival Rakyat 1 Malaysia pasti akan terhibur dan boleh mengambil bahagian dalam setiap acara mengikut kebolehan masing-masing

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Anuar Tahir, 31, dari Taman Paya Datuk di sini berkata, banyak ilmu diperolehi khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan daripada jabatan dan agensi kerajaan pusat selain mendekatkan hubungan di antara rakyat dan pemimpin di negeri itu.

"Saya datang ke sini untuk membawa anak menyertai sukaneka kerana dia amat meminati aktiviti sukan dan saya berharap karnival seperti ini dapat selalu diadakan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Wong Seng Guan, 40, berkata, karnival ini bukan sahaja berfaedah untuk mengisi masa lapang, malah, dapat merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, pemimpin dan antara kaum berbeza.

"Siapa tahu, melalui sukan ini yang memberi peluang kepada belia mengetengahkan bakat terpendam masing-masing mungkin dapat melahirkan bakat-bakat 'kampung' menjadi jaguh sukan ternama," katanya.

Bagi R. Gunalan, 42, dia tertarik dengan pertandingan yang dianjurkan yang membuka peluang kepada semua kaum menyertainya.

Menurutnya, dengan kemahiran membuat kalungan bunga yang ada padanya, dia berjaya membawa pulang wang tunai RM80 apabila memenangi tempat kedua pertandingan itu.

"Memang, tidak sia-sialah saya datang hari ini. Saya memang mahir membuat kalungan bunga dan bila mendapat tahu ada pertandingan itu, saya terus menyertainya," kata kakitangan di Jabatan Kerja Raya Alor Gajah itu.

Tidak terkecuali menyertai karnival itu ialah golongan murid sekolah rendah.

Salah seorang daripada mereka, Mohd. Afiq Hakimi Ismail, 12, berkata, dia tetap gembira walaupun mendapat tempat ketiga dalam acara membawa bola dalam sudu kerana dapat bersaing dengan rakan-rakannya yang lain.

"Memang seronok sebab ramai kawan-kawan dari kampung dan sekolah di sini," katanya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Melekek.

Turut berkongsi kegembiraan itu ialah rakannya, Muhammad Ikmal Salman, 12, dari Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang.

"Saya gembira kerana dapat tempat ke enam dalam acara merentas desa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan